jailani, peguam, ustaz, islam, syariah, undang-undang, law

Keluarga

DATUK MENIPU, DATIN TERTIPU

Love

Bonafide Love - Don't Betray Your Better Half.

1. Keinginan berpoligami sentiasa membuak-buak dalam diri mana-mana lelaki. Perempuan pula suka menghampiri lelaki yang berkedudukan, berharta dengan alasan tak perlu susah-susah nak mula dari awal. Begitulah juga yang berlaku kepada seorang bergelar “datuk”.

2. Walaupun usia sudah dipanggil tua, tetapi hati tetap muda. Cuma “Datuk” ini hebat di kalangan teman-teman, para pekerjanya dan masyarakat sahaja. Ramai orang hormat dan segan kepada “Datuk” ini.

3. Tetapi “Datuk” ada kelemahannya, dia takut “Datin”. Mungkin dia tidak takut kepada fizikal datin tetapi dia cuma seperti kebanyakan lelaki lain, tak suka bini bising-bising, berleter dan seumpamanya. Kalau datin ajak “wrestling”, undoubtedly Datuk mesti menang. Itu saya yakin.

4. Masalahnya, Datuk sudah berkahwin lain. Pada masa yang sama tak mahu Datin tahu. isteri muda pula sentiasa mendesak-desak Datuk supaya selalu dapat berjumpa. Datuk juga memang suka isteri muda. Tetapi, penghalang utama kepada perjumpaan di antara Datuk dan isteri mudanya adalah datin.

5. Apa yang perlu datuk buat? Jika datin tahu, sudah tentu marahnya akan mengalahkan amarah letusan volkano. Serangannya akan mengalahkan tsunami.

6. Datuk dapat idea. Disuruhnya driver beli tiket flight ke Jepun. Dengan alasan urusan perniagaan selama 2 minggu. Datin pun sibuk mengemas beg datuk dengan harapan misi perniagaan datuk akan berjaya. Datuk berjaya, datin dapat bergaya.

7. Datin menemani datuk untuk check-in di airport. Selepas selesai check-in, datin cium tangan datuk dan melambai datuk yang sedang menuju ke departure gate utk boarding. Selepas datin melihat datuk melepasi pemeriksaan utk ke departure gate, datin pun pulang ke rumah dengan doa agar datuk berjaya dalam urusannya dan juga pesanan jangan lupa beli cenderamata dari Jepun.

8. Datuk pula berjalan menuju ke arah gate dan menunggu panggilan masuk ke dalam pesawat. Bila tiba masanya, pengumuman dibuat, maka para penumpang semua beratur memasuki pesawat. Datuk pula bangun dan tidak beratur masuk dalam pesawat tetapi keluar dari balai berlepas, naik teksi menuju terus ke rumah isteri mudanya yang melompat-lompat kegirangan kerana mereka berdua akan berbulan madu di “Jepun” yang terletak di Semenanjung Malaysia tanpa gangguan daripada datin yang tertipu dengan tipu daya datuk yang menipu.

9. Datuk perlu membeli tiket kapal terbang ke Jepun atau mana-mana negara lain setiap kali ingin bermalam di rumah isteri mudanya.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani

Durham, England.

ustjai.wordpress.com.


AKIBAT WALI ENGGAN

Cinta yang diduga, jika dapat melepasinya, akan dapat kenikmatannya

Cinta yang diduga, jika dapat melepasinya, akan dapat kenikmatannya

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
http://www.ustjai.wordpress.com

1. Apabila membaca berita di bawah, saya terasa ingin berkongsi pengalaman dengan para pembaca weblog saya ini. Tiadalah niat di hati saya untuk membongkar keaiban orang atau bertepuk tangan di atas kesusahan orang lain, namun, yang penting kita sentiasa melihat ianya sebagai pengajaran yang sangat berguna untuk kita semua.

2. Saya ingin memberi amaran dan ingatan kepada diri saya sendiri tentang kewajipan menutup aib sesama manusia sebagaimana dua nas berikut:-

Jauhilah perkara-perkara keji yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana, jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah Azza wa Jalla. (hadith ini direkodkan oleh al-Hakim dalam kitab al-Mustadraknya, hadith no: 7615 dan beliau berkata: “Hadith ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (Imam Bukhari dan Imam Muslim) tetapi mereka berdua tidak mentakhrijkannya”. Ini dipersetujui oleh Imam al-Zahabi).

Sesiapa yang menutup (kesalahan) seorang muslim maka Allah menutupnya di dunia dan akhirat. (Sahih Sunan Ibn Majah, hadith no: 2078)

3. Tetapi apabila kes di bawah ini dilaporkan dalam akhbar, malah tuan empunya diri juga pernah membuat kenyataan media secara terbuka, maka saya berpendapat ada baiknya saya membuat sedikit ulasan. Namun demikian, ingin saya nyatakan dengan tegas, bahawa saya tidak pernah mengenali secara peribadi kesemua mereka yang terlibat, juga tidak mengetahui hujung pangkal kisah mereka. Maka ulasan ini hanyalah satu kenyataan berdasarkan pengalaman sebagai seorang peguam suatu ketika dahulu, untuk memberi pengetahuan yang bermanfaat sahaja kepada orang awam.

