jailani, peguam, ustaz, islam, syariah, undang-undang, law

TAN SRI SYED MOKHTAR AL-BUKHARI, THA’LABAH DAN ABDUL RAHMAN BIN AUF

Indahnya Masjid Al-Bukhari di Alor Star

Indahnya Masjid Al-Bukhari di Alor Star

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
07/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

1. Beberapa hari yang lalu, saya menghadiri kes rayuan di Mahkamah Tinggi Alor Star. Berhenti solat kesekian kalinya di Masjid Al-Bukhari. Melihatkan kepada masjid tersebut dan kompleks membeli belah di sebelahnya yang dikenali sebagai Souq Al Bukhari, menyebabkan saya kagum kepada tokoh saudagar yang berkaitan iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari. Ingatan saya kembali kepada dongengan yang dikaitkan dengan agama berkisar kepada dua tokoh hartawan dan businessman zaman Nabi SAW iaitu, Abdul Rahman Bin ‘Auf dan Tha’labah.

2. Alangkah peliknya dengan sikap Pak Lebai & Tokguru Kampung yang suka menyelitkan cerita dalam kuliah-kuliah mereka di masjid dan surau bagaimana nasib “malang” yang menimpa orang yang banyak harta dan perniagaan yang besar sehingga nama-nama sahabat Nabi r.a. itu dikatakan paling akhir memasuki syurga atau memasukinya dalam keadaan merangkak lantaran terlalu banyak harta mereka.

3. Pada masa itu, saya bersekolah di Sekolah Menengah Sains Dungun, Terengganu. Sifat yang ada pada saya sebagai pelajar aliran sains di sekolah berasrama penuh kerajaan (sifat ini juga terdapat pada pelajar lain tentunya) ialah “critical thinking” dan sentiasa menghendaki “facts and figures”. Apa yang bermain dalam kepala saya ialah kenapa sahabat nabi tersebut masuk syurga dalam keadaan merangkak? Walaupun saya tidak bertanya kepada “ustaz” terbabit tetapi dia menyatakan kerana hartanya terlalu banyak, jadi, mengambil masa yang panjang untuk dibicarakan, maka dia lambat masuk syurga!!

4. Persoalan dalam kepala saya ialah kenapa pula bila seseorang yang mempunyai harta yang banyak akan lambat masuk syurga? Adakah Allah SWT akan mengira dan menghitung semua amalan dan harta dengan menggunakan “calculator”? Apakah Allah SWT begitu lemah sehingga “terpaksa” mengambil masa yang lama untuk mengira semua harta Tha’labah atau Abdul Rahman Bin ‘Auf sehingga menyebabkan mereka berdua paling lambat masuk syurga? SubhanAllah! Maha Suci Allah! Tidakkah pak lebai kampung yang terlibat tahu bahawa mereka sebenarnya telah menghina Allah sama ada disedari atau tidak!

5. Sebahagian golongan agamawan juga mengaitkan Tha’labah dengan ayat 74 Surah Al-Taubah:-

يَحْلِفُونَ بِاللّهِ مَا قَالُواْ وَلَقَدْ قَالُواْ كَلِمَةَ الْكُفْرِ وَكَفَرُواْ بَعْدَ إِسْلاَمِهِمْ وَهَمُّواْ بِمَا لَمْ يَنَالُواْ وَمَا نَقَمُواْ إِلاَّ أَنْ أَغْنَاهُمُ اللّهُ وَرَسُولُهُ مِن فَضْلِهِ فَإِن يَتُوبُواْ يَكُ خَيْرًا لَّهُمْ وَإِن يَتَوَلَّوْا يُعَذِّبْهُمُ اللّهُ عَذَابًا أَلِيمًا فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَمَا لَهُمْ فِي الأَرْضِ مِن وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيرٍ

Maksudnya: Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan kufur, dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu). Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan; dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong

6. Tetapi Sheikh Muhammad Saleh Al-Munajjid menyatakan bahawa riwayat tersebut yang mengaitkan Tha’labah dengan golongan munafiq dalam ayat tersebut adalah lemah. Al-Hafiz Ibnu Hajar dan ramai lagi sarjana Islam yang lain mengatakan bahawa Tha’labah ibn Haatib adalah seorang Ansar yang turut terlibat dalam Peperangan Badar (golongan yang diampunkan dan dijamin syurga oleh Allah) dan dia telah terbunuh syahid dalam Peperangan Uhud. Maka tentunya, darjatnya adalah sangat mulia di sisi Allah SWT.

