jailani, peguam, ustaz, islam, syariah, undang-undang, law

TG. MUHAMMAD FAKHRY & MANOHARA ODELIA PINOT

Ada darling yang tak layak dijadikan darling

Ada darling yang tak layak dijadikan darling

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
03/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

Apabila berita tentang kemelut rumahtangga Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Manohara Odelia Pinot tersebar, malah sebahagian akhbar meletakkannya pada muka depan dan tajuk utama, kita sebagai orang “luar” menjadi tertanya-tanya tentang apa sebenarnya yang berlaku. Kedua-dua suami isteri mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki oleh rakyat jelata biasa. Tg Fakhry selaku salah seorang putera Sultan Kelantan, memiliki “glamour” sebagai anak raja, kemewahan yang mencurah-curah, mulia di mata rakyat, manakala Manohara pula sebagai model dan selebriti juga memiliki glamour, cantik, muda remaja dan boleh diibaratkan sebagai bidadari syurga di dunia.

Saya dan isteri mempunyai pendapat yang berbeza tentang Manohara. Bagi isteri saya Manohara Odelia Pinot tidak cantik atau tidak cantik sangat. Tetapi bagi saya selaku seorang lelaki “normal”, saya “terpaksa” mengakui bahawa Manohara adalah seorang “bidadari” yang cantik dan mampu menyebabkan seorang lelaki (tidak semua tentunya) melakukan apa sahaja demi memilikinya sebagai “teman” dalam hidup mereka.

Maka sudah tentu, kita semua menjadi hairan, kenapa pula rumahtangga mereka bermasalah, sedangkan mereka sudah pun memiliki kelebihan dan keistimewaan tersendiri yang tidak dipunyai oleh orang lain?

Inilah hakikat kehidupan yang perlu dipelajari oleh semua hamba Allah. Semata-mata cantik, tampan, glamour, kaya, kuasa dan lain-lain bukanlah suatu jaminan bahawa kita akan mendapat kebahagiaan, malah rumahtangga ustaz dan ustazah juga tidak sunyi dipukul ombak dan ribut taufan yang tidak kurang hebatnya.

Saya tidak begitu perasan tentang Tg Fakhry yang merupakan putera ketiga Sultan Kelantan sekarang, tetapi ingatan saya masih segar tentang Tg Muhammad Faris Petra (putera sulung) dan Tg Muhammad Faiz Petra (putera kedua) sebab kami sama-sama belajar di SRK Sultan Ismail (1) Kota Bharu, Kelantan. Malah ada di antara mereka yang terkenal dengan minat kepada agama sehingga saya pernah terserempak dengannya semasa solat tarawih di Pondok Pasir Tumboh dan di kuliah maghrib di Masjid Gua Musang.

Sebelum kita menuduh siapa yang bersalah, Tg Fakhry atau Manohara yang bersalah kepada krisis tersebut, marilah kita melihat apa yang disebut di dalam Sunan Abu Daud (Kitab Al-Aqdiyah) Juzuk 3, mukasurat 1016 tentang kisah Ali r.a. Beliau berkata bahawa Nabi SAW telah menghantar beliau ke Yaman sebagai hakim. Lalu Ali bertanya; “Wahai Rasulullah! Adakah engkau menghantar aku dalam keadaan aku masih muda dan tiada ilmu pengetahuan tentang tugas seorang hakim?” Lalu baginda menjawab, “Allah akan memberi petunjuk kepada hatimu dan menjaga lidahmu sentiasa benar. Apabila dua pihak yang bertikai duduk di hadapanmu, janganlah kamu membuat keputusan sehinggalah kamu mendengar apa yang dikatakan oleh pihak yang satu lagi sebagaimana kamu mendengar keterangan pihak yang pertama. Kerana itulah sebaik-baiknya untuk kamu mendapat idea yang jelas untuk membuat keputusan yang terbaik”. Lalu Ali r.a. berkata; “Aku telah menjadi hakim (pada jangka waktu yang lama) atau dia berkata (perawi hadith ini tidak pasti) “Saya tidak lagi ragu-ragu membuat keputusan / penghakiman selepas itu”.

Jadi, yang paling penting ialah kita tidak terburu-buru menuduh siapa yang bersalah sebelum kita mendengar versi kedua-dua belah pihak. Ini kerana, adalah tidak adil jika hanya mendengar cerita sebelah pihak yang pastinya akan mengeluarkan semua versi kotor dan jelek tentang pihak lawannya, tanpa mengira kita berada di pihak yang mana sekali pun.

Berdasarkan pengalaman luas saya di mahkamah sivil dan syariah, saya boleh meletakkan sekurang-kurangnya dua kemungkinan sebagai cara menganalisa kisah kemelut seperti ini.