4. Apabila seseorang ingin berpoligami, secara kebiasaannya akan mendapat tentangan sama ada daripada isteri pertama, keluarganya, anak-anak dan/atau keluarga isteri kedua.

5. Apabila bakal bapa mertua menentang, sedangkan persetujuannya diperlukan dari sudut syarak dan/atau undang-undang, maka si suami mempunyai beberapa pilihan.
a. membuat permohonan “wali enggan” di mahkamah syariah (tentunya tanpa gentar dan secara ‘gentleman’)
b. bernikah di luar negara (biasanya Thailand) kemudian didaftarkan semula atau tidak
c. bernikah dalam negara tetapi “menyamar” sebagai “teruna”.
d. bernikah dengan cara sindiket.

6. Cara “b” , “c” dan “d” dipilih oleh sesetengah orang dengan alasan ianya mudah di peringkat awal, susahnya kemudian. Lautan api sanggup ku renangi, gunung-ganang sanggup ku daki demi mendapatkan kekasihku yg ku cintai. Segala kesusahan akan ditanggung kemudian.

7. Cara “c” dilakukan oleh segelintir orang kerana maklumat pernikahan tidak didaftarkan secara “online” atau “centralised” menyebabkan ianya dapat dilakukan dengan mudah (kepayahannya ada, tetapi dianggap minimum). Sebagai contoh andaian, seseorang yang bernikah dengan isteri pertamanya di Kelantan, dapat bernikah dengan isteri keduanya di negeri lain dengan mengaku sebagai teruna, kerana rekod pernikahannya di Kelantan tidak dihubungkan keseluruh negara.

8. Cara “d” dilakukan biasanya dengan membelakangkan terus hukum hakam agama, mereka bernikah sekadar untuk mendapatkan “sijil”. Dan sijil ini pula ada ketikanya sukar dikesan kepalsuannya.

9. Kekecohan kemudiannya timbul apabila pihak berkepentingan (isteri pertama, keluarganya atau keluarga isteri kedua) mendapat tahu berita pernikahan tersebut. Kadang-kadang, “rahsia” pernikahan tersebut dibocorkan sendiri oleh isteri kedua lantaran “tidak sabar” untuk melihat suaminya “berperang” dengan isteri pertama, dengan harapan isteri pertama akan meminta cerai, dan ini akan merealisasikan hasratnya untuk membolot suaminya hanya untuk dirinya seorang.

10. Pernikahan sindiket mungkin sukar dikesan jika “network” yang digunakan sangat “bagus”.

11. Apabila mahkamah dilibatkan untuk mendapatkan perintah “dipisahkan” antara kedua-dua pasangan pengantin baru itu, kadang-kala perintah mahkamah tersebut menjadi tidak berguna. Ini kerana perintah mahkamah ada ketikanya sangat “vague” dan tiada perincian.

12. Apa maksud dipisahkan? Apakah sekadar bertemu, berbual dan/atau “berkhalwat” seketika terus boleh dianggap melanggar perintah mahkamah?

13. Apatah lagi jikalau dalam kes di bawah, di mana pasangan itu “dikurung” atau dipaksa jangan keluar sehingga keesokan harinya oleh pihak yang menentang atau tidak bersetuju dengan pernikahan tersebut. Memaksa pasangan itu untuk berada dalam rumah sehingga ke hari esok akan menjadi alasan yang berpihak kepada pasangan tersebut bahawa mereka tidak sengaja untuk tinggal bermalam dalam satu rumah, lantaran mereka dipaksa. Malah siapa tahu bahawa itu boleh menjadi “pucuk dicita ulam mendatang” kerana mereka dikurung semalaman di dalam rumah tanpa ada pihak ketiga. Jika ada pihak ketiga pula, itu akan menyebabkan usaha membawa mereka ke komital prosiding akan gagal seratus peratus.

14. Saya berpendapat, pasangan tersebut dengan mudahnya dapat melepasi komital prosiding di mahkamah nanti. Wallahu A’lam.

KOTA BHARU: Suasana tegang menyelubungi perkarangan rumah isteri kedua bekas Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Dr Rosli Allani Abd Kadir, 35, di Kampung Telipot di sini, semalam, apabila dikepung sekumpulan lelaki yang tidak berpuas hati dengan tindakan pasangan terbabit yang didakwa enggan mematuhi perintah mahkamah syariah mengarahkan mereka dimufarakah (dipisahkan) sehingga perbicaraan kes mereka selesai.

Berita selanjutnya di sini,

http://www.hmetro.com.my/Tuesday/BeritaUtama/20091229071847/Article

Sekian,

Ahmad Jailani Abdul Ghani
http://www.ustjai.wordpress.com


HIJRAH KAMI DI DURHAM, UK

DURHAM MATRICULATION

DURHAM MATRICULATION

Saya bersama rakan-rakan Muslim dari Perancis, Libya, Singapura, Turki, Kanada & Jordan yg sama-sama menuntut di Durham Universiti. Gambar ini diambil selepas Matriculation Ceremony di Durham Cathedral.

