jailani, peguam, ustaz, islam, syariah, undang-undang, law

Archive for July, 2010

GANGGUAN MISTERI & TEKANAN PERASAAN

TYNEMOUTH, TYNE AND WEAR, ENGLAND

HUBUNGAN DENGAN ALLAH ADALAH BENTENG YANG KUAT DARIPADA SEGALA GANGGUAN. (SOLAT DI TYNEMOUTH, TYNE AND WEAR, ENGLAND)

KEINDAHAN TYNEMOUTH

MENIKMATI KEINDAHAN ST. MARY'S LIGHTHOUSE, WHITLEYBAY, NORTH TYNESIDE, TYNE AND WEAR, ENGLAND.

1. Baru-baru ini, saya telah dihubungi oleh seseorang yg meminta bantuan kerana seorang pelajar perempuan Melayu di sini (England) telah disyaki mengalami “gangguan”. Saya berterus terang kepada si pemanggil bahawa saya tidak berkeahlian dalam soal perubatan “tradisional” walaupun kawan-kawan dan murid-murid saya di UK selalu memanggil saya dengan gelaran “ustaz”.

2. Lalu saya mencadangkan kepada si pemanggil supaya menghubungi seorang lagi kawan baik saya yang berjiran dengan saya di Bowburn, Durham (kenalan sejak zaman UIA 1989-1995) yang saya tahu mempunyai kemahiran dalam masalah seperti ini. Saya tidak berniat untuk menceritakan lebih lanjut apa yang berlaku di rumah sewa pelajar perempuan tersebut demi menjaga maruah dan kemaslahatan semua yang terlibat dalam kes ini.

3. Cuma, saya ingin berpesan kepada semua bahawa kita takkan sunyi daripada ujian Allah dalam kehidupan ini. Adalah penting dalam kehidupan kita agar sentiasa berfikiran positif ketika berhadapan dengan semua masalah yang melanda.

4. Sepatutnya, apabila kita ditimpa masalah, ini akan mennyebabkan kita lebih dekat kepada Allah dan mencari serta mengadu kepada Allah. Dengan tangisan dan linangan air mata sewaktu kita sujud dan menadah tangan ke langit, bukankah Allah bersama-sama dengan kita? Tidakkah kita sentiasa berasa tenang tenteram setiap kali kita mengadu dan berserah diri kepada Allah?

5. Kenapa kita tidak mahu menilai semula kehidupan kita? Mulakan dengan perkara yang sering kita anggap remeh sehinggalah kepada perkara yang besar dan utama.

6. Kenapa kita tidak mahu mulakan dengan menilai semula bilik, rumah, jiran dan suasana sekeliling? Kebersihan tandas, gambar-gambar yang tidak elok, alat-alat muzik tertentu, patung, suasana suram dan tidak ceria, dan pelbagai lagi perkara yang tidak sesuai dalam rumah yang memungkinkan kita tidak layak disebut sebagai insan yang soleh atau yang boleh menyumbang kepada tekanan perasaan.

7. Kenapa kita tidak menilai semula kefahaman kita terhadap aqidah tauhid dan ibadah kita?

8. Saya masih teringat ketika saya di Malaysia, menyampaikan kuliah maghrib di sebuah masjid di Sg Petani, Kedah. Selesai sahaja kuliah maghrib, ajk masjid menghampiri saya dan memberitahu ada 2 orang India (Hindu) yang menunggu saya di luar masjid sambil mendokong bayi, ingin berjumpa dengan saya. Dalam fikiran saya (sebagai seorang peguam) kenapa klien saya sanggup datang ke masjid, sedangkan kami biasa berjumpa di pejabat firma guaman saya sahaja.

9. Bila saya sampai di pintu utama dewan solat masjid, saya melihat satu pasangan Hindu dengan “pottu” / “nandek” pada dahi masing-masing sambil si suami mendokong bayi mereka. Si suami meminta pertolongan saya supaya “mengubati” mereka tersebut yang sentiasa menangis sepanjang malam kerana disyakki mengalami gangguan.

10. Saya beritahu si suami bahawa saya seorang peguam yang hanya mengajar agama di masjid dan bukan dukun atau bomoh. Lalu ajk masjid mencelah, “Ustaz baca je apa yang patut. Jangan hampakan harapan dia”.

11. Hati saya pelik, ada segelintir orang Islam sanggup berjumpa dengan sami hindu untuk berubat, ini pula, orang Hindu cari ustaz utk berubat! Pelik, pelik, hati saya bercakap.

12. Saya membaca beberapa ayat suci Al-Quran dan berdoa kepada Allah agar menghilangkan penderitaan dan kesusahan yang sedang dialami oleh keluarga Hindu tersebut dengan tambahan doa agar Allah memberi taufiq dan hidayah kepada mereka 3 beranak.

13. Saya ambil sebotol air mineral (yg disediakan utk saya sebagai penyampai kuliah maghrib) yang telah saya bacakan doa tersebut, lalu saya berikan kepada pasangan tersebut yang kedua-duanya berseluar pendek datang ke masjid. Wajah mereka ceria, berkali-kali ucap kepada saya “Thank you, ustaz.. thank you, ustaz..”.

14. Malam itu, saya pulang ke rumah dengan hati yang sayu mengenang kesusahan keluarga Hindu tersebut bercampur dengan sedikit rasa lucu kerana “lawyer” telah menjadi “bomoh”.

15. Moga kita sentiasa mengadu kepada Allah.

Advertisements