jailani, peguam, ustaz, islam, syariah, undang-undang, law

Archive for May, 2009

CONSTANTINOPLE, ISLAMBOL & ISTANBUL

HAGIA SOPHIA; DI SINILAH SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH MENJADI IMAM PERTAMA SOLAT JUMAAT. SEBAIK-BAIK PEMIMPIN MENGEPALAI SEBAIK-BAIK TENTERA

HAGIA SOPHIA; DI SINILAH SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH MENJADI IMAM PERTAMA SOLAT JUMAAT. SEBAIK-BAIK PEMIMPIN MENGEPALAI SEBAIK-BAIK TENTERA

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
29/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

1. Ketika menggali parit Perang Khandaq, Nabi SAW bersabda dengan maksudnya; “..Constantinople (kini dikenali sebagai Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (riwayat Imam Ahmad) Hadith ini bersifat prospektif, ramalan, ia menjangkakan sesuatu kejadian pada masa hadapan yang belum berlaku sebagai akan berlaku. Ini termasuk dalam mukjizat yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW. Hari ini 29 Mei 2009, genaplah 556 tahun mengikut kiraan kalendar masihi, jatuhnya Kota Constantinople (wallahu a’lam) ke tangan sebaik-baik raja iaitu Sultan Muhammad bin Murad atau Sultan Muhammmad Al-Fateh atau Sultan Muhammad Kedua yang memimpin tenteranya yang merupakan sebaik-baik tentera sebagaimana yang telah disebutkan oleh Nabi SAW lebih dari 800 tahun sebelumnya.

2. Beliau telah menjadikan sabdaan Nabi SAW itu sebagai realiti apabila berjaya mengalahkan dan seterusnya menguasai Kota Constantinople pada 29 Mei 1453. Kejayaan beliau ini, yang ketika itu baru berusia 21 tahun telah meruntuhkan selama-lamanya Empayar Byzantine (Rom Timur), membunuh Maharaja Rom iaitu Constantine XI, serta penguasaan terhadap Mediterranean Timur dan Wilayah Balkan. Inilah kejayaan yang sangat gilang gemilang kerana ia dipimpin oleh pemimpin yang baru berusia 21 tahun ketika itu sedangkan remaja kita pada usia itu masih lagi mentah dan tidak mengenal erti perjuangan.

3. Empayar Rom Timur yang berpusat di Constantinople wujud dengan gagahnya sepanjang kira-kira 1000 tahun. Selama itulah ia diserang beberapa kali, namun hanya sekali sahaja ia tewas iaitu pada tahun 1204 tetapi tidak dijajah kerana serangan yang dilakukan pada ketika itu tidak bermatlamat untuk menguasainya. Tetapi kemudiannya, Empayar Rom Timur yang telah sedia lemah itu telah dikuasai satu persatu wilayahnya oleh pejuang-pejuang Arab Islam. Banyak sebab yang membawa kepada serangan terhadap Konstantinople. Salah satunya kerana kezaliman Raja Constantine yang memaksa umat Islam Greek untuk murtad dan merampas masjid-masjid.

4. Kekuatan tentera yang dimiliki oleh Empayar Byzantine ketika itu adalah kira-kira 7000 orang manakala jumlah tentera Uthmaniyyah adalah antara 100,000 hingga 150,000. Constantinople dilindungi oleh dinding kubu yang dibina sejauh 14 batu dan dikatakan sebagai kubu kota terkuat pada zaman itu

5. Kubu Constantinople berhadapan dengan kehebatan meriam yang dicipta oleh Urban, seorang pakar meriam berbangsa Hungary. Meriam yang direka, panjangnya lebih 8 meter, diameter 75cm, peluru (batu) seberat 544kg boleh bergerak sejauh sebatu. Tembakan meriam yang berterusan membantu memecahkan tembok tebal tersebut.

6. Laut Marmara dan Selat Bosphorus sukar untuk ditembusi kapal perang kerana telah dipasang rantai besi raksasa oleh tentera Byzantium. Tetapi tentera Islam di bawah pimpinan Muhammad Al-Fateh telah membina kapal perang di darat, menggerakkannya menggunakan batang kayu besar, melepasi rantai besi raksasa, kemudian belayar dan menyerang Constantinople dari kedua-dua Laut Marmara dan Selat Bosphorus.

7. Apabila kemenangan dicapai Hagia Sophia yang merupakan gereja terbesar dan tercantik di dunia pada ketika itu, diisytiharkan sebagai masjid, Sultan Muhammad Al-Fateh menjadi imam solat Jumaat pertama, tenteranya menjadi makmum. Raja terbaik memimpin tentera terbaik!

8. Di antara faktor yang mempercepatkan kejatuhan Constantinople ialah keengganan Pope Nicholas v memberi pertolongan ketika tentera Kristian di Konstantinople sedang berhadapan dengan tentera Islam. Perpecahan ini berpunca dari krisis yang serius di antara Kristian Mazhab Orthodox dan Mazhab Roman Catholic. Walaupun terdapat sebilangan pasukan tentera Kristian dari utara Itali yang datang memberi bantuan kepada Empayar Byzantium untuk mempertahankan kota Konstantinople namun bantuan itu tidak mencukupi kerana majoriti pemimpin Kristian dari mazhab Roman Catholic termasuk Pope Nicholas V tetap enggan membantu sebagai tindak balas atas sikap penganut Kristian Mazhab Orthodox yang enggan mengembalikan gereja mazhab Catholic di bawah naungan Rome ketika itu. Ini menunjukkan bahawa tanpa mengira bangsa atau agama, jika mereka berpecah sesama sendiri, mereka akan lemah dan musuh akan mengambil kesempatan termasuklah umat Islam sendiri.

9. Setelah menguasai Kota Constantinople, Sultan Muhammad kemudiannya menawan Despotate Morea di Peloponnese pada tahun 1460 dan Empayar Trebizond di Timur Laut Anatolia pada tahun 1461. Akhirnya Anatolia berada di bawah Empayar Islam Uthmaniyyah.

