jailani, peguam, ustaz, islam, syariah, undang-undang, law

KEWAJIPAN MENGKAFIRKAN ORANG KAFIR

Oleh:-

Ahmad Jailani Abdul Ghani

www.ustjai.wordpress.com

 

Perkataan “kafir” berasal dari kata “kafara”, “yakfuru”, “kafran” dan “kufran”. Istilah “kafara” bermaksud tidak percaya kepada Allah. Makna kafir ialah orang yang tidak percaya kepada Allah, yang tidak berbakti kepada Allah, yang tidak syukur akan nikmat Allah. (Kamus Al-Marbawi, Muhammad Idris Abdul Rauf Al-Marbawi, Pustaka Nasional, Singapura). Berdasarkan dalil syarak, istilah kafir adalah merujuk kepada orang bukan Islam.                      

 

Di dalam Al-Quran, Allah SWT telah menjelaskan tiga golongan yang layak disebut sebagai kafir. Mereka adalah Yahudi, Kristian dan golongan yang mempersekutukan Allah SWT dengan sembahan-sembahan lain seperti berhala atau api, sama ada mereka berbangsa Arab atau bukan Arab. Ini berdasarkan Firman Allah SWT (Surah Al-Bayyinah, ayat 6) yang bermaksud, “ Sesungguhnya orang yang kafir dari kalangan Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam, kekallah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk. (Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir, Tahqiq Muhammad Ali Al-Sobuni, Al-Maktab Al-Thaqafi, Al-Azhar, Al-Qahirah, 3 / 663, 664)

 

Begitu juga, bagi sesiapa yang beriman kepada tuhan yang lain selain daripada Allah SWT Yang Maha Esa, mereka juga dihukum kafir. Sebagaimana Firman Allah yang bermaksud, “ Sesungguhnya telah kafir orang-orang yang berkata; Sesungguhnya Allah ialah Al-Masih anak Maryam. Sedangkan Al-Masih berkata; Wahai Bani Israel! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu. Sesungguhnya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah telah mengharamkan syurga baginya dan tempat tinggalnya dalam neraka, dan tiadalah penolong bagi golongan yang zalim. (Surah Al-Maidah: ayat 72)

 

Ayat tersebut telah diberi penegasan oleh ayat berikutnya yangg bermaksud: “ Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Sesungguhnya Allah adalah (Tuhan) yang ketiga daripada tiga. Sedangkan tiadalah Tuhan, kecuali Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari perkataan mereka itu, nescaya mereka yang kafir itu akan disiksa dengan siksaan yang pedih. (Surah Al-Maidah: ayat 73)

 

Terdapat banyak fatwa daripada para fuqaha yang muktabar tentang hukum wajib ke atas orang Islam untuk menghukum kafir ke atas orang kafir. Sebagai contoh, Jawatankuasa Kekal Bagi Penyelidikan Ilmiyah dan Fatwa, Arab Saudi, yang diketuai oleh Sheikh Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Baz (Mantan Mufti Besar Kerajaan Arab Saudi) yang mengeluarkan fatwa bahawa sesiapa yang telah disabitkan kekafirannya, maka wajib (ke atas umat Islam) meyakini kekafirannya dan menghukum ke atasnya dengan hukum kafir. Wajib ke atas pemerintah menegakkan hukuman had riddah ke atasnya jika dia enggan bertaubat. Sesiapa yang tidak megkafirkan orang yang disabitkan kekafirannya, maka dia menjadi kafir, melainkan dia berasa ragu-ragu mengenai kekafirannya maka hendaklah dia berusaha menghilangkan keraguan tersebut. (Lihat Fatawa Al-Lajnah Ad-Da’imah Lil Buhuthil ‘Ilmiyyah wal Ifta’, Ahmad Bin Abdul Razzaq Ad-Duwaisy, Darul Mu’ayyad, 2 / 142).

 

Tambahan pula, di dalam risalah kecil yang bertajuk “Panduan Untuk Jema’ah Haji dan Umrah serta Pengunjung Masjid Rasul” (Edisi Bahasa Malaysia) terbitan Kementerian Hal Ehwal Islam, Arab Saudi, dengan kerjasama Samahah Al-Sheikh Muhammad Bin Soleh Al-Uthaimin (muka surat 14), yang diedarkan kepada jemaah haji Malaysia sebaik sahaja mereka menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah, telah menyatakan bahawa perkara ketiga yang membatalkan Islam ialah tidak mengkafirkan orang musyrik atau ragu-ragu terhadap kekufuran mereka. Ini bermakna, setiap individu muslim wajib mengkafirkan sesiapa yang kafir.

 

Namun begitu, terdapat persoalan yang perlu dijawab. Bagaimanakah caranya mengkafirkan golongan kafir yang memiliki dokumen pengenalan diri yang menunjukkan mereka beragama Islam? Tidakkah dengan membiarkan golongan murtad memiliki kad pengenalan yang tertera perkataan “Islam” menunjukkan perakuan atau pengiktirafan oleh kerajaan Malaysia bahawa mereka beragama Islam sedangkan hakikat sebenarnya adalah sebaliknya? Bukankah Kerajaan Malaysia juga diwajibkan mengkafirkan golongan kafir? Artikel 3, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa Islam adalah agama persekutuan. Oleh kerana Islam menghendaki orang kafir dikafirkan, maka Kerajaan Malaysia juga tiada pilihan melainkan mengkafirkan rakyatnya yang kafir dengan cara memadamkan perkataan Islam pada kad pengenalan mereka.

 

Sekian,

 

Ahmad Jailani Abdul Ghani

www.ustjai.wordpress.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s