jailani, peguam, ustaz, islam, syariah, undang-undang, law

AYAH & IBU, BERLAKU ADILLAH KEPADA ANAKMU INI

Oleh:-

Ahmad Jailani Abdul Ghani

14/04/2009

www.ustjai.wordpress.com

 

 

1.    Seorang perempuan dalam usia awal 30’an datang menemui saya. Tanpa dapat mengawal air matanya yang mengalir laju, beliau menyatakan seperti berikut, “ustaz, kalau Allah menguji saya dengan benda lain, mungkin saya dapat menanggungnya, tapi ustaz, saya tak tahan, sangat tak tahan bila Allah menguji saya dengan sikap ibu kandung saya yang membeza-bezakan saya berbanding dengan adik beradik saya yang lain”.

 

2.    Saya hanya mampu memandang ke arah beliau, sambil aqal saya memecut pusingan laju mencari kaedah terbaik untuk menenangkannya, menyelesaikan masalah beliau dan pada masa yang sama memujuk beliau supaya bersangka baik kepada Allah SWT. Dalam satu hadith qudsi dinyatakan bahawa, “Aku (Allah) bersama-sama sangkaan hambaKu terhadap Aku” Jika kita berbaik sangka kepada Allah, nescaya balasan baiklah yang kita akan perolehi. Tetapi jika kita bersangka buruk kepada Allah, maka dahsyatlah akibatnya.

 

3.    Perempuan ini tidak berpuashati kerana sejak kecil beliau dianiaya oleh ibunya. Pada waktu adik beradiknya bergembira di hari raya, beliau “dipaksa” membasuh pinggan mangkuk. Tiada kesempatan untuk bermain seperti kanak-kanak lain. Apabila diri sudah dewasa pula, adik beradiknya, kesemuanya sudah berumahtangga dan beranak pinak, dia pula tidak dibenarkan kahwin. Ibunya menyembunyikan setiap pinangan orang yang ingin menyuntingnya.

 

4.    Dia menangis di hadapan saya semahu-mahunya. Bergoncang bahunya. Menampakkan bagaimana dia terlalu sedih dengan cara ibunya melayaninya, sedangkan dia juga adalah anak yang memerlukan kasih sayang ibu.

 

Ayah & Ibu, janganlah kami dibeza-bezakan

Ayah & Ibu, janganlah kami dibeza-bezakan

 

 

 

5.    Ini mengingatkan saya kepada ajaran Islam yang sangat indah ini. Bagaimana Islam, melalui Al-Quran dan Hadith Nabi SAW mengajar kepada kita termasuk para ibu bapa supaya berlaku adil kepada semua anak.

 

6.    Firman Allah:-

 

اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُواْ اللّهَ

                                                                                                       

Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa, dan bertaqwalah kepada Allah (Al-Ma’idah: 8)

 

7.    Hadith riwayat Nu’man Bin Basyir r.a. bermaksud:-                                              

Pada suatu hari seorang ayah mengajaknya berjumpa Nabi SAW. Si ayah berkata, “Sesungguhnya aku telah memberikan kepada anakku ini seorang hamba”. Nabi SAW bertanya kepada si ayah, “Adakah setiap anakmu diberikan perkara yang sama?” Si ayah menjawab, “Tidak” Nabi SAW bersabda, “Ambil semula hamba itu”

 

Dalam riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda dengan maksud:- 

“Bertaqwalah kepada Allah, berlaku adillah di antara anak-anakmu”. Lalu, si ayah itu pulang dan mengambil semula pemberiannya tersebut. (Riwayat Bukhari, Fathul Bari 5/211).

 

8.    Sedarkah kita, berapa ramai ibubapa yang memberi sesuatu kepada seorang anak tetapi tidak memberikan benda yang sama kepada anak-anak yang lain? Ini akan menimbulkan perasaan cemburu, sakit hati dan bibit perbalahan. Ibubapa tersebut tidak sedar mereka telah menggalakkan perseteruan di antara anak-anak tersebut lantaran perbuatan ibubapa itu sendiri.

