jailani, peguam, ustaz, islam, syariah, undang-undang, law

Archive for June, 2009

BEZA MAKSIAT NABI ADAM & MAKSIAT IBLIS

Carilah Allah SWT apabila kita berdosa, Allah Maha Pengampun

Carilah Allah SWT apabila kita berdosa, Allah Maha Pengampun

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
24/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

Saya teringat tulisan Al-Qardawi dalam kitabnya Fi Fiqhi Al-Awlawiyat, Dirasah Jadidah Fi Dhau’ie Al-Quran wa As-Sunnah (Fiqh Keutamaan: Satu Kajian Baru Dari Perspektif Al-Quran dan Al-Sunnah).

Beliau membandingkan antara kesalahan Nabi Adam a.s yang melanggar perintah Allah dan Iblis yang juga melanggar perintah Allah. Walaupun zahirnya perbuatan itu sama, iaitu kedua-dua mereka melanggar perintah Allah tetapi Allah menerima Nabi Adam a.s. sebagai hamba-Nya yang soleh manakala Iblis dimurkai oleh Allah dan terkutuk secara abadi.

Apa sebenarnya yang membezakan kedua-duanya.

Ayuh, kita lihat perkara sebenarnya sebagaimana yang diceritakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran.

Surah Taha, ayat 115,
Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi dia lupa; dan kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.

Ayat tersebut menunjukkan ciri-ciri yang ada pada Nabi Adam a.s. sewaktu beliau melakukan perlanggaran hukum. Pertama; lupa (lalai) dan keduanya; tiada keazaman yang kuat ketika melakukan maksiat (melanggar hukum Allah).

Kita perlu faham bahawa kita adalah manusia biasa yang tidak ma’sum (tidak terpelihara daripada dosa). Sudah tentu setiap hari yang kita lalui akan ditempuhi dengan sedikit sebanyak dosa dan noda. Tetapi percayalah, jika dosa dan noda yang kita lakukan itu dalam keadaan kita lalai leka dan tidak ada keazaman kuat mempertahankan maksiat yang kita lakukan, kita masih belum terkeluar daripada definisi hamba Allah yang soleh.

Seterusnya kita perlu melihat sikap hamba Allah contoh ini (Adam & Hawa) selepas mereka sedar bahawa mereka telah melanggar hukum Allah, maka Al-Quran menggambarkannya dengan ayat berikut:-

Surah Al-A’raf, ayat 23,
Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.

Ini menjadi dalil bahawa, kita perlu bersegera bertaubat dan mengharapkan belas kasihan Allah di atas kesilapan yang kita lakukan dan bukannya dengan berbangga dan berdegil dengan dosa yang kita lakukan.

Jauh bezanya dengan maksiat Iblis yang menyebabkan ia dikutuk sepanjang zaman.

Allah SWT menjelaskan dalam Surah Al Hijr, ayat 30-35

(Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, –

Melainkan Iblis; ia enggan turut bersama mereka yang sujud.

Allah berfirman: Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?”.

Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya”.

Allah berfirman: “Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir.

“Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga ke hari kiamat”.

Untuk lebih jelas, lihat ayat berikut:-

Surah Al-Baqarah, ayat 34,
Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.

Kata kunci ayat di atas ialah takabbur (besar diri, bangga, sombong)

Ayat seterusnya akan lebih memahamkan kita.

Surah Al-A’raf, ayat 12,
Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”

Iblis, akibat bangga dan sombong, lalu berani biadab dengan Allah dan mempertikaikan perintah Allah.

Oleh itu, sahabat-sahabat sekalian, untuk menjadi hamba Allah yang soleh bukan bermaksud kita perlu berjaya seratus peratus terhindar daripada dosa kerana mustahil itu berlaku lantaran tiada kemaksuman. Tetapi menjadi hamba yang soleh ialah dengan mempunyai sikap yang betul ketika mana maksiat berlaku. Ya, sebagaimana sikap Adam dan Hawa ketika melanggar perintah Allah.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
24/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

Advertisements

KENAPA KAHWIN PELACUR?

ANAK YANG SOLEH BERASAL DARIPADA IBUBAPA YANG SOLEH

ANAK YANG SOLEH BERASAL DARIPADA IBUBAPA YANG SOLEH

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
21/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

Seorang wanita berusia 30’an datang menemui saya. Orangnya cantik berambut lurus ala teknik rebonding. Dia mengadu tentang suaminya yang berhasrat untuk menikahi pelacur yang kerap dilangganinya di sebuah pekan kecil di sempadan Malaysia – Thailand. Suaminya seorang pengurus berpendapatan belasan ribu sebulan tetapi mempunyai hobi “berfoya-foya” dengan pelacur setiap dua minggu kerana gajinya dibayar dua kali sebulan.

Si isteri ini bertanya kepada saya adakah saya bersetuju bahawa pelacur berkenaan tidak cantik dan dia lebih cantik daripada pelacur itu. Maka beliau mengeluarkan gambar pelacur tersebut. Ya, saya menjadi sangat hairan apabila melihat gambar pelacur tersebut dalam pelbagai aksi. Pelacur itu berbadan gempal, sedangkan si isteri berkenaan mempunyai potongan badan cantik ala Maya Karin. Faktor kecantikan wajah juga berpihak kepada si isteri.