7. Tambahan pula, Ahli Jawatankuasa Fatwa Al-Lajnah Al-Daa’imah lil-Buhuth Al-‘Ilmiyyah wal-Iftaa’ (26/49) yang dianggotai oleh Sheikh Abdul Aziz ibn ‘Abdullah Aal Al-Sheikh, Sheikh Abdullah ibn Ghadyaan, Sheikh Saleh Al-Fauzan dan Sheikh Bakar Abu Zaid telah memetik kata-kata Sheikh Ibn ‘Uthaimin bahawa riwayat-riwayat yang dibawa oleh ramai pentafsir Al-Quran dan turut disebarkan oleh para pendakwah berkenaan dengan cerita tersebut adalah berstatus lemah dan tidak kuat. Sepatutnya setiap orang Islam mengetahui perkara ini kerana tiada sebarang alasan untuk tidak mengetahuinya.

8. Begitu juga dengan Abdul Rahman Bin ‘Auf. Sheikh Yusuf Al-Qardawi menyebut dalam kitabnya “Kaifa Nata’amal ma’a Al-Sunnah” tentang hadith-hadith da’if (lemah) yang menceritakan keadaan beliau yang merangkak memasuki syurga dengan sebab kekayaannya. Al-Qaradawi memperingatkan kita semua tentang adanya hadith sahih yang boleh digunakan untuk menafikan hadith-hadith da’if tersebut. Ini kerana di dalam hadith sahih Abdul Rahman Bin Auf dinyatakan sebagai salah seorang di antara 10 orang yang mula-mula memasuki syurga. Banyak riwayat-riwayat lain yang mensabitkan bahawa beliau adalah di antara orang bertaqwa yang terpilih dan menjadi contoh sebagai orang kaya yang benar-benar bersyukur. Beliau juga adalah salah seorang daripada enam orang jawatankuasa (syura) perlantikan Khalifah bagi mencari pengganti kepada Khalifah Umar yang ditikam. Namanya disebut oleh Umar. Malah apabila, enam orang itu (termasuk Abdul Rahman) tidak dapat mencapai keputusan tentang siapakah pengganti Umar maka, undi (pendapat)daripada Abdul Rahman Bin ‘Auf menjadi penentu sehingga menyebabkan Uthman Bin ‘Affan terlantik sebagai khalifah. Ini kerana pendapatnya mempunyai keistimewaan di sisi para sahabat.

9. Malah Al-Hafiz Al-Munziri juga menolak hadith-hadith da’if tersebut yang menyatakan bahawa Abdul Rahman Bin Auf masuk syurga dalam keadaan merangkak lantaran kekayaannya. Tambahan pula, Al-Munziri mengatakan bahawa hadith-hadith tersebut adalah cakap-cakap yang tidak baik, statusnya tidak sampai ke taraf hasan pun, oleh itu, tidak boleh diterima. Bukankah Nabi SAW telah menyatakan bahawa nikmat harta yang baik adalah untuk lelaki yang soleh!

10 Begitulah juga sebagaimana yang ditakhrijkan oleh Imam Bukhari daripada Al-Miswar Bin Makhramah bahawa beberapa orang telah dilantik oleh Umar sebagai ahli syura untuk memilih khalifah (pengganti Umar yang telah ditikam). Abdul Rahman Bin Auf berkata, “Demi Allah, aku tidak berhajat untuk menyaingi kamu, tetapi jika kamu sekalian mahukan pilihanku, maka aku akan pilihkan untuk kamu. Apabila mereka (ahli syura) bersepakat dengan pilihan Abdul Rahman (iaitu Uthman sebagai pengganti Umar), maka orang ramai pun menuju ke arah Abdul Rahman selepas Abdul Rahman membuat keputusan tersebut…”

11. Nah, apa lagi yang kita mahu. Semua riwayat yang sahih membuktikan kelebihan Abdul Rahman Bin Auf dan bukannya menghina atau memperendahkan beliau. Oleh yang demikian, menjadi harapan saya, janganlah kita menyebarkan cerita yang akan menyebabkan orang Islam tidak bersemangat untuk menjadi kaya!