 

9.    Namun begitu, sudah tentu ada pengecualian. Misalnya, kita memberi hadiah kepada seorang anak tertentu disebabkan pencapaian cemerlangnya dalam peperiksaan. Ini dibolehkan. Yang tidak dibolehkan ialah pemberian khusus kepada anak tertentu tanpa sebab yang kuat.

 

10.                       Akhir kalam, kita sebagai ibubapa, sudah tentu mahu anak-anak kita, semuanya, akan berbuat baik kepada kita, tanpa ada seorang pun yang menjauhkan diri daripada kita justeru merajuk atau berkecil hati.

 

 

11.                       Benarlah sabda Nabi SAW bermaksud, “Bukankah akan menyenangkan kamu, apabila kesemua mereka (anakmu) bersama-sama berbuat baik kepadamu?” (Riwayat Imam Ahmad, 4/269; Sahih Muslim, 1623.)

 

Ahmad Jailani Abdul Ghani

14/04/2009

www.ustjai.wordpress.com

3 responses

  1. masih ada ibu yang sebegitu rupa…semoga Allah membuka pintu hatinya untuk berubah dan berlaku adil

    14/04/2009 at 9:48 am

  2. ulat

    Diambil dari petikan yahoogroup:

    Assalamualaikum wbt.,

    Ni nak citer tentang tentang sorang hamba ALLAH (atas permintaannya sendiri). Biarlah dinamakan Ani (nama samaran).

    Ani ni memang sedari kecil terkenal sebagai seorang pelajar yang baik, rajin, tidak banyak bercakap tetapi berani mengeluarkan pandangan. Rakan-rakan selalu menganggap dia seorang yang bertuah kerana ramai yang menyenanginya termasuk guru-guru. Dia juga aktif dalam persatuan dan sukan. Paling best, dia adalah anak emas GB.

    Tetapi, tiada siapa pun tahu gelora dalam hatinya sejak dulu. Yang tahu, hanya sorang dua teman rapatnya sahaja itupun pada asalnya kami tidak begitu memahaminya kerana dia tidak begitu berterus terang. Ceritanya sering sahaja tergantung dan penuh dengan kiasan. Penceritaannya seumpama pecahan-pecahan game maize yang tidak dapat difahami ketika itu. Bila kami semua sudah besar dan kisahnya juga sudah hampir ke arah penyelesaian, barulah kami nampak cantuman daripada kisah-kisah yang pernah diceritakan dahulu.

    Pun begitu, dia cukup berjaya menyembunyikan perasaannya daripada pengetahuan orang lain sehinggakan ada yang mengucapkan kepadanya: “untung awak. Awak baik, pandai, cantik. Ramai orang suka. Cikgu-cikgu pun sayang!” tetapi dia sekadar membalas: “kalau awak jadi saya yang sebenar-benarnya, tentu awak taknak!”. Orang yang mendengarnya hanya terpinga-pinga. Masakan ada yang tak mahu menjadi seperti dia. Dia nampak cukup serba-serbi! Tidak pernah nampak sebarang masalahpun. Malah, tidak pernah nampakpun sebarang keganjilan pada dirinya sehingga memungkin orang berfikir yang dia sedang menghadapi masalah. Cuma saya perasan ada satu sahaja yang mungkin ramai tidak tahu. Dia selalu pulang sekolah agak lewat.

    Dia pernah memberitahuku untuk melarikan diri dari rumah. Dia sudah tidak tertahan dengan sikap ibunya sendiri. Ibu yang melahirkan dirinya! Apa yang kusedar, ibunya memang seorang yang sangat pendiam dan jarang tersenyum. Jika kami terselisih dengan ibunya, beliau hanya memandang kami dengan pandangan yang kosong. Kami tak dapat mengagak apakah yang tersirat di dalam hatinya ketika itu.