DURHAM 2009 148

Kami sekeluarga. Semoga anak-anak ini menjadi anak yg soleh. Gambar ini diambil di hadapan St. Mary’s College.


KATA PERBUATAN

Hidup berumahtangga adalah sesuatu yang enak, sayang sekali jika anda menghancurkannya

Hidup berumahtangga adalah sesuatu yang enak, sayang sekali jika anda menghancurkannya

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
07/07/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

Seorang guru Bahasa Malaysia mempunyai masalah dengan isterinya lalu berkata kepada isterinya, “Kalau you tak kata sayang kat I sampai subuh esok , jatuh talaq”. Beliau berkata demikian dengan nada mengugut isterinya.

Si isteri tetap enggan mengungkap kata sayang pada suaminya sehingga hari esok. (Si isteri memang berharap agar talaq jatuh). Tetapi yang agak aneh, walaupun pada malam itu, si isteri enggan kata sayang pada suaminya, mereka tetap melakukan hubungan kelamin.

Beberapa lama kemudian, si isteri memfailkan permohonan untuk mengesahkan perceraian secara taaliq talaq (perceraian yang berlaku secara perlanggaran syarat yang dibuat suami)

Hakim bertanya kepada suami, “Benarkah kamu bertaaliq seperti itu?” Si suami jawab, “Ya”. Hakim bertanya lagi “Benarkah isteri kamu tak kata sayang pada kamu pada malam tu sehingga subuh esoknya?”

Si suami menjawab, “Yang Arif, walaupun isteri saya tak kata sayang pada saya melalui mulut beliau, tetapi Yang Arif, dalam Bahasa Malaysia “kata” mempunyai banyak “kata”. Ada kata nama, ada kata sifat dan ada kata perbuatan. Walaupun dia tak kata sayang pada saya melalui mulut, tetapi dia ada kata sayang melalui perbuatan dia yang melayan saya pada malam tu….”

Hehehe geliga otak si suami (walaupun cerita ini benar, tetapi terdapat fakta yang telah diubah untuk mengelak peribadi sebenar dikenali)

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
07/07/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


KENAPA KAHWIN PELACUR?

ANAK YANG SOLEH BERASAL DARIPADA IBUBAPA YANG SOLEH

ANAK YANG SOLEH BERASAL DARIPADA IBUBAPA YANG SOLEH

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
21/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

Seorang wanita berusia 30’an datang menemui saya. Orangnya cantik berambut lurus ala teknik rebonding. Dia mengadu tentang suaminya yang berhasrat untuk menikahi pelacur yang kerap dilangganinya di sebuah pekan kecil di sempadan Malaysia – Thailand. Suaminya seorang pengurus berpendapatan belasan ribu sebulan tetapi mempunyai hobi “berfoya-foya” dengan pelacur setiap dua minggu kerana gajinya dibayar dua kali sebulan.

Si isteri ini bertanya kepada saya adakah saya bersetuju bahawa pelacur berkenaan tidak cantik dan dia lebih cantik daripada pelacur itu. Maka beliau mengeluarkan gambar pelacur tersebut. Ya, saya menjadi sangat hairan apabila melihat gambar pelacur tersebut dalam pelbagai aksi. Pelacur itu berbadan gempal, sedangkan si isteri berkenaan mempunyai potongan badan cantik ala Maya Karin. Faktor kecantikan wajah juga berpihak kepada si isteri.

Beliau pernah “confront” suaminya dan bertanya kenapa ingin menikahi pelacur tersebut. Suaminya jawab, “kerana ingin berdakwah kepada pelacur tersebut supaya dia memeluk Islam”. Ha ha ha, saya tergelak mendengar alasan tersebut. Maka si isteri berkenaan membantah alasan ingin berdakwah tersebut dengan berkata kepada suaminya, “kalau abang benar-benar ingin berdakwah, abang mesti berdakwah kepada saya dahulu, ini tidak, setiap kali nak solat, abang tak mau jadi imam, masuk bilik kunci pintu solat sorang-sorang.”

Krisis mereka berdua mengingatkan saya kepada seorang kenalan yang juga datang menemui saya meminta pendapat tentang hasratnya memperisterikan pelacur Siam juga dengan alasan “dakwah”. Saya sangat ragu-ragu dengan alasan tersebut kerana saya mengenali rakan saya itu dan tahap sebenar agama beliau.

Saya mempunyai sangkaan yang kuat tentang sebab sebenar wujudnya lelaki seperti ini ingin berkahwin dengan para pelacur. Seorang klien saya pernah menceritakan kenapa beliau suka pelacur. Sebab utamanya ialah kehebatan di ranjang dan pelbagai “perkhidmatan” yang si isteri di rumah langsung tiada pengalaman dan skil tentangnya. Malah, saya pernah diberitahu bagaimana kaum lelaki di Greece, mempunyai criteria pelik, iaitu calon isteri mereka perlu mempunyai pengalaman luas dalam hubungan jenis kerana kelebihan “kepelbagaian” atau “varieties” dan bukannya stereotype.