10. Bagi benua Eropah pula, pada tahun 1456 Sultan Muhammad bergerak sehingga ke Belgrade sehingga kemudiannya menguasai hampir kesemua tanah Serbia. Pada tahun 1463 pula, baginda menyerang Bosnia dan menghukum mati Stjepan Tomasevic, Raja Bosnia ketika itu.

11. Cita-cita Sultan Muhammad sangat tinggi. Baginda ingin menguasai pula Itali yang memiliki Rom di dalamnya. Sumber Sarjana Kristian mengatakan bahawa langkah ini dilakukan oleh Sultan Muhammad untuk membentuk Empayar Rom yang besar yang beliau adalah “Caesar” tetapi matlamat tersebut tidak kesampaian. Jikalau kita melihat “galeri” yang saya poskan gambar di Prague (apostle’s clock), jelas menunjukkan bagaimana kuatnya pengaruh tentera Turki yang sangat digeruni oleh pemerintah-pemerintah Kristian pada zaman itu.

12. Beliau sangat terkenal dengan sikap toleransinya dengan penduduk Kristian yang merasakan sangat ganjil pada zaman itu. Ini kerana pemimpin Kristian sememangnya zalim bukan hanya terhadap penduduk Islam, malah terhadap penduduk Kristian sendiri. Jika anda tidak percaya boleh lihat sebahagian buktinya di Museum of Medieval Torture di Prague, Republik Czech. Jadi, apabila pemerintah Islam begitu lunak dengan rakyat Kristiannya maka mereka merasakan pelik dan ganjil. Malah sejarah juga menceritakan bagaimana beberapa serangan yang dipimpin oleh Sultan Muhammad memang mendapat sokongan daripada pemimpin dan rakyat Kristian. Ya Allah, kurniakan kepada kami pemimpin seperti Sultan Muhammad Al-Fateh ini.

13. Baginda juga melaksanakan pembangunan, membina universiti, masjid, bekalan air bersih, istana Topkapi dan lain-lain. Serta, menerima penyertaan golongan Kristian dalam pemerintahannya juga, memberi kuasa autonomi dalam beberapa sudut kepada mereka. Baginda sendiri menguasai enam bahasa iaitu Arab, Turki, Greek, Hebrew, Parsi dan Latin.

14. Sultan Muhammad Al-Fateh kemudiannya meninggal dunia secara mengejut. Ada pendapat mengatakan bahawa dia diracun oleh doktor peribadinya sendiri di Hunkarcayiri berdekatan dengan Gebze

15. Sumber Kristian mengatakan bahawa kejatuhan Constantinople adalah penutup kepada zaman pertengahan dan menjadi permulaan kepada zaman Renaissance kerana tamatnya pemerintahan gereja yang telah lama berkuasa. Malah bagi setengah penganut Kristian khususnya Greek, hari Selasa (hari Sultan Muhammad Al-Fateh menguasai Constantinople) dianggap sebagai hari paling malang dalam seminggu.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
29/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


CHIN PENG TAK BOLEH BALIK

KASIHANILAH ANGGOTA KESELAMATAN KITA YG SANGGUP BERKORBAN UNTUK NEGARA

KASIHANILAH ANGGOTA KESELAMATAN KITA YG SANGGUP BERKORBAN UNTUK NEGARA

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
28/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

Saya bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri yang tidak membenarkan Chin Peng “pulang” ke Malaysia. Malah keputusan mahkamah di Malaysia juga jelas; tidak membenarkan beliau pulang. Kita perlu mengambilkira berapa ramai yang menjadi janda/balu kerananya, berapa ramai anak-anak menjadi yatim dan hilang tempat bermanja, berapa ramai ibubapa yang kehilangan anak tersayang.

Sebahagian pemimpin politik mendesak agar kerajaan bersikap lebih berperikemanusiaan terhadap Chin Peng. Saya rasa cukup hairan dengan permintaan seperti ini. Berperikemanusiaan untuk siapa? Untuk Chin Peng? Bagaimana pula dengan anggota keselamatan kita yang terkorban di tangan komunis yang dipimpin oleh Chin Peng? Bagaimana dengan kaum keluarga mereka? Bukankah kita juga perlu malah lebih perlu untuk berperikemanusiaan terhadap mereka? Kalau kita ingin bersimpati dengan Chin Peng seorang, tidakkah keluarga kepada 2500 orang awam dan 1800 anggota keselamatan yang terbunuh di zaman darurat lebih perlu mendapat simpati kita. Tidakkah Chin Peng sepatutnya dihukum bunuh di atas kesalahan menentang kerajaan yang sah serta keganasan terhadap rakyat jelata yang tidak berdosa.

Saya masih teringat kisah kekejaman komunis di Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang yang diceritakan oleh ibu mertua saya. Seorang penduduk kampung berkenaan yang disyakki oleh pihak komunis sebagai tali barut kerajaan telah dibunuh dengan kejam. Beliau yang sedang makan malam bersama keluarga telah ditembak oleh anggota komunis yang menyusup masuk ke bawah rumahnya dan menembak pada arah punggungnya melalui celahan lantai kayu rumah tersebut. Beliau mati di hadapan kaum keluarganya.

Begitu juga cerita anak kecil yang ditinggalkan oleh ibunya dalam buaian, hanya semata-mata termakan hasutan pidato perjuangan komunis. Saya sendiri pernah berbual-bual dengan seorang wanita berusia 70’an bekas pejuang komunis yang dibenarkan pulang ke Malaysia dan sekarang menetap di atas tanah peninggalan ibunya yang juga bekas pejuang komunis. Dia begitu bangga dengan perjuangan ideologi komunisnya, langsung tiada sebarang tanda keinsafan padanya. Kita merasa hairan “racun” apakah yang menyebabkan mereka sanggup berjuang di bawah kepimpinan Chin Peng menentang kerajaan dan rakyat jelata. Itu hanya secebis kisah dari pelbagai cerita duka hasil keganasan komunis di negara ini.

