jailani, peguam, ustaz, islam, syariah, undang-undang, law

HUKUM-HUKUM BERKAITAN ORANG YANG MURTAD ATAU KAFIR

Oleh:-

Ahmad Jailani Abdul Ghani

www.ustjai.wordpress.com

 

 

Timbul persoalan, apakah kepentingan mengisytiharkan atau mensabitkan kekafiran golongan kafir atau murtad?. Jawapannya, di dalam Undang-undang Syariah terdapat banyak hukum khusus berkaitan mereka. Namun, atas beberapa sebab tertentu saya hanya senaraikan yang berikut:-

 

Pertama; Sembelihan mereka tidak sah dan dihukum sama seperti bangkai yang haram dimakan oleh orang Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud, “ Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain daripada Allah” (Surah Al-Baqarah : ayat 173). Maka, orang-orang Islam yang sengaja memakan haiwan yang disembelih oleh golongan murtad atau kafir (kecuali ahli kitab) adalah dihukum berdosa. Jika sekiranya golongan murtad ini tidak disabitkan kemurtadannya, maka masyarakat akan tetap menganggapnya sebagai orang Islam dan sembelihannya adalah dianggap halal!

 

Kedua; Pernikahan mereka terfasakh (terbatal) dan haram bagi pasangan mereka yang masih beragama Islam untuk mengadakan hubungan kelamin dengan suami atau isteri mereka yang murtad. Persetubuhan mereka akan dianggap sebagai zina dan anak yang terhasil adalah anak zina jika mereka mengetahui tentang hukum murtad tersebut. Ada wanita Islam di dalam pengetahuan saya yang mempunyai suami beraqidah bukan Islam dan kemudiannya mempunyai anak-anak yang kemudiannya bukan beraqidah Islam. Pengisytiharan atau sabitan kafir atau murtad perlu dilakukan dan tidak boleh dilengah-lengahkan atau diabaikan demi menegakkan hukum Islam. Umat Islam mesti disedarkan bahawa pasangan mereka adalah kafir atau murtad apabila mereka menyembah matahari, meminta pertolongan dari kubur-kubur keramat, percaya kepada tangkal dan azimat atau apa-apa penyebab kepada pembatalan syahadah.

 

Ketiga: Kemurtadan seseorang menjadi penyebab kepada terputusnya wala’ di antara orang Islam dan orang kafir. Sebagai contoh; seorang bapa yang murtad akan hilang kelayakannya sebagai wali pernikahan kepada anak gadisnya. Oleh itu, dia terhalang daripada mewalikan pernikahan anak perempuannya. Jika dia berdegil untuk mewalikan pernikahan anak perempuannya maka pernikahan itu tidak sah. Maka akan lahirlah anak-anak zina atau sekurang-kurangnya anak-anak wati syubhah (persetubuhan yang meragukan). Akibat kedegilan kita untuk mempertahankan perkataan Islam pada kad pengenalan golongan murtad sebenarnya menjadi penyebab kepada barah berbahaya untuk menular tanpa sedar dalam masyarakat muslim!

 

Keempat;  Wala’ di antara orang Islam dan orang murtad juga terputus bila berlaku riddah sehingga memberi kesan dalam kes perwarisan dan pusaka. Contohnya, di antara ahli keluarga yang berlainan agama, tidak lagi boleh pusaka mempusakai atau waris mewarisi di antara satu sama lain. Anak yang kafir tidak boleh mewarisi harta pusaka bapanya yang beriman,  begitulah juga sebaliknya. Ini adalah berdalilkan hadith Usamah bin Zaid bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “ Orang Islam tidak boleh mewarisi orang kafir, dan orang kafir tidak boleh mewarisi orang Islam.”. Hadith Muttafaq ‘Alaih. (Subulus-Salam, Al-Son’ani, juzuk 3, Darul Hadith, Al-Qahirah,133)

 

Kelima; Kemurtadan atau kekafiran seseorang juga melibatkan hukum penyelenggaraan jenazah yang wajib ditegakkan. Mayat orang murtad atau kafir diharamkan penyelenggaraannya seperti mayat orang Islam. Mayat mereka tidak akan dimandikan, dikafankan, disolatkan, didoakan atau penyelenggaran lain yang khusus untuk orang-orang beriman sahaja. Firman Allah Jalla wa ‘Ala (Surah Al-Taubah; ayat 84) yang bermaksud, “Dan janganlah kamu sekali-kali menunaikan solat (jenazah) ke atas seorang yang mati di kalangan mereka dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya, dan mereka mati dalam keadaan fasiq”. Berdasarkan riwayat Abdullah bin Umar r.a. bahawa ayat ini diturunkan oleh Allah Azza wa Jalla ekoran peristiwa kematian Abdullah bin Ubay bin Salul (ketua munafiq) dan jenazahnya disolatkan oleh Nabi SAW walaupun tidak dipersetujui oleh Umar Al-Khattab r.a. (Lihat Fathul Bari, Ibnu Hajar Al-Asqalani, 8/270). Turunnya ayat ini menunjukkan pendapat Umar Al-Khattab r.a adalah benar. Semenjak turunnya ayat tersebut Nabi SAW dan orang-orang yang beriman tidak lagi dibenarkan menunaikan solat jenazah ke atas orang kafir dan orang munafiq (yang diketahui tanda kekafirannya).