    Dia pernah menyatakan, betapa ibunya seolah-olah tidak menyukainya. Dia sering dimarahi walaupun atas perkara-perkara yang kecil. Dia juga sering diherdik kerana lambat menolong ibunya di dapur sedangkan ketika itu, dia sedang mengulangkaji pelajaran. Katanya, dia bukan tak mahu tolong, tetapi, apabila dia pergi ke dapur untuk menolong ibunya, ibunya akan menghalaunya pula. Datang nak tolong kena marah, tak datang tolong pun kena marah.

    Katanya, dia memang betul-betul tak faham dengan sikap ibunya. Kadang-kala, jika ada sesuatu masalah di rumah seperti barang hilang atau rosak, ibunya dengan cepat akan menuduh dia yang rosakkan. Dia akui, semasa kecil dia memang seorang anak yang cergas dan agak buas. Tetapi, takkan lah kerana itu dia tidak boleh merasa secebispun kasih sayang daripada ibunya.

    Entahlah …

    Ibunya juga tidak pernah memeluknya sejak umur 4 tahun lagi. Malah, dia tidak pernah mempunyai peluang untuk meluahkan perasaan kepada ibunya seperti anak-anak orang lain.

    Jika nak dikatakan dia mungkin menipu atau menokok tambah ceritanya dalam hal itu. Mungkin tidak. Ini kerana, dia juga mempunyai daya ingatan yang kurasakan agak pelik di mana dia masih ingat beberapa peristiwa yang berlaku padanya sejak usianya 2 tahun. Malah dia dapat mengingat susunan rumah-rumah dan tempat-tempat penting di sekitar tempat tinggalnya dulu walaupun dia mula berpindah ketika usianya 3 tahun dan tidak pernah lagi kembali ke situ sehingga kini.

    Pernah seusia 6 @ 7 tahun, dia berlatih untuk bercakap seperti gaya kakaknya yang sangat rapat dengan ibunya itu. Dia mahu memulihkan hubungan antara dia dengan ibunya. Dia mahu ibunya juga mesra melayannya seperti ibunya melayan kakaknya.

    Lebih seminggu dia berlatih di hadapan cermin. Bukan itu sahaja, dia juga telah memikirkan juga topik apakah yang hendak digunakan untuk bercakap dengan ibunya nanti. Masa bagaimanakah yang sesuai untuk bertemu ibunya. Dalam keadaan ibunya yang bagaimanakah patut dia mulakan. Semua itu dia sudah mengkajinya dan merancangnya betul-betul. Cuba bayangkan, bagaimana dia boleh mempunyai pemikiran seperti itu sedangkan dia baru berumur 7 tahun?! Tapi, saya memang tak hairan. Dia memang agak bijak.

    Tapi sayang, semua usahanya itu sia-sia sahaja. Ibunya hanya bersikap dingin sahaja dengan sapaannya ketika itu. Dia memang cukup kecewa sejak itu. Sedangkan sesudah itu, kakaknya dengan bersahaja datang menerpa ke arah ibunya dan mengadukan halnya, begitu cepat dilayan dengan mesra dan penuh senyuman.

    Malah, sayu rasanya bila melihat dia sering memandang ke arah seorang ibu yang sedang duduk bersama anak-anaknya sambil mengait kain di koridor yang bertentangan dengan rumahnya. Ibu itu memang terkenal di kalangan jiran-jiran sebagai ibu paling garang di situ. Pernah kami terlihat dia mengejar anak-anak bujangnya dengan sebatang kayu sebesar kaki meja di sekolah. Kecut perut kami yang melihatnya. Manakan tidak, hampir kesemua 5 atau lebih anaknya adalah lelaki! Tetapi, ibu itu tetap juga rapat dengan anak-anaknya.