Harapan saya agar Perdana Menteri kekal dengan keputusannya demi perasaan rakyat jelata yang pernah terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kejahatan komunis.

Berita selanjutnya saya copy paste dari Utusan.

Pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng tidak dibenarkan kembali ke negara ini, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, kepulangannya jika dibenarkan hanya akan menimbulkan rasa tidak puas hati terutama kepada ahli-ahli keluarga mereka yang terkorban semasa era Darurat antara 1948 hingga 1960.

”Kerajaan tidak benarkan Chin Peng balik ke negara ini sebab ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati terutama kepada mereka yang terkorban dan ahli-ahli keluarga mereka yang telah terkorban dalam waktu darurat dahulu,” katanya.

Perdana Menteri mengulas permintaan Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan baru-baru ini agar kerajaan membenarkan bekas pemimpin PKM itu pulang ke Malaysia.

Hock Nan membuat permintaan itu atas alasan kemanusiaan di samping mendakwa Chin Peng bukan lagi ancaman keselamatan kepada negara.

Kenyataan pemimpin Gerakan itu mendapat bantahan keras daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang berasakan permintaan tersebut tidak tepat.

Kira-kira 2,500 orang awam dan 1,865 anggota pasukan keselamatan terbunuh di tangan PKM diketuai Chin Peng semasa era keganasan kumpulan pengganas itu antara 1948 sehingga mereka meletakkan senjata pada 1989.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
28/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


UJIAN USTAZ AKHIL HAYY

Isteri tercinta di Old Town, Prague yang sungguh romantik

Isteri tercinta di Old Town, Prague yang sungguh romantik

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
26/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

1. Sedih sebenarnya apabila orang mengutuk dan mengeji kenalan atau sahabat kita yang ditautkan dengan persaudaraan yang ikhlas. Begitulah perasaan saya apabila membaca di media tertentu cerita-cerita hangat berkaitan rakan saya iaitu Ustaz Akhil Hayy. Kritikan pedas yang bertali arus melingkari pelbagai isu dan yang terbaru dan paling hangat ialah beliau dikaitkan dengan masalah rumahtangga. Inilah yang menyebabkan saya tidak suka populariti dan kemasyhuran. Bila bercerai pun heboh, isteri mengandung pun satu negara tahu, jatuh kuda pun terpampang muka depan akhbar dan seumpamanya. Kita tidak lagi memiliki privasi.

2. Saya dan Ustaz Akhil Hayy beberapa kali digandingkan oleh masjid & surau yang menjemput kami berceramah. Kali pertama saya mengenali Ustaz Akhil Hayy sekitar 10 tahun yang lalu jika saya tidak silap ketika kami digandingkan kali pertama di Ipoh. Pada masa itu beliau penceramah pertama dan saya penceramah yang kedua. Saya sampai sekitar jam 9.30mlm, orang sangat ramai. Saya dapat melihat Ustaz Akhil baru memulakan ceramahnya. Anak-anak muda termasuk remaja lelaki “rock”, berambut panjang juga kelihatan ramai datang mendengar ceramahnya. Seorang gadis “kilang” (berdasarkan uniformnya) tidak bertudung juga sedang berlari di hadapan saya menuju ke tempat Ust Akhil Hayy sedang berceramah. Sungguh menakjubkan!

3. Disebabkan faktor inilah saya hanya mendiamkan diri sambil tersenyum jika ada ajk masjid atau surau yang mengkritik beliau. Beliau mempunyai kekurangan sebagaimana ustaz dan agamawan lain juga memiliki kekurangan kerana kita hanyalah manusia biasa. Tetapi apabila datang isu terbaru yang dikaitkan dengan beliau, sukar untuk saya memberikan pandangan melainkan peringatan biasa sekadar menyegarkan semula ingatan kita kepada perkara asas dalam agama.

4. Media melaporkan bagaimana luahan oleh isterinya iaitu Maizawati Zainal bahawa “ustaz” tidak pulang ke rumah sejak Februari lalu bermakna sudah lebih kurang 3 bulan.

5. Ini mengingatkan saya kepada nukilan Almarhum Sheikh Abdullah Nasih Ulwan tentang seorang perempuan di zaman Khalifah Umar Al-Khattab yang lama ditinggalkan oleh suaminya kerana berjihad. Wanita itu memendam rindu terhadap suaminya, batinnya memberontak, perasaannya tidak tentu arah, naluri kewanitaannya berkecamuk, keinginannya sebagai manusia biasa memuncak. Hanya kerana imannya yang tebal sahaja yang menghalangnya daripada melakukan perkara haram. Ketika itulah, Khalifah Umar yang sedang “meronda” pada waktu malam terdengar suara perempuan itu mendendangkan lirik berikut:-

6. “Sungguh terlalu panjangnya malam ini,
Dan sangat gelap pula penjuru-penjurunya,
Hati ini pula sedang bersedih,
Kerana tiada kekasih untuk bermanja-manja,
Demi Allah, Kalaulah tidak kerana Allah,
yang aku takut hukuman-Nya,
Sudah tentu, aku akan goncangkan segala penjuru katil ini (simbolik kepada aksi zina)”.

7. Khalifah Umar yang terasa tergugat mendengar kata-kata itu, keesokannya telah pergi menemui Hafsah (anaknya) dan bertanya, berapa lamakah isteri sanggup bersabar, jika suaminya keluar negeri? Jawab Hafsah, 4 bulan. Kerana inilah, Umar telah membuat polisi bahawa panglima tentera pada zamannya dilarang daripada menggunakan khidmat tentera yang berpisah daripada keluarganya lebih daripada 4 bulan.

8. Pernah seorang isteri yang sangat benci kepada suaminya dan tinggal berasingan daripada suaminya akibat suatu perbalahan tetapi membuat pengakuan kepada saya bahawa dia “terpaksa” “bersama” suami beberapa kali dalam tempoh perbalahan tersebut kerana desakan naluri kewanitaannya.