 

Imam Bukhari dan Imam Muslim juga meriwayatkan peristiwa kematian Abu Talib, bapa saudara Nabi SAW yang turut mendapat teguran Allah SWT kerana cubaan baginda Nabi SAW untuk mendoakan keampunan bagi Abu Talib. Di antara dalil haramnya mendoakan golongan kafir ialah Firman Allah Ta’ala yang bermaksud, “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang beriman meminta ampun bagi orang-orang musyrik” (Surah Al-Taubah: ayat 113).

 

Malah, mayat golongan kafir adalah haram dikebumikan di tanah perkuburan orang-orang Islam, begitu juga sebaliknya. Di antara ulama’ Islam zaman ini yang berfatwa sedemikian ialah Syeikh Ali Jum’ah (Mufti Mesir) dalam fatwa beliau iaitu Fatawa Asriyyah : Al-Kalimut-Tayyib.

 

Begitu juga pandangan Imam An-Nawawi (Al-Majmu’, 5/144, 258) yang mengatakan bahawa solat (jenazah) ke atas orang kafir dan mendoakan keampunan untuknya adalah haram dengan nas Al-Quran dan Ijma’.

 

Manakala Syeikh Nasiruddin Al-Albani menyatakan bahawa haram menunaikan solat jenazah, memohon ampun dan memohon rahmat ke atas mayat golongan kafir dan munafiq. (Lihat Ahkamul Jana’iz wa Bida’uha, Muhammad Nasiruddin Al-Albani, Maktabah Al-Ma’arif, Al-Riyadh, 120). Mayat mereka wajib dikebumikan di kawasan berasingan atau di tanah perkuburan orang-orang bukan Islam yang selayaknya untuk mereka!

 

Pada masa yang sama, bagi mayat golongan munafiq yang tidak diketahui akan sifat nifaqnya itu, maka hendaklah dihukum pada zahir. Lantaran itu, mayatnya akan diuruskan sebagaimana mayat orang Islam yang lain. Tetapi jika, diketahui akan sifat nifaqnya itu, maka haram diuruskan sebagaimana mayat orang Islam. Saidina Umar r.a. tidak menunaikan solat jenazah ke atas mayat yang tidak disolatkan oleh Huzaifah Al-Yamani kerana beliau (Huzaifah) mengenali orang munafiq dalam Peperangan Tabuk. (Syarah Al-Tohawiyah fi Al-‘Aqidah Al-Salafiyyah, Ibnu Abi Al-‘Izz Al-Hanafi, Tahqiq Ahmad Muhammad Syakir, Maktabah Al-Riyadh Al-Hadithah, 325). Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani menyebut di dalam Fathul Bari (8/119) bahawa jumlah orang munafiq yang diketahui dalam peristiwa Perang Tabuk adalah seramai 80 orang.

 

Saya mempunyai pengetahuan tentang seorang mualaf yang murtad telah ditanam di tanah perkuburan orang Islam hanya semata-mata kerana kad pengenalannya tertulis perkataan Islam padanya. Sedangkan kebanyakan penduduk kampung tersebut sangat mengetahui kehidupannya yang kufur tersebut.  Saya terasa sangat sedih kerana orang Islam atau pihak berkuasa agama Islam tertentu hanya “sibuk” ketika mualaf itu meninggal dunia tetapi hal ehwalnya diabaikan ketika dia masih hidup! Lantaran itulah, kita dapat membaca di dada-dada akhbar, berita perebutan mayat antara pihak berkuasa agama dan keluarga mayat. Lebih memalukan, mayat digali dan dikorek semula semata-mata untuk ditanam di tanah perkuburan Islam. Umat Islam atau pihak berkuasa agama mula dipandang sinis sebagai pihak yang suka berebut mayat dan lebih dahsyat daripada itu digelar sebagai pengorek mayat!. Wahai Umat Islam, di manakah kamu berada ketika mualaf tersebut masih hidup tetapi menyembah berhala?

 

Sekian.

 

Ahmad Jailani Abdul Ghani

www.ustjai.wordpress.com

 

2 responses

  1. oz

    thankz for ur comment .ustaz..

    26/07/2010 at 8:55 am

  2. muhammad shibli

    salam,,ustaz,,,
    saya ingin bertnaya,,,

    blh ustaz bahasakn sedikit mengenai pernikahan muallaf ,,,

    dan juga harta pusaka muallaf,,,

    saya ingin bantuan ustaz untukbantu saya dalam judul skripsi saya,,,

    “kewajiban suami yng masuk islam terhadap isteri yng diceraikan,,,

    02/01/2011 at 4:27 am

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s