    Ketika si ibu itu begitu asyik melayan anak-anaknya yang berebut-rebut memeluk dan baring di atas ribaannya dengan mulutnya yang masih riuh itu, ku terlihat linangan air mata Ani perlahan-lahan mengalir dalam diam. Cuba bayangkan perasaannya ketika itu…

    Pernah dia bertanya kepada kami teman-temannya, adakah dia anak angkat? Kami fikir, itu tidak mungkin. Kerana surat beranaknya ternyata jelas menunjukkan wanita itu adalah ibu kandungnya. Malah, wajahnya juga lebih mirip kepada wajah ibunya jika nak dibandingkan dengan wajah kakaknya.

    Saya juga pernah terbaca buku sajaknya yang banyak berkisar kepada harapannya terhadap ibunya itu. Walau sering terasa benci, kerinduan terhadap kemesraan ibunya tetap tersirat dalam bait-bait sajaknya. Sering kali sajak-sajak ciptaanya bernada sendu. Malah, kesemua sajaknya dalam pertandingan di sekolah adalah hasil ciptaannya yang bernada pilu, walau atas apapun tema sajaknya. Jangankan sajak, lagu-lagu yang sering digumamkan sendirian juga bernada sama. Lagu sedih yang menyeramkan.

    Dia sering bertanya, apakah silapnya sehingga ibunya tidak menghiraukan dia. Adakah kerana kecemburuan ibunya terhadap dia yang agak rapat dengan ayahnya dulu? Adakah kerana untuk membalas dendam bagi pihak kakaknya yang sering diherdik dengan perkataan “bodoh” oleh ayahnya lalu dia pula dipulaukan?

    Kakaknya memang agak ‘lambat’ dalam pembelajaran sedangkan Ani cukup berbakat. Sejak umur 6 tahun, dia sudah boleh sifir darab. Malah kerja matematik kakaknya juga dapat diselesaikannya dengan mudah walaupun kakaknya lebih tua 2 tahun darinya. Katanya, dia bukan berniat untuk menunjuk-nunjuk kepandaiannya, tetapi kerana dia juga turut takut dimarahi oleh ayahnya jika dia berpura-pura tidak dapat menyelesaikan kerja matematik itu.

    Ayahnya seorang yang sangat garang. Tidak boleh melihat sedikitpun kekurangan pada ahli keluarganya. Walaupun semasa kecil, Ani agak rapat dengan ayahnya, tetapi apabila semakin membesar, kemesraan itu semakin hilang. Entah kerana apa…

    Pun begitu, hubungan dia dengan kakaknya agak rapat. Kemesraan kakaknya dengan ibu tidak pernah membuatkan dia berjauh hati terhadap kakaknya. Katanya, kakaknya tidak pernah memulaukan dia. Pergaduhan antara adik beradik memang sering berlaku. Tetapi, sikap kakaknya tidak seperti ibunya. Malah, kakaknya tidak pernah sengaja menunjuk-nunjuk kemesraannya terhadap si ibu supaya dia sakit hati.

    Bukan itu sahaja, seluruh adik beradiknya juga lebih rapat antara satu sama lain berbanding dengan ibubapa mereka sendiri. Dengan kakaknya, mereka boleh berpelukkan, tidur di ribaan, dan berpegangan tangan sehingga kini. Kerana itulah agaknya, dia tidak pernah berasa iri terhadap kakaknya itu.

    Cuma sayangnya, kakaknya itu tidak dapat membaca situasi yang berlaku antara dia dengan si ibu. Katanya, dia memang tidak pernah menceritakan apa-apa kepada kakaknya kerana tidak mahu merosakkan hubungan mesra kakak dengan ibu. Tambahan pula, kakaknya memang seorang yang tidak cekap membaca situasi persekitarannya kecuali jika diceritakan. Bahasa kiasan dan body language memang menjadi kelemahan utama kakaknya itu. Kerana itulah agaknya, kakaknya seakan tidak faham apabila saya menunjukkan muka kebosanan apabila dia tidak henti-henti berborak denganku. Aah … peningnyer ….. Terpaksalah saya potong perbualannya apabila hendak mengundurkan diri. Kelakar betul!!… tapi, kakaknya memang seorang yang baik.