9. Ingatlah! Wanita adalah amanah daripada Allah SWT untuk kita semua kaum adam menjaganya dengan cara yang paling baik.

10. Mengenali peribadi Ustaz Akhil Hayy, saya percaya beliau mampu menyelesaikannya dengan cara paling baik. Jika kita tersilap, kita perbetulkan. To err is human. Yang penting, kita perbaiki dari semasa ke semasa. Kepada sahabat saya, Ustaz Akhil, saya kagum dengan beberapa kelebihan yang beliau miliki, amat sayang jika tidak dimanfaatkan. Doa saya, beliau dan kita semua tetap di landasan yang benar dan tidak terjerumus ke dalam golongan mutasaqitun fi tariq ad-da’wah.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
26/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


TERPIKAT DENGAN RAKAN SEPEJABAT & INFERIOR MIRAGE

BERHATI-HATI DENGAN PEMANDANGAN KERANA IA MUNGKIN INFERIOR MIRAGE

BERHATI-HATI DENGAN PEMANDANGAN KERANA IA MUNGKIN INFERIOR MIRAGE

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
24/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

Ada seorang lelaki berusia 40’an menemui saya dan memberitahu bahawa dia berhasrat untuk mengahwini rakan sepejabatnya. Bagi saya ceritanya itu biasa sahaja dan tiada yang istimewa atau menarik perhatian. Tetapi, apabila dia menyambung ceritanya sambil menarik nafas panjang, barulah saya tahu bahawa saya berhadapan satu situasi yang berbeza.

Sebenarnya dia ingin berpoligami dan bakal isteri keduanya adalah rakan sepejabat. Sambil memburukkan isteri pertamanya, semua serba tak kena, dia memuji bakal isterinya kerana pandai “mengemas” diri, sentiasa wangi, selalu senyum dan pelbagai lagi pujian yang indah-indah.

Secara jujur saya mengakui sifat orang lelaki yang akan membandingkan isterinya di rumah dengan mana-mana perempuan yang pernah dia kenali, tetapi ramai lelaki yang membuat perbandingan yang tidak adil sama-sekali.

Kenapa pula tidak adil? Ya, macamana seorang lelaki boleh berlaku adil jikalau suasana yang dibandingkan antara gadis manis di pejabat dengan isteri di rumah adalah dua suasana yang sangat jauh bezanya. Pernahkah dia melihat bagaimana keadaan gadis tersebut ketika makan, basuh pakaian, tidur, memasak, menguruskan anak dan sebagainya, sebagaimana dia melihat isterinya.

Gadis yang dia tergila-gila itu juga mungkin tidur berdengkur sama sebagaimana isterinya di rumah. Gadis idamannya itu juga mungkin tidur dalam keadaan air liur basinya (maaf) meleleh keluar dari mulutnya. Gadis igauannya itu juga mungkin mempunyai bau badan atau mulut yang tidak enak malah mungkin lebih teruk daripada isterinya. Gadis pujaannya itu juga mungkin mempunyai bentuk badan yang tidak cantik tetapi kelihatan cantik lantaran pelbagai peralatan moden yang dipakai disebalik pakaian luarnya tetapi semuanya akan kelihatan hodoh sebaik sahaja ianya terdedah.

Gadis tersebut boleh berpura-pura dan berlakon pada waktu yang singkat tetapi perangai sebenar akan kelihatan apabila mereka hidup sebumbung. Terdapat seorang kenalan yang memuji melampau-lampau isteri mudanya sewaktu mereka mula-mula kahwin dan mengutuk “rapat ke tanah” isteri tuanya. Tetapi kemudiannya terbukti bahawa dia lebih serasi dengan isteri tuanya berbanding isteri mudanya.

Manusia mempunyai sifat mudah jemu dan bosan dengan “barang lama” sama ada motosikal lama, kereta lama, rumah lama, pejabat lama termasuk isteri yang dah lama dikahwini. Manusia sanggup berlakon dan berpura-pura bila berhadapan dengan “buah hati” baru. Semuanya sanggup dan semuanya indah. Apabila bersua antara dua insan yang sedang “angau” itu, sendawa ditahan, makan menjadi sopan, batuk bunyi perlahan dan manja, angin dalam perut ditahan agar tidak keluar justeru takut kepada bunyi yang akan memalukan, tetapi apabila sudah kahwin antara kedua-duanya, angin dilepaskan sekuat-kuatnya, batuk menggegarkan tiang rumah, sendawa mengalahkan orang jantan, segala-galanya sungguh tidak enak dilihat dan didengar!

Inilah “inferior mirage” yang kadangkala disebut juga oleh setengah orang sebagai fata morgana. Pandangan yang menipu, ilusi lantaran faktor tertentu. Di tengah hari yang panas terik, di atas lebuhraya, kita nampak seperti ada tompokan air tetapi kita memandu selaju mana pun, sejauh mana pun, kita tidak akan menemui tompokan air tersebut. Kenapa? Kerana ia adalah fenomena optikal, yang bersifat ilusi, memperdayakan kita. Apakah kita masih mengejar ilusi tersebut?

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
24/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


BANYAK REZEKI BUKAN BUKTI ALLAH REDHA

KEKAYAAN TIDAK SEMESTINYA TANDA ALLAH SAYANGKAN KITA

KEKAYAAN TIDAK SEMESTINYA TANDA ALLAH SAYANGKAN KITA

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
21/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

Kita kerap menyangka, apabila kita kaya, rezeki melimpah ruah, hidup senang, itu tandanya Allah sayang kepada kita. Kita juga selalu berkata apabila kita miskin, rezeki sempit, hidup susah, itu tandanya Allah murka kepada kita. Adakah benar begitu? Jawabnya; TIDAK!

Allah berfirman dalam Surah Al-Fajr ayat 15;

Oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: “Tuhanku telah memuliakan daku!”

Ayat tersebut menunjukkan sikap sebahagian manusia yang menjadikan kekayaan sebagai kayu pengukur bahawa Allah redha kepadanya. Sedangkan hakikatnya dia menjadi sombong dengan kekayaannya itu.

Dalam Surah yang sama, ayat 16, bermaksud; Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: “Tuhanku telah menghinakan daku!”