Beliau pernah “confront” suaminya dan bertanya kenapa ingin menikahi pelacur tersebut. Suaminya jawab, “kerana ingin berdakwah kepada pelacur tersebut supaya dia memeluk Islam”. Ha ha ha, saya tergelak mendengar alasan tersebut. Maka si isteri berkenaan membantah alasan ingin berdakwah tersebut dengan berkata kepada suaminya, “kalau abang benar-benar ingin berdakwah, abang mesti berdakwah kepada saya dahulu, ini tidak, setiap kali nak solat, abang tak mau jadi imam, masuk bilik kunci pintu solat sorang-sorang.”

Krisis mereka berdua mengingatkan saya kepada seorang kenalan yang juga datang menemui saya meminta pendapat tentang hasratnya memperisterikan pelacur Siam juga dengan alasan “dakwah”. Saya sangat ragu-ragu dengan alasan tersebut kerana saya mengenali rakan saya itu dan tahap sebenar agama beliau.

Saya mempunyai sangkaan yang kuat tentang sebab sebenar wujudnya lelaki seperti ini ingin berkahwin dengan para pelacur. Seorang klien saya pernah menceritakan kenapa beliau suka pelacur. Sebab utamanya ialah kehebatan di ranjang dan pelbagai “perkhidmatan” yang si isteri di rumah langsung tiada pengalaman dan skil tentangnya. Malah, saya pernah diberitahu bagaimana kaum lelaki di Greece, mempunyai criteria pelik, iaitu calon isteri mereka perlu mempunyai pengalaman luas dalam hubungan jenis kerana kelebihan “kepelbagaian” atau “varieties” dan bukannya stereotype.

Mungkin kerana inilah yang menyebabkan ramai orang melanggani GRO, pelacur atau sesiapa yang “sewaktu” dengannya. Saya dapat melihat sendiri wajah-wajah usang dan memualkan ini di mahkamah syariah. Saya bertanya kepada diri sendiri, kenapa wajah tua dan hodoh seperti ini masih ada pelanggan? Saya langsung tidak tertarik apabila melihat mereka. Ada antaranya yang menjawab, “ustaz belum tengok mereka di bawah lampu warna-warni di tempat hiburan, yang pasti memukau lelaki yang melihatnya”.

Jawapan sebenarnya ialah, “Itulah alasan orang yang memilih daging yang busuk daripada daging yang baik, lebih suka perempuan jelek berbanding isteri yang suci di rumah.”

Perhatikanlah dalil-dalil berikut:-

Surah Al-Baqarah ayat 221, “Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya)”.

Surah Al-Nur, ayat 3, “Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman”.

Surah Al-Nur, ayat 26, “(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia”.

Hadith riwayat Imam Bukhari dengan maksudnya, Janganlah kamu menikahi wanita kerana kecantikannya (semata-mata), boleh jadi kerana kecantikannya dia menghinakan dirinya dan janganlah pula kamu menikahi wanita kerana kekayaannya (semata-mata) boleh jadi kerana hartanya menyebabkan dirinya sombong. Tetapi peristerikanlah wanita yang beragama meskipun dia hitam lebih baik bagimu.

Justeru itu, pandulah nafsu kita mengikut panduan agama.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
21/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


ANAK KASIHANKAN AYAH

Isteri dan anak-anak untuk dikasihi bukan dizalimi

Isteri dan anak-anak untuk dikasihi bukan dizalimi

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
19/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

Berdasarkan statistic pada tahun 2005, kes rogol direkodkan sebanyak 1,931 dan diikuti kes cabul, 973 dan liwat, 71 kes. Pada tahun 2006, kes rogol meningkat kepada 2,041, manakala cabul (1,066) dan liwat (71 kes). Pada tahun 2007 pula, sebanyak 3,098 kes rogol dilaporkan, cabul (2,228) dan liwat, 101 kes. Angka itu terus meningkat pada 2008 iaitu 3,405 bagi kes rogol dan cabul (2,107) dan 130 kes liwat.

Saya teringat pada suatu ketika, seorang isteri telah melantik saya sebagai peguambela kepada suaminya yang dituduh merogol anak mereka sendiri. Pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang akan membawa kepada hukuman minimum 5 tahun penjara dan maksimum 20 tahun penjara. Sebenarnya sukar untuk saya menemui kes seperti ini, iaitu isteri melantik kita untuk mempertahankan suaminya yang didakwa telah menzalimi masa depan anak secara kejam seperti itu.

Dalam sesi temubual saya dengan anak guam tersebut, beliau menafikan bahawa beliau telah merogol anak tersebut yang ketika itu masih bersekolah rendah.

Semasa sesi perbicaraan, pakar perubatan memberi keterangan yang menunjukkan bahawa selaput dara (hymen) anak tersebut tidak koyak (masih utuh) tetapi beliau telah membuat kesimpulan (inferen) bahawa rogol tetap boleh berlaku kerana sifat keelastikan hymen yang berbeza di antara setiap individu disokong pula dengan beberapa kesan cedera di sekitar bahagian sulit anak tersebut. Berdasarkan beberapa fakta lain, doktor tersebut mempertahankan pendapatnya bahawa telah berlaku penetrasi pada alat sulit anak tersebut.