Mungkin kerana inilah yang menyebabkan ramai orang melanggani GRO, pelacur atau sesiapa yang “sewaktu” dengannya. Saya dapat melihat sendiri wajah-wajah usang dan memualkan ini di mahkamah syariah. Saya bertanya kepada diri sendiri, kenapa wajah tua dan hodoh seperti ini masih ada pelanggan? Saya langsung tidak tertarik apabila melihat mereka. Ada antaranya yang menjawab, “ustaz belum tengok mereka di bawah lampu warna-warni di tempat hiburan, yang pasti memukau lelaki yang melihatnya”.

Jawapan sebenarnya ialah, “Itulah alasan orang yang memilih daging yang busuk daripada daging yang baik, lebih suka perempuan jelek berbanding isteri yang suci di rumah.”

Perhatikanlah dalil-dalil berikut:-

Surah Al-Baqarah ayat 221, “Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya)”.

Surah Al-Nur, ayat 3, “Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman”.

Surah Al-Nur, ayat 26, “(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia”.

Hadith riwayat Imam Bukhari dengan maksudnya, Janganlah kamu menikahi wanita kerana kecantikannya (semata-mata), boleh jadi kerana kecantikannya dia menghinakan dirinya dan janganlah pula kamu menikahi wanita kerana kekayaannya (semata-mata) boleh jadi kerana hartanya menyebabkan dirinya sombong. Tetapi peristerikanlah wanita yang beragama meskipun dia hitam lebih baik bagimu.

Justeru itu, pandulah nafsu kita mengikut panduan agama.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
21/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


ANAK KASIHANKAN AYAH

Isteri dan anak-anak untuk dikasihi bukan dizalimi

Isteri dan anak-anak untuk dikasihi bukan dizalimi

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
19/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

Berdasarkan statistic pada tahun 2005, kes rogol direkodkan sebanyak 1,931 dan diikuti kes cabul, 973 dan liwat, 71 kes. Pada tahun 2006, kes rogol meningkat kepada 2,041, manakala cabul (1,066) dan liwat (71 kes). Pada tahun 2007 pula, sebanyak 3,098 kes rogol dilaporkan, cabul (2,228) dan liwat, 101 kes. Angka itu terus meningkat pada 2008 iaitu 3,405 bagi kes rogol dan cabul (2,107) dan 130 kes liwat.

Saya teringat pada suatu ketika, seorang isteri telah melantik saya sebagai peguambela kepada suaminya yang dituduh merogol anak mereka sendiri. Pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang akan membawa kepada hukuman minimum 5 tahun penjara dan maksimum 20 tahun penjara. Sebenarnya sukar untuk saya menemui kes seperti ini, iaitu isteri melantik kita untuk mempertahankan suaminya yang didakwa telah menzalimi masa depan anak secara kejam seperti itu.

Dalam sesi temubual saya dengan anak guam tersebut, beliau menafikan bahawa beliau telah merogol anak tersebut yang ketika itu masih bersekolah rendah.

Semasa sesi perbicaraan, pakar perubatan memberi keterangan yang menunjukkan bahawa selaput dara (hymen) anak tersebut tidak koyak (masih utuh) tetapi beliau telah membuat kesimpulan (inferen) bahawa rogol tetap boleh berlaku kerana sifat keelastikan hymen yang berbeza di antara setiap individu disokong pula dengan beberapa kesan cedera di sekitar bahagian sulit anak tersebut. Berdasarkan beberapa fakta lain, doktor tersebut mempertahankan pendapatnya bahawa telah berlaku penetrasi pada alat sulit anak tersebut.

Saya mendapati juga terdapat beberapa laporan polis dan kaunseling sekolah yang menyokong dakwaan rogol berkenaan.

Apabila tiba giliran anak tersebut bercakap di mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bertanya kepada mangsa (anak tersebut), “Apa yang ayah kamu lakukan kepada kamu?” Mangsa jawab, “ayah tak buat apa-apa”. Terkejut TPR tersebut dan saya perasan hakim bicara juga terkejut tetapi beliau cuba menyembunyikannya. TPR tersebut tanya lagi, “kalau ayah kamu tak buat apa-apa, kenapa datang sini?” Mangsa hanya mendiamkan diri. Saya dapat mengagak bagaimana “berpeluhnya” TPR pada pagi itu.

Ringkasnya, kes tersebut digugurkan. Saya terserempak dengan anak tersebut di luar mahkamah dan bertanya, “kenapa adik cakap macam tu?”. Kanak-kanak tersebut menjawab, “Kesian kat ayah”.

Hati saya menjadi tidak menentu, kalau anak kasihankan ayahnya, kenapa ayah tidak kasihankan anaknya?

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
19/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


KERANA ANAK, MANUSIA SYIRIK

Janganlah kerana anak, kita mensyirikkan Allah. Na'uzubillah

Janganlah kerana anak, kita mensyirikkan Allah. Na'uzubillah

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
17/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

Kerap kali saya dijemput oleh sahabat-sahabat untuk tahnik (belah mulut) anak mereka. Terbaru, seorang lagi kenalan meminta saya memenuhi hasratnya itu. Tanpa mengecewakan beliau, saya hadir ke rumahnya pada waktu tengahari, walaupun pada hari tersebut adalah hari bekerja. Dengan pakaian biasa seorang “lawyer” (hitam dan putih), saya melakukan tahnik kepada anaknya tersebut, alhamdulillah.