Ayat ini pula menceritakan bagaimana pandangan manusia yang keliru dengan menyangka bahawa Allah telah menghinanya hanya semata-mata dengan ujian kesempitan rezeki. Ya, mereka rasa terhina, terutama apabila kawan-kawan datang dengan memandu kereta berjenama besar, kita pula memandu kereta yang ekzosnya terpaksa diikat dengan tali “rafia”. Aaahh.. manusia memang keliru dengan pandangannya sendiri. Jika benar pandangan ini, bermakna Qarun yang kaya itu adalah hamba Allah yang soleh, manakala Nabi Musa yang miskin itu adalah termasuk dalam golongan yang dihina oleh Allah. Jika tepat pandangan ini, maka Muhammad SAW adalah dimurkai Allah, manakala Abu Lahab adalah kekasih Allah. Betapa songsangnya kesimpulan ini.

Selepas itu, pada ayat ke 17, Allah menjelaskan dengan maksudnya; Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang Ia berhak menerimanya).

Sebenarnya inilah yang banyak berlaku, terutamanya dalam kes pembahagian harta pesaka. Adik beradik si mati akan berebut-rebut harta pesaka yang ditinggalkan oleh si mati yang ketiadaan anak lelaki. Tetapi, yang menghairankan kita ialah harta pesaka mereka berebut tetapi nafkah anak-anak perempuan yang yatim itu tidak dipedulikan, malah lebih memalukan mereka sanggup berkata; “Alaa.. mak dia ada.” Sejak bila pula orang perempuan wajib menafkahi anak-anak mereka?

Surah Al-Baqarah ayat 216, bermaksud; Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Ayat ini menjadi penenang kita, bahawa ada perkara yang kita tidak menyukainya tetapi kemudiannya terbukti, sangat berfaedah kemudiannya, begitulah sebaliknya.

Oleh itu, sahabat-sahabat sekalian, sapulah air matamu, ukirkan senyuman, binalah semangat dan ingat, Allah sentiasa bersamamu dan Dia Maha Adil.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
21/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


MERENUNG UJIAN ALLAH

Sisa-sisa kemewahan di Topkapi Palace, Istanbul

Sisa-sisa kemewahan di Topkapi Palace, Istanbul

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
19/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

1. Banyak ketikanya yang mungkin kita tidak mengerti dan mulai berasa pelik dengan cara Allah SWT menguji hambanya. Kenapakah bila Allah SWT sayang kepada hambaNya, Dia timpakan musibah? Kenapakah ada ketikanya, Allah SWT murka kepada hambaNya tetapi diberi rezeki ,melimpah ruah? Kenapakah Allah SWT datangkan musuh kepada kekasihNya?

2. Nabi SAW yang merupakan kekasihNya dan antara yang berpendapatan lumayan (satu perlima daripada rampasan perang milik baginda) tetapi hidup miskin dan terpaksa mengikat perut dengan batu kerana menahan lapar. Sedangkan Umayyah bin Khalaf hidup mewah, senang lenang dengan rezeki melimpah ruah.

3. Nabi Musa a.s. juga pernah hidup dalam keadaan miskin sehingga terpaksa memakan daun-daun kayu, sedangkan Qarun yang jahat itu hidup mewah semewah-mewahnya. Kunci gudang hartanya sahaja pun terlalu banyak dan berat.

4. Allah SWT menyesatkan Firaun tetapi memberi hidayah kepada isterinya sehinggakan doa Asiah yang memohon dibina rumah untuknya dalam syurga dimaktubkan dalam wahyuNya. Allah SWT menjadikan Nabi Nuh dan Nabi Lut sebagai nabiNya dan hambaNya yang soleh tetapi menyesatkan isteri-isteri mereka. Bila Nabi Nuh cuba berdoa untuk anaknya, Allah mencegah Nabi Nuh dari berbuat demikian.

5. Allah SWT menjadikan Nabi Ibrahim a.s sebagai kekasihNya (khalil) tetapi menyesatkan bapa Ibrahim a.s. Apabila Ibrahim a.s cuba memohon ampun kepada Allah bagi pihak bapanya, Allah SWT melarang doa tersebut.

6. Allah SWT memilih untuk memberi hidayah dan kemuliaan iman kepada Bilal Bin Rabah, seorang hamba abdi berkulit hitam yang dihina masyarakat berasal dari Ethiopia, tetapi tidak memberi hidayah kepada Abu Talib bapa saudara Nabi SAW, seorang bangsawan yang banyak menolong dan melindungi Nabi SAW. Allah juga tidak memberi hidayah kepada Abu Lahab seorang elit yang sangat dihormati oleh bangsanya.

7. Apa kata Allah Jalla wa ‘Ala? Jawapannya, dalam Surah Al-Anbiya ayat 23, maksudnya, “Dia (Allah) tidak ditanya tentang apa yang Dia lakukan tetapi merekalah (manusia) yang akan ditanya (tentang apa yang mereka lakukan). SUBHANALLAAH…

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
19/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


SUKA SALAHKAN ALLAH BILA KECEWA

BAHAGIA JUGA ADALAH UJIAN ALLAH

BAHAGIA JUGA ADALAH UJIAN ALLAH

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
17/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

1. Seorang wanita berusia 50’an datang menemui saya, mengadu hal. Beliau telah bercerai sebanyak dua kali (dua suami berbeza). Beliau merintih; “Ustaz! Kenapa Allah buat saya macam ni? Saya dah kahwin dua kali, dan kedua-dua suami saya menceraikan saya! Apa salah saya? Saya solat, tutup aurat, ikut hukum hakam agama. Kenapa Allah tidak memberikan kebahagiaan kepada saya? Sedangkan jiran sebelah rumah saya tak ikut agama pun, suami pakai seluar pendek, isteri pun pakai seluar pendek kat luar rumah, tapi mereka bahagia, kenapa saya yang ikut agama dan suruhan Tuhan ini tidak bahagia?