Saya mendapati juga terdapat beberapa laporan polis dan kaunseling sekolah yang menyokong dakwaan rogol berkenaan.

Apabila tiba giliran anak tersebut bercakap di mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bertanya kepada mangsa (anak tersebut), “Apa yang ayah kamu lakukan kepada kamu?” Mangsa jawab, “ayah tak buat apa-apa”. Terkejut TPR tersebut dan saya perasan hakim bicara juga terkejut tetapi beliau cuba menyembunyikannya. TPR tersebut tanya lagi, “kalau ayah kamu tak buat apa-apa, kenapa datang sini?” Mangsa hanya mendiamkan diri. Saya dapat mengagak bagaimana “berpeluhnya” TPR pada pagi itu.

Ringkasnya, kes tersebut digugurkan. Saya terserempak dengan anak tersebut di luar mahkamah dan bertanya, “kenapa adik cakap macam tu?”. Kanak-kanak tersebut menjawab, “Kesian kat ayah”.

Hati saya menjadi tidak menentu, kalau anak kasihankan ayahnya, kenapa ayah tidak kasihankan anaknya?

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
19/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


KERANA ANAK, MANUSIA SYIRIK

Janganlah kerana anak, kita mensyirikkan Allah. Na'uzubillah

Janganlah kerana anak, kita mensyirikkan Allah. Na'uzubillah

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
17/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

Kerap kali saya dijemput oleh sahabat-sahabat untuk tahnik (belah mulut) anak mereka. Terbaru, seorang lagi kenalan meminta saya memenuhi hasratnya itu. Tanpa mengecewakan beliau, saya hadir ke rumahnya pada waktu tengahari, walaupun pada hari tersebut adalah hari bekerja. Dengan pakaian biasa seorang “lawyer” (hitam dan putih), saya melakukan tahnik kepada anaknya tersebut, alhamdulillah.

Ada perkara yang mengejutkan saya, apabila terpandang pada bahagian lengan anak tersebut. Terdapat sejenis “tali” yang saya sangat “familiar”. Itu adalah tali (dibuat seperti gelang) yang sering dijadikan sebagai “tangkal” oleh orang-orang tua di kampung dengan niat untuk melindungi anak mereka daripada “sial”.

Lantas, saya bertanya kepada beliau, “tali apa ni”. Dia jawab, “tak tahu”. Saya hairan, bagaimana mungkin seorang bapa tidak tahu apa-apa tentang tali yang ada pada lengan anaknya itu. Mungkin, juga tali itu dipakaikan oleh ahli keluarga yang lain. Sebenarnya, sama ada sedar atau tidak, ramai di kalangan kita, lantaran sayang kepada bayi yang baru lahir, mereka memakaikan pelbagai tangkal sebagai “pendinding” bagi menjauhkan anak mereka daripada pelbagai gangguan atau bahaya.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Imran bin Husoin:-
Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melihat seorang lelaki memakai gelang tembaga di lengannya. Baginda bertanya, “Celaka engkau, ini apa?” Jawab lelaki itu, “ini benda yang lemah”. Jawab baginda, “Ingat, sesungguhnya ia menambah kelemahan kamu, sebab itu, buanglah ia. Kerana, kalau kamu mati, sedangkan ia masih tetap kamu pakai, selamanya kamu tidak akan selamat”.

Kasih dan sayangkan anak tidaklah salah. Malah ia menepati fitrah kejadian manusia dan menjadi ajaran Islam. Kesalahan yang sebenar ialah apabila kecintaan kita kepada anak menyebabkan kita melanggar perintah Allah.

Di dalam Surah Al-A’raf ayat 190, Allah SWT menceritakan tentang satu pasangan suami isteri dengan maksudnya:-
“Ketika Allah memberi kepada kedua-duanya anak yang sempurna, tiba-tiba, kedua-duanya mengadakan sekutu bagi Allah dalam apa (anak) yang diberikan kepada kedua-duanya itu. Maha Tinggi Allah dari segala apa yang dipersekutukan”.

Sebahagian ulama berpendapat, pasangan tersebut adalah Nabi Adam & Hawa, manakala yang lain berpendapat bahawa pasangan tersebut daripada kaum Nasrani atau Yahudi.

Ibnu Abi Hatim telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas dengan riwayat dhaif / lemah bahawa ketika Hawa mengandung (selepas terkeluar dari syurga) datanglah Iblis menggoda dan mengugut supaya anak yang bakal lahir mesti dinamakan dengan nama Abdul Harith, jika tidak, anak tersebut akan dibubuh tanduk rusa padanya supaya bila dilahirkan nanti akan merobek peruk Hawa. Nabi Adam & Hawa enggan tunduk kepada godaan Iblis tersebut. Lalu lahirlah anak tersebut tetapi mati. Begitu juga kali kedua mengandung berlaku ugutan yang sama daripada Iblis dan anak itu juga mati. Apabila masuk kali ketiga, Nabi Adam & Hawa akur kepada kehendak Iblis lalu menamakannya dengan nama Abdul Harith. Ini kerana mereka takut anak tersebut akan mati kali ketiga. Sedangkan Al-Harith bukanlah nama Allah. Malah ada riwayat yang menunjukkan ia adalah nama Iblis.