Ada perkara yang mengejutkan saya, apabila terpandang pada bahagian lengan anak tersebut. Terdapat sejenis “tali” yang saya sangat “familiar”. Itu adalah tali (dibuat seperti gelang) yang sering dijadikan sebagai “tangkal” oleh orang-orang tua di kampung dengan niat untuk melindungi anak mereka daripada “sial”.

Lantas, saya bertanya kepada beliau, “tali apa ni”. Dia jawab, “tak tahu”. Saya hairan, bagaimana mungkin seorang bapa tidak tahu apa-apa tentang tali yang ada pada lengan anaknya itu. Mungkin, juga tali itu dipakaikan oleh ahli keluarga yang lain. Sebenarnya, sama ada sedar atau tidak, ramai di kalangan kita, lantaran sayang kepada bayi yang baru lahir, mereka memakaikan pelbagai tangkal sebagai “pendinding” bagi menjauhkan anak mereka daripada pelbagai gangguan atau bahaya.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Imran bin Husoin:-
Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melihat seorang lelaki memakai gelang tembaga di lengannya. Baginda bertanya, “Celaka engkau, ini apa?” Jawab lelaki itu, “ini benda yang lemah”. Jawab baginda, “Ingat, sesungguhnya ia menambah kelemahan kamu, sebab itu, buanglah ia. Kerana, kalau kamu mati, sedangkan ia masih tetap kamu pakai, selamanya kamu tidak akan selamat”.

Kasih dan sayangkan anak tidaklah salah. Malah ia menepati fitrah kejadian manusia dan menjadi ajaran Islam. Kesalahan yang sebenar ialah apabila kecintaan kita kepada anak menyebabkan kita melanggar perintah Allah.

Di dalam Surah Al-A’raf ayat 190, Allah SWT menceritakan tentang satu pasangan suami isteri dengan maksudnya:-
“Ketika Allah memberi kepada kedua-duanya anak yang sempurna, tiba-tiba, kedua-duanya mengadakan sekutu bagi Allah dalam apa (anak) yang diberikan kepada kedua-duanya itu. Maha Tinggi Allah dari segala apa yang dipersekutukan”.

Sebahagian ulama berpendapat, pasangan tersebut adalah Nabi Adam & Hawa, manakala yang lain berpendapat bahawa pasangan tersebut daripada kaum Nasrani atau Yahudi.

Ibnu Abi Hatim telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas dengan riwayat dhaif / lemah bahawa ketika Hawa mengandung (selepas terkeluar dari syurga) datanglah Iblis menggoda dan mengugut supaya anak yang bakal lahir mesti dinamakan dengan nama Abdul Harith, jika tidak, anak tersebut akan dibubuh tanduk rusa padanya supaya bila dilahirkan nanti akan merobek peruk Hawa. Nabi Adam & Hawa enggan tunduk kepada godaan Iblis tersebut. Lalu lahirlah anak tersebut tetapi mati. Begitu juga kali kedua mengandung berlaku ugutan yang sama daripada Iblis dan anak itu juga mati. Apabila masuk kali ketiga, Nabi Adam & Hawa akur kepada kehendak Iblis lalu menamakannya dengan nama Abdul Harith. Ini kerana mereka takut anak tersebut akan mati kali ketiga. Sedangkan Al-Harith bukanlah nama Allah. Malah ada riwayat yang menunjukkan ia adalah nama Iblis.

Tanpa mengira sama ada benar atau tidak pasangan tersebut adalah Nabi Adam & Hawa, tetapi yang penting ialah teguran dan larangan Allah SWT agar jangan dengan kurniaan anak daripada Allah SWT kepada kita, menyebabkan kita mensyirikkan Allah SWT.

Ramai manusia, dalam usaha mereka mendapatkan anak, penjagaan kandungan (adat melenggang perut dan sebagainya) sehinggalah kepada selepas anak dilahirkan telah melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan mereka menjadi syirik kepada Allah. Na’uzubillah.

Moga Allah menjauhkan kita semua daripada mempersekutukan-Nya.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
17/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


WANITA FASIQ YG DARING & ISTERI SOLEHAH YG NAIF

Saya dan isteri di Prague. Moga kasih sayang kami diberkati Allah

Saya dan isteri di Prague. Moga kasih sayang kami diberkati Allah

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
10/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

1. Belayar di alam rumahtangga, ada ketikanya membuatkan kita berada di persimpangan. Apatah lagi kita sebagai manusia biasa yang sentiasa diuji oleh Allah untuk membezakan di antara hambaNya yang soleh dan fasiq. Syaitan pula menerpa kita dengan pelbagai godaan yang menyebabkan ramai di antara kita yang tewas. Tidak kurang juga yang tewas tetapi sentiasa bangkit kembali mencari keredhaan Allah.

2. Kadang-kadang kita tertanya-tanya kenapa wanita fasiq pandai menggoda, manakala isteri di rumah yang beriman seolah-olah tidak tahu cara memikat suami. Bagaimana mungkin kita sebagai lelaki beriman dapat mengharungi segala ombak dan badai jika sekiranya kita hanya keseorangan tanpa sebarang bantuan. Adalah tidak adil jika isteri menuntut kita sebagai suami agar tidak berlaku curang sedangkan pada masa yang sama si isteri tidak berusaha menjadikan dirinya sebagai alternatif halal kepada segala godaan jahat di luar sana yang sedang menggugat sang suami.

