jailani, peguam, ustaz, islam, syariah, undang-undang, law

Archive for October, 2010

DATUK MENIPU, DATIN TERTIPU

Love

Bonafide Love - Don't Betray Your Better Half.

1. Keinginan berpoligami sentiasa membuak-buak dalam diri mana-mana lelaki. Perempuan pula suka menghampiri lelaki yang berkedudukan, berharta dengan alasan tak perlu susah-susah nak mula dari awal. Begitulah juga yang berlaku kepada seorang bergelar “datuk”.

2. Walaupun usia sudah dipanggil tua, tetapi hati tetap muda. Cuma “Datuk” ini hebat di kalangan teman-teman, para pekerjanya dan masyarakat sahaja. Ramai orang hormat dan segan kepada “Datuk” ini.

3. Tetapi “Datuk” ada kelemahannya, dia takut “Datin”. Mungkin dia tidak takut kepada fizikal datin tetapi dia cuma seperti kebanyakan lelaki lain, tak suka bini bising-bising, berleter dan seumpamanya. Kalau datin ajak “wrestling”, undoubtedly Datuk mesti menang. Itu saya yakin.

4. Masalahnya, Datuk sudah berkahwin lain. Pada masa yang sama tak mahu Datin tahu. isteri muda pula sentiasa mendesak-desak Datuk supaya selalu dapat berjumpa. Datuk juga memang suka isteri muda. Tetapi, penghalang utama kepada perjumpaan di antara Datuk dan isteri mudanya adalah datin.

5. Apa yang perlu datuk buat? Jika datin tahu, sudah tentu marahnya akan mengalahkan amarah letusan volkano. Serangannya akan mengalahkan tsunami.

6. Datuk dapat idea. Disuruhnya driver beli tiket flight ke Jepun. Dengan alasan urusan perniagaan selama 2 minggu. Datin pun sibuk mengemas beg datuk dengan harapan misi perniagaan datuk akan berjaya. Datuk berjaya, datin dapat bergaya.

7. Datin menemani datuk untuk check-in di airport. Selepas selesai check-in, datin cium tangan datuk dan melambai datuk yang sedang menuju ke departure gate utk boarding. Selepas datin melihat datuk melepasi pemeriksaan utk ke departure gate, datin pun pulang ke rumah dengan doa agar datuk berjaya dalam urusannya dan juga pesanan jangan lupa beli cenderamata dari Jepun.

8. Datuk pula berjalan menuju ke arah gate dan menunggu panggilan masuk ke dalam pesawat. Bila tiba masanya, pengumuman dibuat, maka para penumpang semua beratur memasuki pesawat. Datuk pula bangun dan tidak beratur masuk dalam pesawat tetapi keluar dari balai berlepas, naik teksi menuju terus ke rumah isteri mudanya yang melompat-lompat kegirangan kerana mereka berdua akan berbulan madu di “Jepun” yang terletak di Semenanjung Malaysia tanpa gangguan daripada datin yang tertipu dengan tipu daya datuk yang menipu.

9. Datuk perlu membeli tiket kapal terbang ke Jepun atau mana-mana negara lain setiap kali ingin bermalam di rumah isteri mudanya.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani

Durham, England.

ustjai.wordpress.com.

Advertisements

LEEDS – SHEFFIELD – YORK FRESHERS CAMP

dublin

Bersama Hafeez & Afiq di hadapan rumah sewa mereka di Dublin, Ireland. Mereka adalah pelajar perubatan yang bakal menjadi doktor yang hebat pada masa depan. Gambar kenangan sewaktu berceramah tentang Palestin di Dublin Trinity College.

Chester Beatty Library, Dublin, Ireland.

Chester Beatty Library, Dublin, Ireland (an art museum & library). The Lonely Planet menyatakannnya sebagai "not just the best museum in Ireland but one of the best in Europe.

1. Saya telah dijemput oleh Saudara Hanafi dari Universiti Leeds untuk menyampaikan ceramah kepada para pelajar baru dari 3 buah universiti iaitu Leeds, Sheffield dan York. Program tersebut adalah selama 3 hari 2 malam (22-24 Okt) bertempat di Birch Hall Campsite & Field Centre, Scarborough, North Yorkshire, England. Slot yang diberikan kepada saya ialah pada hari Sabtu 23 Okt.