Tanpa mengira sama ada benar atau tidak pasangan tersebut adalah Nabi Adam & Hawa, tetapi yang penting ialah teguran dan larangan Allah SWT agar jangan dengan kurniaan anak daripada Allah SWT kepada kita, menyebabkan kita mensyirikkan Allah SWT.

Ramai manusia, dalam usaha mereka mendapatkan anak, penjagaan kandungan (adat melenggang perut dan sebagainya) sehinggalah kepada selepas anak dilahirkan telah melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan mereka menjadi syirik kepada Allah. Na’uzubillah.

Moga Allah menjauhkan kita semua daripada mempersekutukan-Nya.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
17/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


WANITA FASIQ YG DARING & ISTERI SOLEHAH YG NAIF

Saya dan isteri di Prague. Moga kasih sayang kami diberkati Allah

Saya dan isteri di Prague. Moga kasih sayang kami diberkati Allah

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
10/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

1. Belayar di alam rumahtangga, ada ketikanya membuatkan kita berada di persimpangan. Apatah lagi kita sebagai manusia biasa yang sentiasa diuji oleh Allah untuk membezakan di antara hambaNya yang soleh dan fasiq. Syaitan pula menerpa kita dengan pelbagai godaan yang menyebabkan ramai di antara kita yang tewas. Tidak kurang juga yang tewas tetapi sentiasa bangkit kembali mencari keredhaan Allah.

2. Kadang-kadang kita tertanya-tanya kenapa wanita fasiq pandai menggoda, manakala isteri di rumah yang beriman seolah-olah tidak tahu cara memikat suami. Bagaimana mungkin kita sebagai lelaki beriman dapat mengharungi segala ombak dan badai jika sekiranya kita hanya keseorangan tanpa sebarang bantuan. Adalah tidak adil jika isteri menuntut kita sebagai suami agar tidak berlaku curang sedangkan pada masa yang sama si isteri tidak berusaha menjadikan dirinya sebagai alternatif halal kepada segala godaan jahat di luar sana yang sedang menggugat sang suami.

3. Lelaki yang beriman juga seorang manusia biasa. Apabila berada di pejabat, taman rekreasi, pasar, jalanraya hatta tempat ibadat sekalipun akan menemui segala jenis “mak nenek” godaan. Mereka akan berjumpa dengan wanita fasiq yang sangat “daring”. Bukan lelaki yang memulakan bicara tetapi mereka yang membuka kata. Bukan lelaki yang mencari tetapi wanita itu yang datang memukau.

4. Adalah sukar bagi sang suami untuk melepasi fitnah ini tanpa peranan berkesan sang isteri. Bagaimana mungkin si suami mampu menghadapi “keberanian” wanita fasiq yang datang ke pejabat pada waktu senja. Keberanian yang tidak mampu ditepis oleh sesiapa kecuali taqwanya sangat hebat kepada Allah. Keberanian wanita yang dengan sengaja tidak mengenakan butang tertentu pada baju yang dipakai. Wangian yang mengkhayalkan dari Kota Paris, selaku syurga haruman. Si wanita penggoda telah meninggalkan bau-bauan yang mampu bertahan separuh hari di pejabat sang suami. Si bidadari penggoda bercakap dengan suara yang lunak dan manja, mampu memperdengarkan degupan jantung sang suami. Kaum Hawa ini tahu bagaimana mempertahankan bentuk badan yang sangat menarik. Ditambah pula dengan pakaian yang sangat berani dan mendedahkan bahagian tertentu yang disukai oleh si suami. Kaum penggoda tahu menggunakan “penegasan”. Penegasan pada dadanya yang sengaja didedahkan, di “tegaskan”kan dengan rantai leher atau kalung yang menggantung bentuk “love” berwarna merah di tengah-tengah dadanya, suatu penegasan yang disengajakan untuk menarik mata kaum adam kepadanya.

5. Maka menderitalah sang suami dengan ujian hebat ini. Hasrat di hati untuk menjunjung sunnah Nabi SAW dengan pulang ke rumah mencari isteri yang suci bagi meredakan gelojak yang amat hebat itu. Tetapi, mampukah sang isteri untuk menandingi wanita penggoda tersebut? Si isteri yang beriman ini, hanya tahu memakai bedak wangi berharga RM5.90. Baju yang ada hanya T’Shirt putih hari sukan sekolahnya dengan hanya berkain batik yang mempunyai bau tomyam yang sedang disiapkan di dapur. Lenggangnya tidak menyamai “catwalk” wanita penggoda di luar tadi. Langsung tidak tahu dan amat naif tentang seni di kamar peraduan. Tiada tarian sehebat tarian gadis muda di Betong.