2. Seorang wanita profesional berusia lingkungan 40’an, berpendapatan puluhan ribu sebulan dan sering pulang lewat malam kerana tugas. Saya mengenalinya sejak dahulu, bertudung, memakai baju kurung dan sopan. Tetapi segala-galanya berubah apabila suatu ketika, seusai tugas lazimnya, pulang ke rumah, melepaskan penat dan ingin berehat, lantas mengambil vcd untuk menonton filem, tetapi “gambar” yang keluar bukanlah lakonan biasa seorang pelakon tetapi “lakonan” sebenar antara suaminya dan “bibiknya”. Tidaklah saya ketahui adakah suaminya tersilap letak vcd tersebut atau sengaja berbuat demikian supaya si isteri melihatnya, tetapi apa yang berlaku ialah perceraian di antara keduanya, yang menyaksikan si isteri “memberontak” terhadap agama dan Tuhannya. Kini, rambutnya menjadi tatapan umum, badannya ditutupi dengan baju dan seluar sendat, tiada lagi ketakutan kepada dosa dan noda.

3. Seorang gadis manis lagi manja, sejak kecil menjadi kesayangan keluarga lantaran sifatnya yang lembut dan beragama, keluarganya begitu berbangga dengannya. Tidak pernah terpisah dengan tudung labuhnya, mini jubahnya sering menjadi pilihan, seorang peminat usrah dan program agama, sepanjang hidupnya tidak pernah diketahui akan perkara yang tidak elok tentang peribadinya. Kemudian, datanglah ujian Allah terhadap dirinya, satu demi satu gagal dalam cubaan melepasi tuntutan akademik sedangkan beliau seorang yang pintar. Kini, melihat agama sebagai sesuatu yang negative, berasa bosan menjadi “orang baik” dan seolah-olah merasakan Tuhan tidak adil! Di mana tudung kepala? Di mana jubah mini? Sudah dibuang jauh-jauh. Orang lain semua salah, the whole world she blamed, diri sendiri tak pernah salah.

4. Seorang isteri yang layak dipanggil ustazah lantaran pakaiannya, walaupun sebenarnya beliau bukanlah ustazah. Semua orang yang mengenalinya menghormatinya kerana akhlaq dan budi bahasanya. Namun, semuanya sementara. Apabila berlaku perceraian, beliau kini adalah seorang wanita yang amat berbeza. Rambutnya kini dijalin lagak seperti wanita Afrika, pakaiannya semua ketat dari atas sampai ke bawah ditambah dengan “push-up”. Lupa segala-galanya.

5. Itulah contoh kehidupan manusia yang keliru dengan apa yang berlaku kepada dirinya. Menganggap Allah tidak sayang kepada dirinya apabila mereka diuji. Menuduh Allah tidak adil kerana menyusahkan kehidupannya. Bagi mereka, Allah Ta’ala adalah adil apabila memberi rezeki dan nikmat justeru kesolehan mereka. Tetapi Allah dianggap zalim apabila mereka patuh kepada Allah tetapi Allah memberi kesusahan kepada mereka.

6. Inilah manusia yang lupa kepada sejarah nabi dan rasul, suka duka ulama dan orang soleh yang berhadapan dengan ujian Allah. Allah SWT memerintahkan peperangan terhadap kuffar tetapi kenapa Allah mengizinkan kemenangan kepada kuffar dalam Perang Uhud? Pelik bukan? Allah memerintahkan para rasul-Nya menyampaikan risalah-Nya, tetapi kenapa Allah mengizinkan kekuatan musuh menentang nabi-Nya? Jika benar Allah tidak redha kepada Firaun, kenapa pula Allah SWT memberi kuasa pemerintahan kepadanya? Jika betul Qarun adalah musuh Allah, kenapa pula kekayaan diberikan kepadanya?

7. Bukankah sepatutnya Allah memberi kekayaan kepada hamba-Nya yang soleh? Tidakkah selayaknya Allah memberi kuasa pemerintahan hanya kepada manusia yang diredhai-Nya sahaja? Kenapa Allah tidak memberi kemenangan kepada Muhammad SAW dalam semua peperangan supaya tidak ada lagi kafir di muka bumi? Bukankah Allah benci kepada kaum yang kafir?

8. Inilah akibatnya yang berlaku apabila manusia membiarkan aqalnya menjadi bodoh dan tidak mahu menggunakan kecerdikan aqalnya. Anda suka perbincangan ini? Nantikan selanjutnya “jawapan” daripada Allah dan Rasul!

Sekian.
Ahmad Jailani Abdul Ghani
17/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


BEER HALAL

WINE BUATAN CAPPADOCIA, TURKI

WINE BUATAN CAPPADOCIA, TURKI


Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
13/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


1. Nampaknya heboh sehari dua ini tentang BIR HALAL atau tanpa alcohol yang dikaitkan dengan minuman malt tanpa alcohol berjenama ISTAK oleh Malaysian Iranian Corp. Sdn Bhd (MICSB). Pelbagai pandangan diberikan tentang isu ini. Kebanyakannya tak suka istilah BIR HALAL.

2. Berdasarkan website Answers.com, perkataan “beer” diberikan definisi berikut:-

a) A fermented alcoholic beverage brewed from malt and flavored with hops.
b) A fermented beverage brewed by traditional methods that is then dealcoholized so that the finished product contains no more than 0.5 percent alcohol.
c) A carbonated beverage produced by a method in which the fermentation process is either circumvented or altered, resulting in a finished product having an alcohol content of no more than 0.01 percent.

3. Jika berdasarkan takrif di atas, bermakna “bir” tetap mempunyai alcohol sekurang-kurangnya 0.01 peratus. Adakah ia tetap haram? Bagaimana pula “Root Beer” yang dijual oleh A&W? Ramai di kalangan kita yang meminumnya dan yakin sekian lama sebagai “halal”.

4. Berdasarkan laporan Gufnews.com bertarikh 13 April 2008, menunjukkan Sheikh Yusuf Al-Qaradawi mengharuskan minuman yang mempunyai alkohol dengan kuantiti kecil yang tidak memabukkan. Namun, sebagaimana biasa, ia tetap mengundang kontroversi di kalangan ulama di Qatar.