    Suatu hari, Ani pernah berkata, dia mahu tinggalkan sahaja dunia ini! Aah sudah…! Apa nak buat? Aku hanya mampu menghamburkan pelbagai kata nasihat dan kata-kata semangat. Aku ingatkan dia tentang Tuhan walaupun akupun bukannya tau bagi nasihat. Kami pula masih lagi di bangku sekolah rendah. Itu sahaja yang mampu aku lakukan. Aku pula tak terfikir nak bagitau cikgu dan teman-teman yang lain.

    Alhamdulillah, dia tidak meneruskan niatnya itu. Tetapi, aku mulai perasan dia mulai belajar tentang solat. Katanya, mereka sekeluarga tidak pernah bersolat!! Patutla, bila ustazah suruh dia tunjukkan cara sujud, nak tergelak juga aku tengok. Pelik betul cara dia, macam tertonggeng. Hahahahaha… jangan mare (just for ‘Ani’).

    Tidak ketinggalan, dia juga masuk kelas mengaji Qur’an yang diadakan di sekolah kami. Dari asalnya, dia masuk kelas muqaddam sehingga tak sampai setahun, dia sudah pindah pula ke kelas Al-Qur’an – kebetulan dia dapat kelas sama dengan aku. Memang cepat betul dia belajar. Malah, dalam kelas ini juga, dia sering bertanya dengan ustaz hal-hal mengaji sehinggalah ke hal-hal agama. Tidak cukup dengan itu, dia juga menjadi salah seorang daripada ahli persatuan agama Islam yang agak penting. Selalu sahaja dia terlibat dengan aktiviti persatuan itu sehingga ke pertandingan di luar sekolah. Atas kesungguhan dia untuk belajar, ustaz mengaji kami itu turut mengajak dia menyertai program khatam Qur’an walaupun dalam group itu dia seorang sahaja yang belum habis 30 juzu’. Bertuah betul dia tu!

    Tentu, dia sudah tidak lagi meninggalkan solat. Kasihan dia, bagaimana dia hendak berhadapan dengan keluarganya yang tidak solat itu? Kakaknya pula pernah mengata dia “buang tebiat ke nih” kerana dia duduk berzikir berjam-jam. Katanya ketika itu, hatinya tidak tenang, lalu dia buat solat hajat dan zikir lama-lama. Sungguh, katanya dia peroleh ketenangan yang tidak pernah dia rasakan dulu.

    Tetapi, sayangnya, dia tidak solat cukup 5 waktu sehari-semalam. Bagaimana aku tahu? Bila tiba-tiba ustazah kat sekolah suruh kami tasmi’ qunut, dia mintak aku tolong dia cepat-cepat. Katanya, dia cuma solat apabila ada masalah sahaja. Pulak dah!! XP

    Katanya, dalam sehari tu, ade la 2 atau 3 kali dia solat sebab 2 hingga 3 kali itu jugalah dia akan bermasalah dengan ibunya. Pening… pening … bab agama dia memang “KO”!

    Dia juga mengaji Qur’an sendirian sambil menitis air mata dan tertidur di atasnya apabila dia tidak mampu lagi menanggung masalahnya. Katanya, dalam tidur itulah, dia seolah-olah dibawa ke suatu taman yang cukup indah. Dia terasa seolah-olah terbang dalam alam yang tidak pernah dilihatnya dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Bangun sahaja dari tidur, dia pasti akan berasa tenang semula. Akibatnya, dia berjaya mengkhatamkan Qur’an sehingga habis dengan sendirinya!

    Masalah dia dengan ibunya berterusan sehingga dia masuk ke sekolah menengah dan akhirnya apabila dia melanjutkan pelajaran ke menara gading. Semasa di ipt, dia pernah berkata bahawa ibunya langsung tidak mahu turun menjenguknya ke bilik asrama walaupun mereka sekeluarga sempat singgah ke ipt dalam perjalanan ke rumah saudara yang lain. Ibunya hanya duduk di dalam kereta sedangkan ayahnya pula pergi mencarinya di asrama.