3. Lelaki yang beriman juga seorang manusia biasa. Apabila berada di pejabat, taman rekreasi, pasar, jalanraya hatta tempat ibadat sekalipun akan menemui segala jenis “mak nenek” godaan. Mereka akan berjumpa dengan wanita fasiq yang sangat “daring”. Bukan lelaki yang memulakan bicara tetapi mereka yang membuka kata. Bukan lelaki yang mencari tetapi wanita itu yang datang memukau.

4. Adalah sukar bagi sang suami untuk melepasi fitnah ini tanpa peranan berkesan sang isteri. Bagaimana mungkin si suami mampu menghadapi “keberanian” wanita fasiq yang datang ke pejabat pada waktu senja. Keberanian yang tidak mampu ditepis oleh sesiapa kecuali taqwanya sangat hebat kepada Allah. Keberanian wanita yang dengan sengaja tidak mengenakan butang tertentu pada baju yang dipakai. Wangian yang mengkhayalkan dari Kota Paris, selaku syurga haruman. Si wanita penggoda telah meninggalkan bau-bauan yang mampu bertahan separuh hari di pejabat sang suami. Si bidadari penggoda bercakap dengan suara yang lunak dan manja, mampu memperdengarkan degupan jantung sang suami. Kaum Hawa ini tahu bagaimana mempertahankan bentuk badan yang sangat menarik. Ditambah pula dengan pakaian yang sangat berani dan mendedahkan bahagian tertentu yang disukai oleh si suami. Kaum penggoda tahu menggunakan “penegasan”. Penegasan pada dadanya yang sengaja didedahkan, di “tegaskan”kan dengan rantai leher atau kalung yang menggantung bentuk “love” berwarna merah di tengah-tengah dadanya, suatu penegasan yang disengajakan untuk menarik mata kaum adam kepadanya.

5. Maka menderitalah sang suami dengan ujian hebat ini. Hasrat di hati untuk menjunjung sunnah Nabi SAW dengan pulang ke rumah mencari isteri yang suci bagi meredakan gelojak yang amat hebat itu. Tetapi, mampukah sang isteri untuk menandingi wanita penggoda tersebut? Si isteri yang beriman ini, hanya tahu memakai bedak wangi berharga RM5.90. Baju yang ada hanya T’Shirt putih hari sukan sekolahnya dengan hanya berkain batik yang mempunyai bau tomyam yang sedang disiapkan di dapur. Lenggangnya tidak menyamai “catwalk” wanita penggoda di luar tadi. Langsung tidak tahu dan amat naif tentang seni di kamar peraduan. Tiada tarian sehebat tarian gadis muda di Betong.

6. Maka tinggallah si suami yang beriman itu keseorangan mempertahankan imannya yang semakin goyang itu. Kepada sang isteri, kasihanilah dan bantulah suamimu.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
10/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


TG. MUHAMMAD FAKHRY & MANOHARA ODELIA PINOT

Ada darling yang tak layak dijadikan darling

Ada darling yang tak layak dijadikan darling

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
03/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

Apabila berita tentang kemelut rumahtangga Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Manohara Odelia Pinot tersebar, malah sebahagian akhbar meletakkannya pada muka depan dan tajuk utama, kita sebagai orang “luar” menjadi tertanya-tanya tentang apa sebenarnya yang berlaku. Kedua-dua suami isteri mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki oleh rakyat jelata biasa. Tg Fakhry selaku salah seorang putera Sultan Kelantan, memiliki “glamour” sebagai anak raja, kemewahan yang mencurah-curah, mulia di mata rakyat, manakala Manohara pula sebagai model dan selebriti juga memiliki glamour, cantik, muda remaja dan boleh diibaratkan sebagai bidadari syurga di dunia.

Saya dan isteri mempunyai pendapat yang berbeza tentang Manohara. Bagi isteri saya Manohara Odelia Pinot tidak cantik atau tidak cantik sangat. Tetapi bagi saya selaku seorang lelaki “normal”, saya “terpaksa” mengakui bahawa Manohara adalah seorang “bidadari” yang cantik dan mampu menyebabkan seorang lelaki (tidak semua tentunya) melakukan apa sahaja demi memilikinya sebagai “teman” dalam hidup mereka.

Maka sudah tentu, kita semua menjadi hairan, kenapa pula rumahtangga mereka bermasalah, sedangkan mereka sudah pun memiliki kelebihan dan keistimewaan tersendiri yang tidak dipunyai oleh orang lain?

Inilah hakikat kehidupan yang perlu dipelajari oleh semua hamba Allah. Semata-mata cantik, tampan, glamour, kaya, kuasa dan lain-lain bukanlah suatu jaminan bahawa kita akan mendapat kebahagiaan, malah rumahtangga ustaz dan ustazah juga tidak sunyi dipukul ombak dan ribut taufan yang tidak kurang hebatnya.