6. Maka tinggallah si suami yang beriman itu keseorangan mempertahankan imannya yang semakin goyang itu. Kepada sang isteri, kasihanilah dan bantulah suamimu.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
10/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


MENELADANI TUN RAZAK & DATUK MUSTAPA MOHAMED

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
07/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

Pemimpin, saya umpamakan seperti dahan di mana rakyat bergantung kepadanya. Jikalau dahan tersebut reput maka jatuh dan terhempaslah sesiapa jua yang berpegang kepadanya, tetapi, jika dahan itu kuat, maka selamatlah sesiapa yang berpaut padanya.

Saya teringat kepada dua orang pemimpin, seorang telah pun menemui Allah SWT di alam barzakh, manakala seorang lagi masih lagi hidup di dunia yang sementara ini. Mereka berdua tidak lain dan tidak bukan ialah Tun Abdul Razak dan Datuk Mustapa Mohamed.

Tun Abdul Razak ialah bapa kepada Perdana Menteri kita sekarang iaitu Datuk Seri Najib Razak. Walaupun saya tidak sempat merasai kemakmuran negara di era pemerintahan Tun Abdul Razak tetapi legasi beliau sangat masyhur dan sentiasa bermain di bibir rakyat dan sesiapa jua yang saya temui yang pernah merasai nikmat pemerintahan di era beliau.

Pada zaman beliau, parti pembangkang yang sememangnya “garang”, tiba-tiba menjadi lunak dan sanggup bernaung dan seterusnya bergabung dengan Barisan Nasional (Perikatan). Di bawah kepimpinan beliau, negara dibangunkan, sehinggakan beberapa tempat termasuk bandar di negara ini diberikan nama beliau. Apabila negara ini mengalami peristiwa hitam 13 Mei 1969, beliau telah diberi kepercayaan untuk mengubati segala “luka” yang telah berlaku seterusnya mengemudi negara ini ke arah keamanan. Tetapi, taqdir Allah mengatasi segalanya, dalam keadaan rakyat di negara ini belum puas menikmati nikmat kepimpinan beliau, Allah SWT terlebih dahulu “memanggilnya” pergi menemui-Nya di alam barzakh.

Datuk Mustapa Mohamed, ahli parlimen kawasan Jeli, Kelantan dan juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), adalah seorang pemimpin yang sangat disegani oleh kawan dan lawan dan saya berani mengatakan bahawa beliau mempunyai potensi menjadi “Tun Razak Kedua”.

Beliau mendapat undi tertinggi dalam pertandingan peringkat Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini, terkenal sebagai seorang yang “bersih” sangat sukar untuk dikaitkan dengan sebarang gejala poltik wang, berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira fahaman politik mereka menyebabkan kita dapat melihat betapa lesunya bendera-bendera Pakatan Rakyat untuk berkibar di kawasan parlimen Jeli!!

Saya sendiri pernah hadir ke rumah beliau untuk berhariraya, dan sebagai tuan rumah beliau datang ke setiap meja makan termasuk meja di mana saya berada , saya berkesempatan melihat dengan dekat bagaimana “humble”nya seorang pemimpin yang sangat terkenal dengan panggilan To’ Pa ini. Ucapan beliau di mana-mana tidak pernah atau sukar untuk kita mendengar ucapan-ucapan mengutuk atau mencaci sebagaimana amalan biasa ahli politik, malah sebaliknya, setiap patah perkataan yang keluar dari mulut beliau adalah perkataan yang sangat teratur dan berhati-hati. Justeru itulah, mungkin, ketika PRU 2008 baru-baru ini kita dapat menyaksikan jumlah pengundi yang mengundi BN di peringkat parlimen Jeli adalah amat berbeza dengan jumlah yang diperolehi oleh BN di peringkat DUN dalam parlimen Jeli. Ini menjadi bukti bahawa ramai pengundi yang mengundi Pakatan Rakyat di peringkat DUN tetapi untuk Parlimen Jeli mereka memberikan undi mereka kepada To’ Pa!!! Bukankah keajaiban politik seperti ini yang kita mahu, sama ada kita berada di pihak BN atau PR, suatu keadaan di mana pihak lawan juga gembira dengan kemenangan kita?

Berdasarkan pengamatan saya, jika kita dapat melahirkan lebih ramai pemimpin yang memiliki peribadi seperti Almarhum Tun Razak dan Datuk Mustapa Mohamed, saya amat yakin bahawa negara ini akan melihat suatu suasana politik baru yang akan menjadikan parti politik pembangkang menjadi “malu-alah” .

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
07/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


GERAK JARI KETIKA TAHIYAT

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
04/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

Para ulama’ memiliki dalil mereka yang tersendiri, tentang bagaimana caranya menggerakkan jari dalam solat ketika tasyahud, apakah menggerakkan jari atau menggerak-gerakkan jari.

Bagaimana anda menggerakkan jari ketika tashahud / tahiyyat dalam solat?

Adakah jari anda naik turun naik turun?
Betul ke macam tu?
Adakah anda hanya mengikut-ngikut kawan anda semata-mata, dia gerakkan jari, maka anda juga ingin menggerakkan jari mengikut “stail” kawan anda?

Ingin lihat cara yang lebih tepat sebagaimana yang ditunjukkan oleh Sheikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani?