2. Apa yang menggembirakan ialah tajuk yg diberikan kepada saya adalah tajuk “favourite” saya sejak dari zaman saya aktif berdakwah di Malaysia lagi selama 12 tahun iaitu Fiqh Al-Awlawiyyat (Fiqh Keutamaan) dan Fiqh Al-Ikhtilaf (Fiqh Perbezaan Pendapat)

3. Saudara Hanafi selaku ajk yang bertanggungjawab dalam bab modul telah meminta saya untuk menyentuh tentang latar belakang Fiqh Al-Awlawwiyat, keutamaan dalam keadaan sekarang khususnya bagi peserta yang terdiri daripada para pelajar baru di universiti di United Kingdom, contoh daripada sunnah Nabi SAW, kaedah / aplikasinya dan kesan yang berlaku apabila ianya tidak diamalkan.

4. Tajuk ini sangat penting kerana kita kerap terkeliru dalam memilih keutamaan dalam hidup. Kerap berlaku pertembungan di antara kerjaya dan keluarga, agama dan nafsu, akademik dan aktiviti luar, ibadah dan maksiat dan lain-lain. Di dalam pengamalan agama pula, kerap terjadi “pertembungan” di antara amalan wajib dan sunat, fardhu ‘ain dan fardhu kifayah, amalan yang memberi faedah kepada masyarakat umum dan amalan yang hanya memberi manfaat untuk diri sendiri dan sebagainya. Malang, apabila ibadat sunat dianggap wajib sehingga meminggirkan ibadah yang benar-benar wajib, atau amalan yang hanya didasarkan kepada adat tetapi dianggap pula sebagai ibadah yang ditekankan. Perkara yang sangat ditekankan oleh baginda Nabi SAW dipinggirkan tetapi diutamakan pula amalan yang langsung tiada dalil yang kukuh. Amalan yang hanya muncul dalam hadith-hadith yang palsu, lemah atau banyak dipertikaikan para ahli hadith diagung-agungkan dan dipraktikkan secara bersungguh-sungguh, tetapi amalan yang kerap diulang sebut di dalam Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan kitab-kitab hadith terkemuka yang lain langsung tidak dipedulikan pula. Anehnya pengikut Muhammad SAW yang seperti ini!!

5. Ada pelajar yang baru mengenali agama tetapi tersilap menjadikan agama sebagai “candu” yang memabukkan dan bukannya “hidayah” kepada orang yang bertaqwa. Kerana tersilap memahami agama dan ibadah, ada pelajar yang sibuk berzikir di tikar solat sehingga terlepas bas atau kapal terbang yang sepatutnya dinaiki. Agama bukannya candu yang merosakkan tetapi adalah “millah” yang akan memperelokkan jati diri seseorang muslim. Si Muslim akan rosak jika dia melampau dalam penghayatan agamanya. Sepatutnya dia bersederhana dalam “suluk”nya untuk mencari keredhaan Ilahi.

6. Tajuk kedua ialah tentang Fiqh Al-Ikhtilaf (Perbezaan Pendapat). Saya diminta untuk menerangkan tentang sumber ilmu, sebab berlakunya ikhtilaf,  perbezaan pendapat sebagai rahmat, pendirian sepatutnya dalam menghadapi perbezaan pendapat ulama’, perkaitannya dengan Fiqh Keutamaan, pertembungan pendapat dalam bidang sains (Darwinism vs creationism , Newtonian vs Einstein), ikhtilaf dan kesalahan (Perbezaan antara Islam & Kristian) serta adab dalam berikhtilaf.

7. Tajuk yang kedua ini juga sangat penting dalam berperanan untuk mendamaikan dan menyatukan umat Islam, mengurangkan pergeseran dan perpecahan khususnya dalam perkara titik bengit. Saya amat berdukacita apabila melihat dan mengalami sendiri perbalahan di kalangan para ulama dan juga golongan yang sering mendabik dada sebagai sangat faham tentang agama tetapi turut menjadi juara dalam permusuhan sesama Islam. Ada segelintir “ustaz” yang berasa angkuh kerana menganggap dia lebih berilmu daripada “ustaz” yang lain. Pendapatnya sahaja yang betul, mana-mana pandangan yang berbeza dihukum sebagai sesat lagi menyesatkan. Para pengikut atau murid menjadi taksub kepada gurunya semata-mata dan menutup langsung akalnya yang sihat untuk menilai dan menerima pandangan pihak lain.

