jailani, peguam, ustaz, islam, syariah, undang-undang, law

KERANA POLITIK, JASAD NABI LAMBAT DIKEBUMIKAN

 

Saya di tapak Thaqifah Bani Sa'idah, Madinah, sebelah Masjid Nabawi

Saya di tapak Thaqifah Bani Sa'idah, Madinah, sebelah Masjid Nabawi


Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
08/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

1. Apabila menonton dan membaca berita berkenaan dengan politik Perak, saya berasa amat dukacita. Saya juga percaya semua rakyat jelata, sama ada penyokong di pihak pertama atau di pihak kedua, atau “atas pagar”, juga berdukacita. Tidak tahulah saya, jika ada yang bergembira dengan suasana tegang seperti itu. Pihak pasukan keselamatan terutamanya PDRM, terpaksa dikerah, untuk menghadapi pelbagai kemungkinan. Sudah tentulah, banyak kerja lain yang terpaksa ditinggalkan sementara dek tumpuan yang perlu diberikan kepada krisis politik dan perlembagaan di Perak.

 

2. Sebenarnya, apa yang berlaku ini menunjukkan bahawa politik adalah suatu bidang yang tersangat penting dalam kehidupan manusia. Sudah tentu, kedua-dua pihak, sanggup bermati-matian sedemikian rupa, kerana ingin berbakti kepada rakyat, berkhidmat untuk rakyat, berkorban untuk rakyat, tak sanggup melihat nasib rakyat diabaikan, justeru itu mereka sanggup susah begitu sekali, sehingga menyusahkan Raja Nazrin, demi rakyat tercinta!!

 

3. Imam Bukhari merekodkan dalam sahih beliau hadith Nabi SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya kamu sangat berkehendak kepada jawatan kepimpinan, (sedangkan) ia akan menjadi penyesalan pada hari Qiamat, ia adalah nikmat pada peringkat permulaannya, namun buruk pada peringkat akhirnya”.

 

4. Dalam hadith muttafaq ‘alaih sebagaimana riwayat Abu Musa juga disebut tentang dua orang lelaki yang meminta jawatan amir (ketua) daripada Rasulullah SAW, lalu dijawab oleh baginda yang bermaksud “Sesungguhnya kami tidak melantik dalam perkara ini (perlantikan ketua) sesiapa yang memintanya dan sesiapa yang bercita-cita untuk mendapatkannya.

 

5. Apabila Nabi SAW wafat pada pagi Isnin, 12 Rabi’u Awwal, tahun 11 Hijrah, Sheikh Safi Al-Rahman Al-Mubarakfuri melaporkan dalam kitabnya yang terkenal “Al-Rahiq Al-Makhtum”, pertikaian meletus di kalangan para sahabat Nabi yang diredhai oleh Allah itu tentang siapakah yang sepatutnya menjawat jawatan khalifah. Sedangkan pada masa itu, jasad baginda yang mulia, belum lagi disiapkan untuk proses pengebumian.

 

6. Perbahasan dan dialog yang bertempat di Thaqifah (portico) Bani Sa’idah itu berterusan sepanjang hari Isnin yang penuh dengan kesedihan itu sehingga menjelang malam. Ia melibatkan umat Islam di antara kaum Ansar dan Muhajirin. Perbahasan tersebut berlanjutan hingga hampir subuh hari Selasa, sedangkan jasad Nabi SAW yang mulia itu masih dikunci di dalam bilik!

 

7. Apabila keputusan dicapai, Abu Bakar r.a. dilantik sebagai khalifah, barulah jasad Nabi SAW dimandikan pada hari Selasa oleh Al-Abbas, Ali, Al-Fadl dan Qathm. Al-Fadl dan Qathm adalah anak Al-Abbas. Turut terlibat ialah Shaqran (hamba yang telah dimerdekakan oleh Nabi SAW), Usamah bin Zaid dan Aus bin Khauli. Selesai dimandikan, umat Islam memasuki bilik yang terdapat jasad Nabi SAW dengan bilangan 10 orang pada satu masa silih berganti sehingga habis waktu siang hari Selasa. Berdasarkan riwayat Aisyah, jasad Nabi SAW hanya disemadikan pada hari Selasa malam Rabu.

 

8. Kelewatan proses persemadian jasad baginda yang mulia ini selama hampir mencecah dua hari menjadi bukti bagaimana pentingnya politik di sisi sahabat Nabi SAW. Sudah tentu mereka lebih tahu bagaimana cara menghormati Nabi SAW termasuk mesti menyegerakan proses pengkebumian, tetapi politik juga sangat penting!!

 

9. Harapan saya, agar janganlah berulang sejarah hitam Perang Unta (Waq’atul Jamal) dan Perang Siffin yang melibatkan kedua-dua pihak adalah sahabat-sahabat Nabi yang mulia, ENOUGH IS ENOUGH!!

Sekian,

Ahmad Jailani Abdul Ghani
08/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

 

5 responses

  1. Bersatu Untuk Ummah

    Assalamualaikum w.r.t. Ustaz,

    Terima kasih kerana menulis mengenai kisah pengkebumian Nabi saw yg tidak diketahui oleh saya. Persoalan saya ialah: adakah apa yg dilakukan oleh sahabat2 Nabi s.a.w. itu sesuatu yg betul?