5. Al-Qaradawi mengatakan bahawa minuman yang mempunyai alcohol sebanyak 5/1000 or 0.5% adalah dibenarkan dalam Islam. Beliau yang juga Pengerusi “International Organisation of Islamic Jurists” mengatakan bahawa ia dibenarkan kerana kuantiti alcohol yang kecil itu tidak menyebabkan mabuk. Tetapi bagi Al-Qaradawi, syaratnya ialah alcohol tersebut terhasil secara semula jadi (natural fermentation or anaerobic conversion). Ini kerana, jumlah alcohol sebanyak 5/1000 atau 0.5% di dalam minuman, adalah terlalu kecil dan tidak signifikan untuk menjadikan minuman itu haram, apatah lagi jika ia (alcohol) itu dihasilkan secara semula jadi dan tidak melalui proses campuran pembuatan oleh kilang atau seumpamanya.

6. Fatwa tersebut telah dikeluarkan oleh Al-Qaradawi berikutan banyaknya pertanyaan daripada masyarakat tentang perlambakan minuman tenaga dan makanan yang mengandungi alcohol dalam kuantiti yang kecil di pasaran.

7. Walaupun saya cenderung kepada fatwa Al-Qaradawi tetapi saya tahu ia tetap kontroversi sebagaimana fatwa-fatwa beliau yang lain.

8. Biasalah masyarakat kita, terlalu sibuk dengan isu minuman atau makanan beralkohol (mungkin kerana kesedaran beragama atau lebih kepada adat?), tetapi bila kita maklumkan kepada mereka bahawa “tapai” (orang Kelantan suka makan) pun ada alcohol (ethanol) mulut mereka pun ternganga… Hmmm.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
13/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


CONTOHI NAZAR HANNAH ISTERI IMRAN

anak lelaki tak sama dengan anak perempuan, kata Hannah isteri Imran

anak lelaki tak sama dengan anak perempuan, kata Hannah isteri Imran

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
12/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


1. Pernahkah anda bernazar? Kenapa anda bernazar? Apa akan terjadi jika anda tidak bernazar? Adakah anda berpendapat bahawa Allah tidak akan mengabulkan permintaan anda jika tidak bernazar? Atau anda ingin menunjukkan rasa syukur kepada Allah kerana mengurniakan apa yang anda hajati selama ini? Ayuh, kita renung sebentar apa yang kita lakukan selama ini.

2. Secara ringkasnya, nazar ialah kita mewajibkan ke atas diri kita sendiri untuk melakukan sesuatu perbuatan yang bersifat ibadah kerana Allah yang hukum asalnya tidak wajib. (Lihat Mughni Al-Muhtaj 4:354).

3. Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa ia adalah dilarang (makruh) berdasarkan hadith Imam Bukhari dan Muslim yang meriwayatkan bahawa Nabi SAW melarang amalan nazar. Baginda bersabda dengan maksud, “Sesungguhnya bernazar itu tidak menolak (mengubah) sesuatu. Tetapi sebenarnya nazar itu mengeluarkan (mendapatkan kebajikan) daripada orang bakhil / kedekut”. Maka, apa yang dapat difahami ialah Nabi SAW melarang kita daripada bernazar, kerana ia tidak boleh mengubah apa-apa, ia hanya biasa atau lazim dilakukan oleh orang yang bakhil berbuat kebajikan.

4. Namun begitu, apabila ia telah berlaku (telah bernazar) maka wajib disempurnakan nazar tersebut. Kecuali bernazar melakukan sesuatu maksiat maka haram ia dilaksanakan.

5. Saya ingin mengajak anda semua melihat cara Hannah isteri Imran bernazar dan menunaikan nazarnya apabila ia tidak dimakbulkan oleh Allah SWT (Peristiwa ini dijadikan dalil oleh ulama’ yang membolehkan amalan nazar). Berdasarkan pendapat Muhammad bin Ishaq, Hannah adalah wanita yang mandul. Pada suatu hari Hannah melihat seekor burung memberi makanan kepada anaknya. Ini menyebabkan Hannah semakin bersemangat untuk memiliki anak sendiri, lalu berdoa kepada Allah dan Allah mengabulkan doanya dengan menjadikannya mengandung. Dalam masa hamil tersebut, Hannah bernazar kepada Allah bahawa anaknya nanti jikalau lelaki akan dijadikan pendita dan memakmurkan Baitul Maqdis.

6. Dalam Surah Ali-Imran ayat 35 disebutkan dengan maksudnya; (Ingatlah), ketika isteri ‘Imran (Hannah) berkata: “Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku bernazar kepada Engkau anak yang dalam kandunganku ini menjadi hamba yang soleh dan berkhidmat (di Baitul Maqdis). Karena itu terimalah (nazar) itu daripadaku. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui”.

7. Ayat 36 pula;

فَلَمَّا وَضَعَتْهَا قَالَتْ رَبِّ إِنِّي وَضَعْتُهَا أُنْثَى وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا وَضَعَتْ وَلَيْسَ الذَّكَرُ كَالْأُنْثَى وَإِنِّي سَمَّيْتُهَا مَرْيَمَ وَإِنِّي أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maka tatkala isteri ‘Imran melahirkan anaknya, dia pun berkata: “Ya Tuhanku! Sesunguhnya aku melahirkannya seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak laki-laki tidaklah sama seperti anak perempuan. Sesungguhnya aku telah menamakan dia Maryam dan aku mohon perlindungan untuknya serta anak-anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau daripada syaitan yang terkutuk.” (Ali-Imran – ayat 36)

8. Hannah, isteri Imran telah bernazar untuk menyerahkan anak yang dikandungnya untuk berkhidmat di Baitul Maqdis. Bagaimanapun, setelah mengetahui bahawa beliau melahirkan seorang anak perempuan (Maryam), Hannah sedih kerana hajatnya tidak dipenuhi oleh Allah. Kerana itu dia menyebut, anak lelaki tidak sama dengan anak perempuan. Tetapi beliau tetap menunaikan nazarnya itu.