Kemungkinan pertama, si suami mendera si isteri. Jika keadaan ini berlaku, maka isteri tersebut mestilah mempunyai bukti. Si isteri perlu mendapatkan pemeriksaan perubatan agar dakwaan beliau tentang wujudnya kecederaan pada badannya disokong oleh laporan perubatan. Ada laporan media tertentu yang menunjukkan bahawa penderaan itu termasuklah kecederaan fizikal dan kezaliman seksual. Yang menariknya ialah, pihak yang menyebelahi Tg Fakhry telah mencabar Manohara agar pergi membuat pemeriksaan perubatan. Setakat waktu saya menulis artikel ringkas ini, laporan media menunjukkan bahawa Manohara masih belum membuat pemeriksaan perubatan. Nampak pelik juga. Bagi suami yang zalim dan mempunyai sedikit “aqal”, mereka takkan mengambil risiko membiarkan isteri mereka lari dalam keadaan wujud bukti penderaan pada badan. Biasanya risiko isteri akan lari hanya diambil apabila bukti-bukti lebam dan cedera telah beransur hilang pada badan mangsa.

Kemungkinan kedua, isteri hanya berbohong untuk menutup kesalahannya. Strategi ini kerap digunakan untuk mengalih isu sebenar atau untuk menutup kesilapan diri sendiri. Mungkin usaha untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati tidak tercapai, maka tiada faedahnya menunggu lagi, lebih baik tinggalkan sahaja suami yang enggan atau tidak mampu memenuhi hajat tertentu. Maka pelbagai cerita direka dan dicipta untuk mengaburi hakikat sebenar.

Di antara dua kemungkinan ini, mereka berdua yang lebih mengetahui kebenarannya.

Tetapi, bagi saya, berpegang kepada ajaran Al-Quran adalah yang lebih tepat, “Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji. Sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. (Surah al-Nur, ayat 26). Begitu juga ajaran Nabi SAW, sebagaimana hadith riwayat Bukhari & Muslim, “…maka hendaklah kamu memilih wanita yang beragama, jika tidak engkau kecewa dan melarat”. Kepada Tengku Fakhry, ingin saya nasihatkan dengan kata-kata berikut, “Jika Tengku berada di tempat saya dan melihat segala gambar Manohara, Tengku tidak akan mempunyai keinginan untuk memperisterikan Manohara kecuali yang ada hanya perasaan biasa seorang lelaki apabila melihat perempuan muda yang cantik”.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
03/06/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

3 responses

  1. mengenai risiko yang di ambil dengan membiarkan si isteri lari, the fact in question should be taken in toto. Giving the situation, where there are other authorities involved and they have no obligation whatsoever to obey any command from sultanate, whoever guarding her have to let her go.

    regarding physical evidence, we shall wait the tangible exposure, maybe not in the form of bruises and new cuts, maybe some scars will speak and of course if it really happened, forensic medical examiner will reveal their findings. otherwise it was a mere claim, her words against his.

    on your second possibility, it’s a mere postulation. A statement which has no support whatsoever should not be entertain unless one can show some situation that can create such possibility. given the circumstances, which condition to support that she demanded certain things to be fulfilled and he failed to provide which ‘force’ her to create the whole incidents. unless one can show such things, we therefore should take it as we find it. and as u mentioned, kita jangan terburu-buru membuat keputusan: which can be construed that we can’t conclude that the husband ill treated the wife, BUT, from possibilities given above, its plain reading showed an example on how one rush into presumption that SHE is to be blamed.

    it was mentioned that u hardly notice the husband and good examples given towards the two siblings, not he himself. We therefore cannot conclude his character based on what were displayed by his two brothers, neither can we conclude his own character from his previous conduct.

    I therefore suggest we look at a bigger picture without rushing into decision. from which I mean taken no side especially when the other party keep mums. and mind U silent does not mean acceptance, neither can it mean declination.

    03/06/2009 at 12:15 pm

  2. Orang Utara

    Salam Ustaz,
    Saya melihat ustaz banyak memberi ceramah di kawasan utara. Mengajar orang-orang utara ilmu agama ilmu yg bermanafaat. Dengan itu saya ucapkan ribuan terima kasih. Saya juga berpeluang mendengar ceramah ustaz di surau Mawaddah seksyen 7, Shah Alam.
    Saya ucapkan juga syabas (edited-ustjai).
    Terima kasih. Saya doakan supaya ustaz senantiasa di rahmati Allah . Wasallam.

    04/06/2009 at 10:20 pm

    • ustjai

      Terima kasih kerana sudi mendengar ceramah saya. Moga ada ganjaran di sisi Allah. Mana2 kesilapan dan kelemahan saya pohon ampun kepada Allah.

      06/06/2009 at 1:38 am

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s