    Walaupun politik adalah sesuatu yg penting tetapi adakah sgt penting sehingga jasad Nabi s.a.w. ditangguh hingga 2 hari sebelum dikebumikan?
    Adakah justifikasi mencari pengganti Nabi s.a.w. sebagai Khalifah itu cukup untuk membiarkan jasad baginda dibiarkan selama dua hari? Tidak bolehkah disemadikan dulu jasad Baginda dan keputusan untuk memilih Khalifah dilakukan selepasnya? Saya berasa sebak bila membaca kisah Ustaz ini…

    Ini mengingatkan saya terhadap beberapa cerita mengenai apa yg berlaku selepas Nabi s.a.w. wafat, diantaranya tentang bagaimana beberapa sahabat2 baginda bersemuka dengan anak perempuannya Fatimah dan suaminya Ali bin Abi Talib dengan bertujuan untuk mendapat restu mereka tentang pemilihan Saiyidina Abu Bakar r.a. sebagai Khalifah dan terdapat pergelutan sehingga menyebabkan Fatimah keguguran anak didalam kandungan. Tidak lama selepas itu Fatimah pun wafat sehingga tempat pengkebumiannya dirahsiakan untuk mengelak dari dikacau musuh2nya.

    Apakah yang membuatkan mereka bertindak sedemikian rupa terhadap anak perempuan Nabi s.a.w.?

    Seperti kata Ustaz, sejarah hitam seperti Perang Unta dimana Aisyah r.a., salah seorang isteri Rasulullah, berperang dengan Sayidina Ali iaitu sepupu Rasulullah yg merupakan lelaki pertama yg menganut Islam serta bersedia mengorbankan dirinya dengan menyamar sebagai Nabi ketika puak kafir Quraish merancang untuk membunuh baginda, adalah tidak wajar sama-sekali dan tidak seharusnya berlaku.

    Seperti juga Perang Siffin dimana apa yg berlaku adalah tidak sejajar dengan ajaran Islam dan saya terkejut apabila membaca mengenai Amr bin Al-Aas, seorang sahabat Nabi s.a.w., yg berpihak kepada Muawiyah, mencadangkan agar mukasurat Quran dicucuk pada hujung pedang sebagai helah untuk mengelakkan dari kalah di perang ini. Setelah bersungguh-sungguh memulakan peperangan terhadap saudara Islam sendiri, tergamak sungguh pihak Muawiyah menipu dengan cara sedemikian dengan menggunakan Quran. Saya juga terkejut apabila membaca mengenai Muawiyah, yg apabila menjadi khalifah kelima, memasukkan kata-kata kasar yg menghina Sayidina Ali di dalam khutbah Jumaat!

    Saya sedar, ada dua versi yg berbeza mengenai apa yg berlaku iaitu versi Sunni dan Shi’ah tetapi pada dasarnya inilah yg berlaku dan persoalannya, sejauh manakah unsur Islam dan sejauh manakah unsur politik yg terlibat? Pentingkah politik sehingga seseorang itu sanggup melakukan perkara yg jelas bercanggah dengan Islam? Jika dilihat, perkara ini berlaku hingga sekarang dan yg sedihnya, ia berlaku antara umat Islam sendiri, termasuk di Malaysia.

    Pada pendapat saya Ustaz, ugama dan politik adalah penting tetapi, ugama mestilah diutamakan dulu tanpa kompromi, dan jika kita semua berpegang kepada Quran dan hadith soal politik yg berlaku seperti diatas dan di zaman sekarang tidak sepatutnya berlaku.

    Jika pandangan atau versi kisah saya seperti yg diatas adalah salah, sila betulkan saya.

    Sesungguhnya Allah shj yg maha mengetahui.

    p/s: Saya amat suka melihat galeri Ustaz terutamanya gambar Ustaz di Prague. Diharap dapat terus ditambah galeri ini.

    10/05/2009 at 7:21 pm

  2. Ahmad Mustafa

    Salam,

    Ini membuktikan kepada kita bahawa perlantikan Imam adalah lebih tinggi keutamaannya dari penyempurnaan jenazah.

    Dalam Fiqh ini dinamakan Awlawiyyat (keutamaan), Ijmak Sahabat iaitu tidak ada seorangpun yang menyempurnakan Jenazah Nabi, sehinggalah terlantiknya pemimpin. Ini menjadi sumber dalil kepada Ibn Hazm dan beberapa ulama bahawa batas masa perlantikan pemimpin dalam Islam adalah 2 malam.

    Beberapa parti politik Islam seperti Hizbu Tahrir juga mengatakan bahawa perlantikan Khalifah mestilah memakan masa 3 hari dua malam.

    Itulah pengajarannya yang benar yang perlu kita ambil, bukannya melihat perpecahan, kerana perpecahan tidak ada kaitkan dengan kesepakatan mereka ini.

    Sekian Wassalam

    21/05/2009 at 12:23 am

  3. salam ustaz…

    nak buat cemana Ustaz…manusia akhir zaman memang suka mnedahului urusan dunia daripada mendahului urusan ALLAH s.w.t.

    saya amat-amat berharap agar peristiwa HITAM tersebut tidak akan berlaku di zaman ini.

    ENOUGH…..ENOUGH….TWO IS ENOUGH….

    wassalam.

    16/09/2010 at 4:30 am

  4. salam.

    ustaz…

    your photos really nicely….lovely photos. semuga sehat selalu dan selamat walaupon berada di perantauan sana….walaupun jauh namun USTAZ tetap di hati…

    wassalam.

    16/09/2010 at 4:32 am

    • ustjai

      Abg. Bahar, ingatan saya juga masih dgn rakan2 dan aktiviti2 yg telah dilalui bersama sekian lama.

      28/09/2010 at 5:57 pm

Leave a comment