Sila klik di bawah,

Sekian,

Ahmad Jailani Abdul Ghani
04/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


TG. MUHAMMAD FAKHRY & MANOHARA ODELIA PINOT

Ada darling yang tak layak dijadikan darling

Ada darling yang tak layak dijadikan darling

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
03/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

Apabila berita tentang kemelut rumahtangga Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Manohara Odelia Pinot tersebar, malah sebahagian akhbar meletakkannya pada muka depan dan tajuk utama, kita sebagai orang “luar” menjadi tertanya-tanya tentang apa sebenarnya yang berlaku. Kedua-dua suami isteri mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki oleh rakyat jelata biasa. Tg Fakhry selaku salah seorang putera Sultan Kelantan, memiliki “glamour” sebagai anak raja, kemewahan yang mencurah-curah, mulia di mata rakyat, manakala Manohara pula sebagai model dan selebriti juga memiliki glamour, cantik, muda remaja dan boleh diibaratkan sebagai bidadari syurga di dunia.

Saya dan isteri mempunyai pendapat yang berbeza tentang Manohara. Bagi isteri saya Manohara Odelia Pinot tidak cantik atau tidak cantik sangat. Tetapi bagi saya selaku seorang lelaki “normal”, saya “terpaksa” mengakui bahawa Manohara adalah seorang “bidadari” yang cantik dan mampu menyebabkan seorang lelaki (tidak semua tentunya) melakukan apa sahaja demi memilikinya sebagai “teman” dalam hidup mereka.

Maka sudah tentu, kita semua menjadi hairan, kenapa pula rumahtangga mereka bermasalah, sedangkan mereka sudah pun memiliki kelebihan dan keistimewaan tersendiri yang tidak dipunyai oleh orang lain?

Inilah hakikat kehidupan yang perlu dipelajari oleh semua hamba Allah. Semata-mata cantik, tampan, glamour, kaya, kuasa dan lain-lain bukanlah suatu jaminan bahawa kita akan mendapat kebahagiaan, malah rumahtangga ustaz dan ustazah juga tidak sunyi dipukul ombak dan ribut taufan yang tidak kurang hebatnya.

Saya tidak begitu perasan tentang Tg Fakhry yang merupakan putera ketiga Sultan Kelantan sekarang, tetapi ingatan saya masih segar tentang Tg Muhammad Faris Petra (putera sulung) dan Tg Muhammad Faiz Petra (putera kedua) sebab kami sama-sama belajar di SRK Sultan Ismail (1) Kota Bharu, Kelantan. Malah ada di antara mereka yang terkenal dengan minat kepada agama sehingga saya pernah terserempak dengannya semasa solat tarawih di Pondok Pasir Tumboh dan di kuliah maghrib di Masjid Gua Musang.

Sebelum kita menuduh siapa yang bersalah, Tg Fakhry atau Manohara yang bersalah kepada krisis tersebut, marilah kita melihat apa yang disebut di dalam Sunan Abu Daud (Kitab Al-Aqdiyah) Juzuk 3, mukasurat 1016 tentang kisah Ali r.a. Beliau berkata bahawa Nabi SAW telah menghantar beliau ke Yaman sebagai hakim. Lalu Ali bertanya; “Wahai Rasulullah! Adakah engkau menghantar aku dalam keadaan aku masih muda dan tiada ilmu pengetahuan tentang tugas seorang hakim?” Lalu baginda menjawab, “Allah akan memberi petunjuk kepada hatimu dan menjaga lidahmu sentiasa benar. Apabila dua pihak yang bertikai duduk di hadapanmu, janganlah kamu membuat keputusan sehinggalah kamu mendengar apa yang dikatakan oleh pihak yang satu lagi sebagaimana kamu mendengar keterangan pihak yang pertama. Kerana itulah sebaik-baiknya untuk kamu mendapat idea yang jelas untuk membuat keputusan yang terbaik”. Lalu Ali r.a. berkata; “Aku telah menjadi hakim (pada jangka waktu yang lama) atau dia berkata (perawi hadith ini tidak pasti) “Saya tidak lagi ragu-ragu membuat keputusan / penghakiman selepas itu”.

Jadi, yang paling penting ialah kita tidak terburu-buru menuduh siapa yang bersalah sebelum kita mendengar versi kedua-dua belah pihak. Ini kerana, adalah tidak adil jika hanya mendengar cerita sebelah pihak yang pastinya akan mengeluarkan semua versi kotor dan jelek tentang pihak lawannya, tanpa mengira kita berada di pihak yang mana sekali pun.

Berdasarkan pengalaman luas saya di mahkamah sivil dan syariah, saya boleh meletakkan sekurang-kurangnya dua kemungkinan sebagai cara menganalisa kisah kemelut seperti ini.

Kemungkinan pertama, si suami mendera si isteri. Jika keadaan ini berlaku, maka isteri tersebut mestilah mempunyai bukti. Si isteri perlu mendapatkan pemeriksaan perubatan agar dakwaan beliau tentang wujudnya kecederaan pada badannya disokong oleh laporan perubatan. Ada laporan media tertentu yang menunjukkan bahawa penderaan itu termasuklah kecederaan fizikal dan kezaliman seksual. Yang menariknya ialah, pihak yang menyebelahi Tg Fakhry telah mencabar Manohara agar pergi membuat pemeriksaan perubatan. Setakat waktu saya menulis artikel ringkas ini, laporan media menunjukkan bahawa Manohara masih belum membuat pemeriksaan perubatan. Nampak pelik juga. Bagi suami yang zalim dan mempunyai sedikit “aqal”, mereka takkan mengambil risiko membiarkan isteri mereka lari dalam keadaan wujud bukti penderaan pada badan. Biasanya risiko isteri akan lari hanya diambil apabila bukti-bukti lebam dan cedera telah beransur hilang pada badan mangsa.