    Sepanjang di ipt ini jugalah, dia kelihatan semakin Islamic. Walaupun, di kelilingi oleh teman-teman dan roommate yang agak social, tetapi tidak sedikitpun dia terikut malah, dicarinya juga teman-teman yang berfikrah Islam walaupun asrama mereka begitu jauh dari biliknya.

    Katanya juga, dia tidak lagi solat apabila ada masalah sahaja. Malah, solatnya mulai lengkap semasa dia di tingkatan 6 lagi. Ketika itu, dia mulai terfikir tentang solat penuh apabila dia sendiri tertanya-tanya dalam hati: kenapa dia hanya mencari ALLAH apabila dia ada masalah? Kenapa tidak, setiap ketika?

    Dia juga gembira apabila kakaknya yang turut melanjutkan pelajaran ke ipt yang lain sudah mulai mengerjakan solat. Kakaknya juga sering membicarakan tentang agama dengannya apabila mereka balik cuti semester. Katanya, kakaknyalah yang mendorong dia untuk mendekatkan diri dengan golongan pencinta agama.

    Ahli keluarga yang lain pula terutama ibubapanya masih lagi tidak mengerjakan solat. Oleh itu, mereka dua beradik berusaha dengan menceritakan keindahan dan hukum-hukum Islam kepada adik-adik yang lain dengan harapan ibubapa mereka juga turut mendengar secara tidak langsung. Malangnya, usaha itu sangat sukar.

    Dalam pada itu, sedikit demi sedikit kisah hidup ibunya terbongkar satu persatu.

    Mungkin kerana Ani telahpun menginjak ke alam dewasa, banyak juga kisah orang tua-tua yang dapat didengarnya. Dari situlah dia tahu bahawa ibunya itu pernah diabaikan oleh ibunya sendiri (nenek Ani). Kedua orang tua ibunya telah berpisah sejak ibu Ani masih kecil dan ibunya itu dijaga pula oleh moyang Ani (sebelah tok lelaki) sehingga dewasa. Apabila telah berumahtangga, ibu Ani pernah meminta ayah Ani untuk mencari ibu kandungnya itu.

    Akhirnya pencarian itu berhasil menemukan semula kedua-dua beranak. Namun, nenek Ani sedikit pun tidak ikhlas bersalaman dengan ibu Ani yang sedang mengandung (mungkin sedang mengandungkan Ani). Salampun hanya di hujung jari. Berpelukan pun tidak! Nenek Ani itu benar-benar benci terhadap keluarga tok lelaki termasuklah dengan anaknya sendiri!! Sedangkan sebelum itu, ibu Ani sentiasa berharap dapat menatap dan mendakap ibu kandungnya itu. Itulah harapan yang tertanam sejak dia masih kecil.

    Sejak itulah, berbuku-buku kebencian tertanam dalam lubuk hati ibu Ani terhadap ibunya sendiri. Walaupun tidak pernah diperkatakan oleh ibu Ani mahupun orang lain, dia dan kakaknya perasan akan perasaan benci yang terpancar di mata ibu mereka apabila ditanyakan tentang nenek. Sedangkan nenek mereka itu telah lama meninggal dunia ketika itu. Cuba korang bayangkan … ini bermakna sudah hampir 20 tahun ibu Ani membenci ibunya sendiri!!

    Suatu hari, teman sebilik Ani telah berbicara tentang tingginya kasih ibu. Walau jalannya terpaksa dipapah, sanggup juga turun ke asrama anaknya yang bertingkat-tingkat. Kata Ani, ketika sahabatnya itu melafazkan kata-kata itu, hatinya membeku kerana ibunya tidak seperti itu. Lalu tidak lama selepas itu, sahabatnya menyambung lagi bait kata-kata yang benar-benar menusuk jauh ke lubuh hatinya: “… kerana itu, janganlah pula kita membenci ibu sendiri. DITAKUTI ANAK KITA PULA AKAN MEMBENCI KITA”!!!

