jailani, peguam, ustaz, islam, syariah, undang-undang, law

politik

RASUAH “ISLAMIK”

Ahmad Jailani Abdul Ghani

http://www.ustjai.wordpress.com

18 Nov 2009

 

1. Apabila saya mendapat tahu bahawa TG MB Kelantan membatalkan hasratnya ke Makkah yang ditaja oleh pihak tertentu, saya antara orang yang gembira dengan keputusan tersebut. Saya tidak tahu dan tidak ingin mengambil tahu niat sebenar pihak yang menaja tersebut tetapi saya suka berkongsi pengalaman yang pernah dilalui di Malaysia.

2. Saya suka menamakan isu ini sebagai rasuah “Islamik”

3. Perkara ini tidaklah pelik di kalangan orang yang terlibat dalam bidang marketing. Kita “terpaksa” memberi, untuk membolehkan kita menerima. Di dunia ini, itulah kelazimannya. Seorang peguam yang hebat di mata masyarakat, tetapi ada ketikanya adalah berwajah “sardin” dan muka papan sekeping kerana mengemis kes-kes diberikan kepadanya.

4. Saya pernah pada suatu ketika, pergi berjumpa dengan seorang pengurus cawangan bank dengan niat supaya firma guaman saya akan mendapat sokongan dalam bentuk pemberian kes-kes perbankan. Pengurus tersebut tanpa segan silu mencadangkan agar saya sebagai peguam/pemilik firma tidak perlu terlibat secara langsung dalam kerja marketing, memadai untuk saya menggaji kakitangan perempuan berbangsa cina yang cantik untuk membuat kerja marketing bagi pihak saya.

5. Begitu juga, apabila saya cuba berbaik-baik dengan pegawai penguatkuasa undang-undang, dengan tidak semena-mena, dipanggilnya dua orang kawannya (perempuan seksi) untuk duduk bersama kami sambil menyatakan bahawa aktiviti malamnya adalah “massage”. Saya syak, dia cuba menguji saya.

6. Seorang ibu ayam, pernah menawarkan “ayam” uzbeknya kepada saya. Lalu saya menolak, tetapi dia cuba memujuk saya dengan mengatakan bahawa bahawa pak haji lain pun mengambil “ayamnya”.

7. Apa yang saya maksudkan dengan rasuah “Islamik” ialah apabila pihak berkepentingan yang ingin melakukan kerja marketing seumpama itu melihat “targetnya” adalah pak haji, tok lebai atau orang berkopiah yang mungkin tak dapat dikalahkan atau ditawan dengan wang atau perempuan. Maka sudah menjadi kelaziman, umpan yang ditawarkan adalah pakej umrah, haji atau lawatan ke tempat bersejarah Islam. Maka si yang diumpan merasakan itu bukan rasuah kerana pergi haji atau umrah adalah amalan kebajikan.

 

Ahmad Jailani Abdul Ghani

http://www.ustjai.wordpress.com

18 Nov 2009


MENELADANI TUN RAZAK & DATUK MUSTAPA MOHAMED

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
07/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

Pemimpin, saya umpamakan seperti dahan di mana rakyat bergantung kepadanya. Jikalau dahan tersebut reput maka jatuh dan terhempaslah sesiapa jua yang berpegang kepadanya, tetapi, jika dahan itu kuat, maka selamatlah sesiapa yang berpaut padanya.

Saya teringat kepada dua orang pemimpin, seorang telah pun menemui Allah SWT di alam barzakh, manakala seorang lagi masih lagi hidup di dunia yang sementara ini. Mereka berdua tidak lain dan tidak bukan ialah Tun Abdul Razak dan Datuk Mustapa Mohamed.

Tun Abdul Razak ialah bapa kepada Perdana Menteri kita sekarang iaitu Datuk Seri Najib Razak. Walaupun saya tidak sempat merasai kemakmuran negara di era pemerintahan Tun Abdul Razak tetapi legasi beliau sangat masyhur dan sentiasa bermain di bibir rakyat dan sesiapa jua yang saya temui yang pernah merasai nikmat pemerintahan di era beliau.

Pada zaman beliau, parti pembangkang yang sememangnya “garang”, tiba-tiba menjadi lunak dan sanggup bernaung dan seterusnya bergabung dengan Barisan Nasional (Perikatan). Di bawah kepimpinan beliau, negara dibangunkan, sehinggakan beberapa tempat termasuk bandar di negara ini diberikan nama beliau. Apabila negara ini mengalami peristiwa hitam 13 Mei 1969, beliau telah diberi kepercayaan untuk mengubati segala “luka” yang telah berlaku seterusnya mengemudi negara ini ke arah keamanan. Tetapi, taqdir Allah mengatasi segalanya, dalam keadaan rakyat di negara ini belum puas menikmati nikmat kepimpinan beliau, Allah SWT terlebih dahulu “memanggilnya” pergi menemui-Nya di alam barzakh.

Datuk Mustapa Mohamed, ahli parlimen kawasan Jeli, Kelantan dan juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), adalah seorang pemimpin yang sangat disegani oleh kawan dan lawan dan saya berani mengatakan bahawa beliau mempunyai potensi menjadi “Tun Razak Kedua”.

Beliau mendapat undi tertinggi dalam pertandingan peringkat Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini, terkenal sebagai seorang yang “bersih” sangat sukar untuk dikaitkan dengan sebarang gejala poltik wang, berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira fahaman politik mereka menyebabkan kita dapat melihat betapa lesunya bendera-bendera Pakatan Rakyat untuk berkibar di kawasan parlimen Jeli!!

Saya sendiri pernah hadir ke rumah beliau untuk berhariraya, dan sebagai tuan rumah beliau datang ke setiap meja makan termasuk meja di mana saya berada , saya berkesempatan melihat dengan dekat bagaimana “humble”nya seorang pemimpin yang sangat terkenal dengan panggilan To’ Pa ini. Ucapan beliau di mana-mana tidak pernah atau sukar untuk kita mendengar ucapan-ucapan mengutuk atau mencaci sebagaimana amalan biasa ahli politik, malah sebaliknya, setiap patah perkataan yang keluar dari mulut beliau adalah perkataan yang sangat teratur dan berhati-hati. Justeru itulah, mungkin, ketika PRU 2008 baru-baru ini kita dapat menyaksikan jumlah pengundi yang mengundi BN di peringkat parlimen Jeli adalah amat berbeza dengan jumlah yang diperolehi oleh BN di peringkat DUN dalam parlimen Jeli. Ini menjadi bukti bahawa ramai pengundi yang mengundi Pakatan Rakyat di peringkat DUN tetapi untuk Parlimen Jeli mereka memberikan undi mereka kepada To’ Pa!!! Bukankah keajaiban politik seperti ini yang kita mahu, sama ada kita berada di pihak BN atau PR, suatu keadaan di mana pihak lawan juga gembira dengan kemenangan kita?

Berdasarkan pengamatan saya, jika kita dapat melahirkan lebih ramai pemimpin yang memiliki peribadi seperti Almarhum Tun Razak dan Datuk Mustapa Mohamed, saya amat yakin bahawa negara ini akan melihat suatu suasana politik baru yang akan menjadikan parti politik pembangkang menjadi “malu-alah” .

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
07/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com