Kemungkinan kedua, isteri hanya berbohong untuk menutup kesalahannya. Strategi ini kerap digunakan untuk mengalih isu sebenar atau untuk menutup kesilapan diri sendiri. Mungkin usaha untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati tidak tercapai, maka tiada faedahnya menunggu lagi, lebih baik tinggalkan sahaja suami yang enggan atau tidak mampu memenuhi hajat tertentu. Maka pelbagai cerita direka dan dicipta untuk mengaburi hakikat sebenar.

Di antara dua kemungkinan ini, mereka berdua yang lebih mengetahui kebenarannya.

Tetapi, bagi saya, berpegang kepada ajaran Al-Quran adalah yang lebih tepat, “Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji. Sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. (Surah al-Nur, ayat 26). Begitu juga ajaran Nabi SAW, sebagaimana hadith riwayat Bukhari & Muslim, “…maka hendaklah kamu memilih wanita yang beragama, jika tidak engkau kecewa dan melarat”. Kepada Tengku Fakhry, ingin saya nasihatkan dengan kata-kata berikut, “Jika Tengku berada di tempat saya dan melihat segala gambar Manohara, Tengku tidak akan mempunyai keinginan untuk memperisterikan Manohara kecuali yang ada hanya perasaan biasa seorang lelaki apabila melihat perempuan muda yang cantik”.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
03/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com


KEWAJIPAN PESAKIT

Kubur Syuhada Uhud; Berbahagialah sesiapa yang mati syahid pada jalan Allah.

Kubur Syuhada Uhud; Berbahagialah sesiapa yang mati syahid pada jalan Allah.

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
01/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

Sakit ialah perkara biasa yang berlaku kepada manusia dan binatang. Sakit juga ada yang sembuh dan ada yang tidak. Sakit juga ada yang membawa kepada kematian dan ada yang tidak. Ada ketikanya sakit menyebabkan kita seronok dan ada sakit yang kita tidak suka. Tetapi sakit yang akan saya perkatakan ini ialah sakit yang biasanya dikaitkan dengan kematian.

Selain rawatan dan berubat, apakah perkara yang patut kita lakukan bila kita sakit? Saya mengambil intipati penting dari tulisan Sheikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani dalam bukunya Ahkam Al-Jana’iz wa bida’uha.

1. Hendaklah orang yang sakit itu redha dengan qadha’ Allah, sabar dengan qadar-Nya, berbaik sangka kepada Allah. Sebagaimana Nabi SAW menunjukkan ketakjuban terhadap sikap sebenar orang beriman, yang mana, apabila mereka diberikan kebaikan, mereka bersyukur, manakala apabila mereka diberikan kemudaratan, mereka bersabar. Juga, Nabi SAW bersabda dengan maksudnya: “Janganlah seseorang kamu mati, melainkan dia berbaik sangka dengan Allah Ta’ala” (Riwayat Muslim, Baihaqi dan Ahmad)

2. Hendaklah orang yang sakit itu, mempunyai perasaan takut dan berharap. Takut kepada hukuman Allah di atas dosa-dosa yang telah dilakukannya dan pada masa yang sama berharap kepada rahmat daripada Allah SWT. Pada suatu ketika Nabi SAW menziarahi seorang anak muda yang hampir kepada kematian, baginda bertanya, “Bagaimana keadaan kamu?” Anak muda itu menjawab, “Demi Allah, Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku berharap kepada Allah, dan sesungguhnya aku takut kepada dosa-dosaku” Maka jawab Nabi SAW, “Tidak berhimpun dalam hati seseorang hamba Allah seperti ini, melainkan Allah memberinya apa yang dia harapkan dan memberi keamanan kepadanya daripada apa yang dia takuti”. (Dikeluarkan oleh Al-Termizi dengan sanad hasan, Ibnu Majah, Abdullah Bin Ahmad dalam Zawa’id Al-Zuhd dan Ibnu Abi Al-Dunya dalam Al-Targhib)

3. Ketika sakit yang bersangatan, tidak dibenarkan kepada si pesakit untuk meminta mati. Ini berdasarkan hadith Ummu Al-Fadhl, apabila Abbas (bapa saudara Nabi) yang ketika itu sakit, merungut-rungut dan berharap supaya cepat mati. Maka Nabi SAW bersabda kepada bapa saudaranya, yang bermaksud, “ Wahai pakcik, Janganlah kamu bercita-cita (minta) untuk (disegerakan) mati. Maka sesungguhnya, jika engkau seorang yang baik, maka mati yang lambat itu akan (memberi peluang untuk kamu) menambahkan kebaikan kamu. Maka itu baik untuk kamu. Manakala jika kamu banyak kejahatan, maka mati yang lambat itu akan melambatkan cercaan (hukuman) di atas kesalahan kamu, dan itu baik untuk kamu (kerana sempat untuk bertaubat). Oleh itu janganlah kamu meminta (dipercepatkan) kematian”.