    Sebenarnya, dia telah lama pasrah akan masalah dia dengan ibunya. Tetapi, dia mulai terfikir mungkin inilah JAWAPAN YANG DICARI-CARINYA SELAMA INI!!

    Kata-kata sahabatnya itulah yang disampaikan pula kepada kakaknya. Dia tahu, dia tidak akan berjaya menyedarkan ibunya itu.

    Berkat kemesraan kakaknya dengan ibunya yang tidak pernah tergugat selama ini, dia berjaya memujuk ibu mereka untuk tidak lagi membenci nenek mereka. Dipujuknya si ibu agar membacakan Yasin buat si nenek walaupun dalam keadaan benci. Malah, dengan keberkatan surah Yasin yang ALLAH kurniakan itulah ibunya telah mulai merasa rindu terhadap wanita yang pernah melahirkannya dulu.

    Dan yang paling membahagiakan sahabatku Ani, hubungan dia dengan ibu sudah tidak seperti dulu. Seolah-olah semua yang pernah berlaku dahulu tidak pernah terjadi antara mereka. Dia juga sudah memaafkan segala perbuatan ibunya.

    Tambahan pula, katanya, sejak dulu dia pernah berdoa agar hubungan baik antara dia dan ibunya biarlah, terjadi dalam keadaan yang ibunya sendiri tidak sedari. Dia tidak mahu ibunya terluka sedikitpun atas perbuatannya selama ini terhadap Ani. Ani memang bersyukur. Segala doanya selama 20 tahun tertunai sudah.

    Memang perit untuk menunggu doa yang dikabulkan selama itu. Tetapi, manisnya … kalah manisnya segala madu.

    Banyak pengajaran yang dapat kita ambil dari kisah hidup Ani. Juga doa yang tidak putus-putus dari sejak kecil, InsyaALLAH akan tertunai jua. Apa yang perlu kita buat adalah terus bersabar dan terus bersabar.

    Seperti kata Ani: “Kesabaran itu ada harga yang tak ternilai. Kalaupun tidak terbayar sekarang, kita akan dibayar di akhirat nanti”.

    Seperkara lagi, mintanya agar sahabat-sahabat semua doakan agar seluruh keluarganya terbuka hati untuk tidak lagi meninggalkan solat.

    Wassalam.

    Terima kasih kerana sudi membaca. Maaflah jika gaya penceritaannya tidak menarik. Saya bukanlah ahli dalam bahasa, bm dulu cuma dapat grad 3 jer. Tapi, elok jugak korang guna cerita ini untuk sahabat-sahabat yang menghadapi masalah yang sama seperti ‘Ani’. Kalau ada antara pembaca yang boleh mengolah semula kisah di atas pun bagus jugak. Biar ada yang terkesan dari kisah ini. Ia juga sesuai untuk di masukkan dalam sesi kaunseling dan motivasi pelajar. Saya sendiripun mengolahnya mengikut apa yang saya faham.

    Jangan lupa ya, doakan dia sekeluarga agar tekun mengerjakan solat

    19/04/2009 at 3:37 pm

  3. ulat

    harap saudara dapat sampaikan kisah ini kpd perempuan tersebut supaya boleh dijadikan pedoman.

    pasti ada sesuatu yg ALLAH hendak tunjukkan pdnya. yg penting, dia mesti cari hikmah disebalik apa yg telah dilalui dan bersangka baik kpd ALLAH.

    ALLAH tidak menjadikan sesuatu musibah itu semata-mata utk menyiksa hidup hambaNya, tetapi utk mendekatkan lagi kita kpdNya.

    wallahu’alam

    19/04/2009 at 3:43 pm

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s