9. Dan sungguh menakjubkan, apabila hajatnya untuk mendapat anak lelaki tidak kesampaian tetapi diganti Allah dengan cucu lelaki (Nabi Isa a.s.). Hasratnya supaya anak lelakinya dapat menjadi pendita di rumah Allah tetapi Allah memberi alternatif dengan cucu lelaki yang jauh lebih baik daripada pendita kerana dia adalah NABI ALLAH.

10. Maka, jika anda bernazar tetapi tidak kesampaian, soalan saya adakah anda tetap meneruskan nazar itu dengan melaksanakannya atau anda kedekut dengan menyatakan “tak payah buatlah, sebab tak dapat!!!??? Oleh itu, berbaik sangkalah dengan Allah SWT. Ianya takkan merugikan, malah ianya sangat menguntungkan kita apabila kita meneruskan nazar tersebut walaupun peringkat awalnya nampak seperti Allah tidak mengabulkan.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
12/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


BUATLAH KEPUTUSAN YANG BIJAK

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
11/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


1. Menjadi pemimpin dan membuat sesuatu keputusan bukanlah mudah. Jika keputusan yang dibuat betul dan tepat, maka mereka akan dipuji dan dikagumi. Sebaliknya berlaku jika tersilap, mereka , ada kalanya akan jatuh kerananya. Apabila membuat sesuatu keputusan, terkadang seseorang pemimpin itu banyak meletakkan kebergantungannya kepada orang kepercayaannya yang berada di sekeliling. Jika orang di sekelilingnya tidak cekap, ditambahi pula dengan sikap pemimpin itu yang tidak membuat “homework” sendiri, maka hasilnya sudah tentu sebuah “kegagalan”. Ada ketikanya mereka terpedaya dengan maklum balas yang positif dan indah, sedangkan hakikatnya negatif dan jelek.

2. Umpamanya, kita melihat perkara yang berlaku terhadap Shah Iran (Mohammad Reza Shah Pahlavi). Beliau dengan sokongan kuat daripada Amerika Syarikat, telah melaksanakan banyak pembaharuan termasuk di bidang sosial dan ekonomi sebagai suatu proses globalisasi kepada negara Iran. Namun begitu, beliau mendapat tentangan dari masyarakat Iran terutamanya disebabkan pembaziran, proses modenisasi yang melibatkan sekularisasi dan pengiktirafan negara haram Israel. Sokongan Amerika Syarikat terhadap pemerintahan Shah Iran terlalu lemah untuk menampung ombak besar penentangan rakyat terhadap beliau. Polisi beliau tidak diterima rakyat. Apatah lagi peranan SAVAK (agensi perisikan Iran) yang menambah lagi kebencian rakyat terhadap dasar beliau. Shah Iran digulingkan, disingkir dan menjadi pelarian dari satu negara ke negara yang lain.

3. Begitulah juga yang berlaku kepada Raja Farouq di Mesir. Kehidupannya yang penuh “glamour”, penyelewengan, pemerintahan yang tidak cekap, kekalahan kepada Yahudi Zionis dan sebagainya menyebabkan bukan sahaja beliau, malah pemerintahan monarki Dinasti Muhammad Ali di Mesir berusia 150 tahun kini menjadi bahan tatapan dalam muzium sahaja.

4. Perkara yang sama menimpa Necmettin (Najmuddin) Erbakan, Perdana Menteri Turki pertama yang cenderung kepada Islam tetapi hanya sempat memerintah selama setahun sahaja (1996 – 1997). Beliau telah membuat suatu “kesilapan” apabila menurut arus golongan muda dalam Refah Partisi yang gelojoh untuk meng”islam”kan seluruh Turki dan menghapuskan sekularisme di Turki secara mendadak, akhirnya menyebabkan golongan tentera mengambil keputusan mengenakan tekanan kepada beliau untuk meletakkan jawatan. Tidak terhenti setakat itu, beliau telah diharamkan oleh mahkamah daripada terlibat dengan politik di atas dakwaan bahawa beliau cuba mempromosi “Islamic fundamentalism” di Turki. Inilah akibat tergesa-gesa.

5. Imam Bukhari meriwayatkan bagaimana Khabbab bin Al-Art pernah menemui Nabi SAW dan meminta agar memohon kemenangan yang cepat dan serta-merta untuk Islam. Khabbab berkata: “Mengapa engkau tidak mendoakan untuk kita wahai Rasulullah? Mengapa engkau tidak meminta kemenangan untuk kita?”
Disebabkan itu, Nabi SAW dengan muka yang merah terus duduk untuk menenangkan perasaan marah, baginda lalu bersabda; Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu telah disikat dengan sikat besi sehingga menggelupas daging dari tulang dan dikerat dua dengan gergaji, tetapi (dugaan itu) tidak memalingkan mereka dari agamanya. Demi Allah! Ia (Allah) akan memberi kemenangan kepada agama ini, sehingga orang yang berjalan dari Sana‘a ke Hadhral Maut tidak takut melainkan Allah, dan juga tidak takut kepada serigala menerkam kambingnya, tetapi kamu minta disegerakan!

6. Allah SWT juga telah memperingatkan dengan firmanNya yang bermaksud; “Manusia itu telah dijadikan (bertabiat ) tergesa-gesa” (Al-Anbiya’ : 37). Itulah kejadian manusia yang kita perlu berwaspada dengannya.
Malah dalam hadith Al-Baihaqi dinyatakan:-
التَّأَنِّى مِنَ اللَّهِ وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ
Maksudnya; Berhati-hati itu daripada Allah manakala tergesa-gesa itu daripada syaitan.

7. Justeru itu, harapan saya ialah agar semua pihak yang menjadi pemimpin dapat membuat keputusan yang bijak dan lebih cermat dalam semua perkara berkaitan dengan pemerintahan jika benar ingin memerintah lebih lama, disanjung rakyat dan lebih utama ialah dikasihi Allah dan Rasul.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
11/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com