(Hadith dikeluarkan oleh Ahmad 6/339, Abu Ya’la 7076, Al-Hakim 1/339, dan Al-Hakim berkata hadith tersebut sahih mengikut syarat Bukhari & Muslim dan ini dipersetujui oleh Al-Zahabi tetapi ianya sahih hanya berdasarkan syarat Bukhari sahaja)

Namun begitu, boleh meminta mati dengan meletakkan syarat bahawa jika mati itu mendatangkan kebaikan kepada kita sebagaimana hadith marfu’ yang diriwayatkan oleh Anas r.a.
“ Ya Allah, hidupkan aku jika kehidupan ini baik untukku, dan matikanlah aku jika kematian baik untukku”.

(Hadith ini dikeluarkan oleh Bukhari, Muslim, Al-Baihaqi 3/377, Al-Irwa’ 683)

4. Jika terdapat hak-hak orang lain ke atas si pesakit (contohnya hutang, pinjaman dsb) maka hendaklah ditunaikan atau diselesaikan hak-hak tersebut.

Nabi SAW memperingatkan kita sebagaimana berikut:-

“Sesiapa yang mati sedangkan terdapat hutang ke atasnya (yang belum selesai), maka tiada lagi di sana (alam akhirat) dinar dan dirham tetapi (yang ada) ialah kebaikan dan keburukan”.

(Hadith ditakhrijkan oleh Al-Hakim 2/27, ianya sahih di sisi Al-Hakim dan dipersetujui oleh Al-Zahabi, manakala Ibnu Majah dan Ahmad meriwayatkan dengan dua jalan daripada Ibnu Umar dan Al-Munziri mengatakan ianya hasan)

Imam Al-Tabrani pula meriwayatkan dalam Al-Kabir hadith berikut:-
“Hutang ada dua jenis hutang. Sesiapa yang mati, dan dia berniat untuk membayar hutang tersebut, maka aku menjadi walinya. Dan sesiapa yang mati, sedangkan dia tidak berniat untuk membayar hutangnya itu, maka hutang itu akan dibayar dengan mengambil pahala kebaikannya, pada masa itu (akhirat) tiada lagi (pembayaran hutang dengan menggunakan) dinar dan dirham.”

5. Hendaklah pesakit berwasiat kepada kaum kerabatnya yang tidak mewarisi harta pusakanya (kerana bukan waris). Sebagaimana Surah Al-Baqarah ayat 180.

6. Apabila berwasiat tentang hartanya, maka hendaklah dia membuat wasiat tidak lebih 1/3 daripada hartanya. Adalah lebih baik (afdhal) jika dia berwasiat kurang daripada 1/3 hartanya. Ini berdalilkan kepada hadith Sa’ad Bin Abi Waqas. Dalam dalil yang lain juga Nabi SAW menunjukkan bahawa membuat wasiat pada kadar 1/3 harta masih dianggap sebagai banyak. Sebab itu lebih baik jika wasiat dibuat pada kadar yang kurang daripada 1/3 harta yang ada.

7. Wasiat tersebut hendaklah disaksikan dengan dua orang saksi lelaki yang adil dan beragama Islam. Jika tiada yang beragama Islam, dibolehkan menggunakan saksi bukan Islam.

8. Tidak dibenarkan mewasiatkan harta kepada ibubapa dan kaum kerabat yang merupakan waris kepada pesakit. Ini berdasarkan khutbah baginda ketika haji perpisahan yang bermaksud; “Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap yang berhak akan haknya, maka tidak boleh berwasiat kepada waris”.

9. Dilarang memberikan wasiat yang memudaratkan, seperti menghalang hak-hak waris atau memberikan kelebihan kepada seorang waris mengatasi waris lain.

10. Wasiat yang mempunyai elemen kejahatan dan batil adalah tertolak.

11. Kebanyakan manusia pada hari ini, biasanya melakukan perkara bid’ah dalam agama mereka termasuk dalam urusan jenazah. Maka wajib ke atas orang Islam untuk memberikan nasihat dan wasiat supaya urusan penyelenggaraan jenazah sehingga kepada pengkebumian dan lain-lain yang bersangkutan dibuat mengikut sunnah Nabi SAW. Banyak athar sahabat Nabi yang menunjukkan para sahabat berwasiat dengan wasiat sedemikian. Contohnya, wasiat supaya menyegerakan pengkebumian, tidak membina sebarang binaan atas kubur, jangan ada sesuatu yang memisahkan antara mayat dengan tanah, dan perkara-perkara lain yang telah diajar oleh Nabi SAW.

Imam Nawawi dalam Al-Azkar juga menyebut bahawa mustahab yang sangat dituntut, agar diberikan wasiat kepada mereka (yang hadir di sisi pesakit) supaya mereka menjauhkan diri dari perkara bid’ah yang telah menjadi adat dalam masyarakat tentang jenazah.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
01/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com