8. Akibat ketaksuban kepada pendapat sendiri dan menghina pandangan orang lain maka keluarlah fatwa jahat seperti cepat mengkafirkan, gopoh membid’ahkan dan tergesa-gesa menyesatkan umat Islam yang lain, seolah-olah kita sahaja yang soleh dan calon penghuni syurga! Jika begitu pandangan kita sehingga langsung tidak memberi tempat untuk memaafkan pihak lain maka apa guna junjungan Nabi SAW memberi ibarat tentang si pelacur tua yang memberi minum kepada si anjing tetapi menjadi penghuni syurga!

9. Program ini sudah tentu menjadi program yang akan menyeronokkan kerana saya akan berpeluang berbicara dengan para pelajar yang cemerlang akademiknya dan sudah tentu mempunyai aqal yang tajam, lantaran itu mereka berada di bumi England.

10. Moga perjumpaan pada hari Sabtu ini nanti akan membuahkan hasil yang akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.

Sekian.
Ahmad Jailani Abdul Ghani
ustjai.wordpress.com


PEMBUNUH SOSILAWATI AKAN TERLEPAS TALI GANTUNG?

Kematian

Kematian - cuba difahami setiap agama mengikut cara tersendiri.

1. Saya mengikuti berita pembunuhan Datuk Sosilawati sejak beliau mula dilaporkan hilang sebelum Aidil Fitri baru-baru ini.

2. Hari ini saya membaca berita dari Malaysia yg menunjukkan beberapa suspek telah dibawa ke mahkamah yang menunjukkan proses pendakwaan di mahkamah sedang bermula.

3.  Tetapi, masyarakat perlu di”celikkan” tentang undang-undang dan prosesnya.

4. Di dalam perbicaraan di mahkamah undang-undang, beban pembuktian terletak di atas bahu pihak pendakwaan untuk membuktikannya melampaui keraguan yang munasabah. Salah satu elemen yang sangat penting untuk membolehkan pihak pendakwa berjaya dalam kes mereka ialah memastikan rantaian keterangan tidak terputus.

5. Dengan bahasa yang mudah untuk difahami oleh orang kebanyakan, untuk menuduh seseorang, mestilah wujud pertalian yang kuat antara suspek, mangsa, barang bukti dan segala fakta yang berkaitan.

6. Contohnya, jika mangsa mati dibunuh dengan pisau tetapi senjata yang dijumpai ialah gunting maka itu tidak akan membantu kes pendakwaan. Jika pada alat pembunuhan yang disyaki terlibat terdapat cap jari yang bukan milik suspek, ini juga akan menggagalkan kes pendakwaan.

7. Oleh sebab itu, apabila mayat mangsa dimusnahkan sama ada secara pembakaran atau seumpamanya, ini akan menyukarkan pihak penyiasat dan pendakwaan walaupun tidak mustahil untuk membina bukti dengan kecanggihan teknologi ilmu pada zaman ini.

8. Pembuangan abu mayat mangsa yang dibakar beserta barang bukti lain ke dalam sungai menjadi salah satu faktor yang akan mencabar kemahiran pihak pendakwaan. Jika ianya dibuang ke laut ia akan menjadikan kawasan pencarian pihak penyiasat seolah-olah tiada sempadan dan tentu sekali akan melemahkan kes pendakwaan. Tetapi bagi penjenayah, mereka tidak akan mengambil risiko untuk membuangnya ke laut kerana waktu perjalanan yang lebih lama, memerlukan bot atau seumpamanya dan semua ini akan mendedahkan mereka kepada disyaki dan ditangkap.

9. Suspek utama juga akan terlepas jika keterlibatan beliau hanya setakat “memberi arahan” dan tiada keterlibatan lain secara jelas. Tambahan pula jika tiada suspek lain yang bersetuju untuk “berpaling tadah” (bahasa kasar kepada bekerjasama) kepada pihak pendakwa untuk menjadi saksi pendakwa bagi membantu mensabitkan kes terhadap tertuduh-tertuduh yang lain.

10. Sama ada kesemua suspek atau tertuduh dalam kes ini akan terlepas daripada tali gantung atau tidak, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. tetapi saya percaya bahawa para pembaca sekalian dapat menghidu apa yang saya cuba maksudkan. Ini kerana setiap tuduhan perlu disokong dengan bukti! Semoga Allah mengampuni dan mengasihani kesemua mangsa yang terlibat.

Sekian.

ahmad jailani abdul ghani

ustjai.wordpress.com

13/10/2010