Sekian,

Ahmad Jailani Abdul Ghani
07/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

7 responses

  1. dATOK kAY, tmn g.perahu

    ptg ni nak kena pi beli kaya 10 tin le dkt kedai Pak abu

    08/05/2009 at 8:43 am

  2. cd

    Assalamualaikum Ustaz.. mengikut fahaman saya.. masalah lambat masuk syurga itu bukan kerana Allah nak kira lambat.. besok bukan soal nak kira harta sahaja.. tetapi ia adalah disebabkan oleh harta yang banyak itu bersangkutan pula dengan orang lain.. maka sejajar dengar jaminan Allah bahawa setiap sesuatu itu akan dihisap sungguhpun sebesar zahrah.. maka cubalah ustaz bayangkan.. bagaimana telitinya neraca timbangan dan hisab Allah di akhirat nanti.. harta kita yang kita rasa bersih ini pun belum tentu lepas begitu sahaja kerana mungkin ia berkait pula dengan harta orang lain yang miliki sebelum kita ataupun selepas itu dan sebagainya.. maka jelaslah soal memakan masa yang lama itu adalah kerana berkaitan dengan masyarakat atau orang lain atau harta peningggalannya dan sebagainya.. moralnya bukan soal menjadi kaya.. tetapi keharusan mencari rezeki yang betul-betul halal dan selamat di dunia dan akhirat.. wallahua’lam.

    08/05/2009 at 4:08 pm

    • ustjai

      Alhamdulillah.. saya faham dan setuju sbhgn besar yg “CD” kata tu. Tapi yg menjadi “point” utama saya ialah ustaz2 di kampung yg saya pernah dengar, mereka menyebut Tha’labah & Abd Rahman Bin Auf lambat masuk syurga. Sedangkan mereka adalah sahabat utama Nabi SAW. Dan tidak sepatutnya kita mereka-reka cerita (walau niat baik sekalipun) yg merendahkan martabat sahabat2 Nabi.

      09/05/2009 at 11:29 pm

  3. Amali

    >Begitu juga dengan Abdul Rahman Bin ‘Auf. Sheikh >Yusuf Al-Qardawi menyebut tentang kelebihan beliau. >Beliau adalah salah seorang daripada enam orang >jawatankuasa perlantikan Khalifah bagi mencari >pengganti kepada Khalifah Umar yang ditikam. >Namanya disebut oleh Umar. Malah apabila, enam >orang itu tidak dapat mencapai keputusan tentang >siapakah pengganti Umar maka, undi daripada Abdul >Rahman Bin ‘Auf menjadi penentu sehingga >menyebabkan Uthman Bin ‘Affan terlantik sebagai >khalifah.

    Saya hanya “curious,” Ustaz. Jika cara undian digunakan, bagaimanakah undi Abdur Rahman bin ‘Auf menjadi penentu. Beliau adalah salah seorang dari enam. Yg lima lagi tak mungkin seri.

    11/05/2009 at 1:11 pm

    • ustjai

      Amali,
      Oleh sebab enamlah jadi buntu. Maka pandangan beliau diterima pakai. Saya dah buat penambahan pada artikel asal untuk menerangkan apa yang kabur. Moga membantu. Insya Allah.

      12/05/2009 at 11:45 pm

  4. Pingback: Buku : Dahsyatnya Sedekah « Mohd Riduan Khairi

    • GK

      Err…nak kena beli ke buku ni??? Takda penerangan pun apatah lagi sinopsis…

      17/08/2009 at 2:25 am

Leave a comment