Saya tidak begitu perasan tentang Tg Fakhry yang merupakan putera ketiga Sultan Kelantan sekarang, tetapi ingatan saya masih segar tentang Tg Muhammad Faris Petra (putera sulung) dan Tg Muhammad Faiz Petra (putera kedua) sebab kami sama-sama belajar di SRK Sultan Ismail (1) Kota Bharu, Kelantan. Malah ada di antara mereka yang terkenal dengan minat kepada agama sehingga saya pernah terserempak dengannya semasa solat tarawih di Pondok Pasir Tumboh dan di kuliah maghrib di Masjid Gua Musang.

Sebelum kita menuduh siapa yang bersalah, Tg Fakhry atau Manohara yang bersalah kepada krisis tersebut, marilah kita melihat apa yang disebut di dalam Sunan Abu Daud (Kitab Al-Aqdiyah) Juzuk 3, mukasurat 1016 tentang kisah Ali r.a. Beliau berkata bahawa Nabi SAW telah menghantar beliau ke Yaman sebagai hakim. Lalu Ali bertanya; “Wahai Rasulullah! Adakah engkau menghantar aku dalam keadaan aku masih muda dan tiada ilmu pengetahuan tentang tugas seorang hakim?” Lalu baginda menjawab, “Allah akan memberi petunjuk kepada hatimu dan menjaga lidahmu sentiasa benar. Apabila dua pihak yang bertikai duduk di hadapanmu, janganlah kamu membuat keputusan sehinggalah kamu mendengar apa yang dikatakan oleh pihak yang satu lagi sebagaimana kamu mendengar keterangan pihak yang pertama. Kerana itulah sebaik-baiknya untuk kamu mendapat idea yang jelas untuk membuat keputusan yang terbaik”. Lalu Ali r.a. berkata; “Aku telah menjadi hakim (pada jangka waktu yang lama) atau dia berkata (perawi hadith ini tidak pasti) “Saya tidak lagi ragu-ragu membuat keputusan / penghakiman selepas itu”.

Jadi, yang paling penting ialah kita tidak terburu-buru menuduh siapa yang bersalah sebelum kita mendengar versi kedua-dua belah pihak. Ini kerana, adalah tidak adil jika hanya mendengar cerita sebelah pihak yang pastinya akan mengeluarkan semua versi kotor dan jelek tentang pihak lawannya, tanpa mengira kita berada di pihak yang mana sekali pun.

Berdasarkan pengalaman luas saya di mahkamah sivil dan syariah, saya boleh meletakkan sekurang-kurangnya dua kemungkinan sebagai cara menganalisa kisah kemelut seperti ini.

Kemungkinan pertama, si suami mendera si isteri. Jika keadaan ini berlaku, maka isteri tersebut mestilah mempunyai bukti. Si isteri perlu mendapatkan pemeriksaan perubatan agar dakwaan beliau tentang wujudnya kecederaan pada badannya disokong oleh laporan perubatan. Ada laporan media tertentu yang menunjukkan bahawa penderaan itu termasuklah kecederaan fizikal dan kezaliman seksual. Yang menariknya ialah, pihak yang menyebelahi Tg Fakhry telah mencabar Manohara agar pergi membuat pemeriksaan perubatan. Setakat waktu saya menulis artikel ringkas ini, laporan media menunjukkan bahawa Manohara masih belum membuat pemeriksaan perubatan. Nampak pelik juga. Bagi suami yang zalim dan mempunyai sedikit “aqal”, mereka takkan mengambil risiko membiarkan isteri mereka lari dalam keadaan wujud bukti penderaan pada badan. Biasanya risiko isteri akan lari hanya diambil apabila bukti-bukti lebam dan cedera telah beransur hilang pada badan mangsa.

Kemungkinan kedua, isteri hanya berbohong untuk menutup kesalahannya. Strategi ini kerap digunakan untuk mengalih isu sebenar atau untuk menutup kesilapan diri sendiri. Mungkin usaha untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati tidak tercapai, maka tiada faedahnya menunggu lagi, lebih baik tinggalkan sahaja suami yang enggan atau tidak mampu memenuhi hajat tertentu. Maka pelbagai cerita direka dan dicipta untuk mengaburi hakikat sebenar.

Di antara dua kemungkinan ini, mereka berdua yang lebih mengetahui kebenarannya.

Tetapi, bagi saya, berpegang kepada ajaran Al-Quran adalah yang lebih tepat, “Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji. Sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. (Surah al-Nur, ayat 26). Begitu juga ajaran Nabi SAW, sebagaimana hadith riwayat Bukhari & Muslim, “…maka hendaklah kamu memilih wanita yang beragama, jika tidak engkau kecewa dan melarat”. Kepada Tengku Fakhry, ingin saya nasihatkan dengan kata-kata berikut, “Jika Tengku berada di tempat saya dan melihat segala gambar Manohara, Tengku tidak akan mempunyai keinginan untuk memperisterikan Manohara kecuali yang ada hanya perasaan biasa seorang lelaki apabila melihat perempuan muda yang cantik”.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
03/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


UJIAN USTAZ AKHIL HAYY

Isteri tercinta di Old Town, Prague yang sungguh romantik

Isteri tercinta di Old Town, Prague yang sungguh romantik

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
26/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

1. Sedih sebenarnya apabila orang mengutuk dan mengeji kenalan atau sahabat kita yang ditautkan dengan persaudaraan yang ikhlas. Begitulah perasaan saya apabila membaca di media tertentu cerita-cerita hangat berkaitan rakan saya iaitu Ustaz Akhil Hayy. Kritikan pedas yang bertali arus melingkari pelbagai isu dan yang terbaru dan paling hangat ialah beliau dikaitkan dengan masalah rumahtangga. Inilah yang menyebabkan saya tidak suka populariti dan kemasyhuran. Bila bercerai pun heboh, isteri mengandung pun satu negara tahu, jatuh kuda pun terpampang muka depan akhbar dan seumpamanya. Kita tidak lagi memiliki privasi.

2. Saya dan Ustaz Akhil Hayy beberapa kali digandingkan oleh masjid & surau yang menjemput kami berceramah. Kali pertama saya mengenali Ustaz Akhil Hayy sekitar 10 tahun yang lalu jika saya tidak silap ketika kami digandingkan kali pertama di Ipoh. Pada masa itu beliau penceramah pertama dan saya penceramah yang kedua. Saya sampai sekitar jam 9.30mlm, orang sangat ramai. Saya dapat melihat Ustaz Akhil baru memulakan ceramahnya. Anak-anak muda termasuk remaja lelaki “rock”, berambut panjang juga kelihatan ramai datang mendengar ceramahnya. Seorang gadis “kilang” (berdasarkan uniformnya) tidak bertudung juga sedang berlari di hadapan saya menuju ke tempat Ust Akhil Hayy sedang berceramah. Sungguh menakjubkan!

3. Disebabkan faktor inilah saya hanya mendiamkan diri sambil tersenyum jika ada ajk masjid atau surau yang mengkritik beliau. Beliau mempunyai kekurangan sebagaimana ustaz dan agamawan lain juga memiliki kekurangan kerana kita hanyalah manusia biasa. Tetapi apabila datang isu terbaru yang dikaitkan dengan beliau, sukar untuk saya memberikan pandangan melainkan peringatan biasa sekadar menyegarkan semula ingatan kita kepada perkara asas dalam agama.

4. Media melaporkan bagaimana luahan oleh isterinya iaitu Maizawati Zainal bahawa “ustaz” tidak pulang ke rumah sejak Februari lalu bermakna sudah lebih kurang 3 bulan.

5. Ini mengingatkan saya kepada nukilan Almarhum Sheikh Abdullah Nasih Ulwan tentang seorang perempuan di zaman Khalifah Umar Al-Khattab yang lama ditinggalkan oleh suaminya kerana berjihad. Wanita itu memendam rindu terhadap suaminya, batinnya memberontak, perasaannya tidak tentu arah, naluri kewanitaannya berkecamuk, keinginannya sebagai manusia biasa memuncak. Hanya kerana imannya yang tebal sahaja yang menghalangnya daripada melakukan perkara haram. Ketika itulah, Khalifah Umar yang sedang “meronda” pada waktu malam terdengar suara perempuan itu mendendangkan lirik berikut:-

6. “Sungguh terlalu panjangnya malam ini,
Dan sangat gelap pula penjuru-penjurunya,
Hati ini pula sedang bersedih,
Kerana tiada kekasih untuk bermanja-manja,
Demi Allah, Kalaulah tidak kerana Allah,
yang aku takut hukuman-Nya,
Sudah tentu, aku akan goncangkan segala penjuru katil ini (simbolik kepada aksi zina)”.

7. Khalifah Umar yang terasa tergugat mendengar kata-kata itu, keesokannya telah pergi menemui Hafsah (anaknya) dan bertanya, berapa lamakah isteri sanggup bersabar, jika suaminya keluar negeri? Jawab Hafsah, 4 bulan. Kerana inilah, Umar telah membuat polisi bahawa panglima tentera pada zamannya dilarang daripada menggunakan khidmat tentera yang berpisah daripada keluarganya lebih daripada 4 bulan.

8. Pernah seorang isteri yang sangat benci kepada suaminya dan tinggal berasingan daripada suaminya akibat suatu perbalahan tetapi membuat pengakuan kepada saya bahawa dia “terpaksa” “bersama” suami beberapa kali dalam tempoh perbalahan tersebut kerana desakan naluri kewanitaannya.

9. Ingatlah! Wanita adalah amanah daripada Allah SWT untuk kita semua kaum adam menjaganya dengan cara yang paling baik.

10. Mengenali peribadi Ustaz Akhil Hayy, saya percaya beliau mampu menyelesaikannya dengan cara paling baik. Jika kita tersilap, kita perbetulkan. To err is human. Yang penting, kita perbaiki dari semasa ke semasa. Kepada sahabat saya, Ustaz Akhil, saya kagum dengan beberapa kelebihan yang beliau miliki, amat sayang jika tidak dimanfaatkan. Doa saya, beliau dan kita semua tetap di landasan yang benar dan tidak terjerumus ke dalam golongan mutasaqitun fi tariq ad-da’wah.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
26/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com