jailani, peguam, ustaz, islam, syariah, undang-undang, law

PEGUAM YANG MENGENDALIKAN KES MURTAD DIKIRA BERSUBAHAT?

Oleh:-

Ahmad Jailani Abdul Ghani

www.ustjai.wordpress.com

 

Terdapat pihak-pihak tertentu yang beranggapan bahawa peguam seperti saya yang mengendalikan kes-kes murtad adalah menjadi pembuka pintu kepada orang untuk murtad, penyokong murtad, bersubahat dengan orang murtad dan seumpamanya. Apabila saya mewakili tertuduh dalam kes subahat pelacuran dan khalwat di mahkamah syariah, ada suara sinis yang mengatakan saya menjadi pembela kes maksiat, sehingga ada jawatankuasa masjid tertentu yang membatalkan kuliah bulanan saya di masjid berkenaan kerana saya dianggap bersekongkol dengan kemungkaran.

 

 Berbeza pula keadaannya apabila saya mewakili tertuduh di mahkamah sivil, dalam kes memiliki dadah mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya, atau dalam kes bunuh di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan, tiada pula suara sumbang berkenaan! Apakah ini satu gambaran bahawa warga perundangan sekular lebih profesional dan memahami kerjaya peguam berbanding warga perundangan syariah? Sungguh menghairankan! Keadaan seperti ini mungkin berlaku lantaran kejahilan umat terhadap peranan sebenar seorang peguam sama ada di sisi undang-undang Islam atau undang-undang sekular.

 

Masyarakat perlu disedarkan bahawa peguam ialah orang yang bertanggung jawab membantu hakim untuk mencapai keadilan di mahkamah, memastikan pihak-pihak yang bertikai (litigants) tidak teraniaya dalam sesuatu prosiding di mahkamah dan seumpamanya. Sekiranya, seorang peguam itu mewakili seseorang yang benar-benar jahat atau bersalah sekalipun, keadilan wajib diberikan kepada penjahat atau penjenayah berkenaan, apatah lagi dalam kaedah perundangan Islam terdapat kaedah yang bermaksud, “Asal seseorang itu bebas dari tanggungan” (al-aslu bara ‘atuzzimmah) yang hampir sama dengan prinsip anggapan tidak bersalah (presumption of innocence) yang diguna pakai di mahkamah sivil yang bermaksud, “ Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bahawa dia bersalah (a person is innocent until proven guilty).

 

Kitab karangan Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah berjudul “Al-Turuq Al-Hukmiyyah” adalah tidak asing bagi kebanyakan penuntut Undang-undang Syariah di kebanyakan institusi pengajian tinggi, banyak memberi contoh-contoh bagaimana peranan para sahabat Nabi SAW membantu para khalifah Islam pada zaman masing-masing. Di zaman tersebut masih belum ada profesyen guaman secara rasmi tetapi banyak peranan penting telah dimainkan oleh para sahabat baginda dalam membantu khalifah mendapatkan keputusan yang tepat. Tidak semestinya seseorang yang melakukan jenayah seperti murtad, zina, mencuri dan sebagainya akan terus dihukum tanpa usul periksa.

 

Pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar r.a. telah berlaku peristiwa sebahagian rakyat enggan membayar zakat yang dihukum murtad oleh khalifah. Saidina Umar r.a. pada peringkat awalnya tidak bersetuju dengan rancangan khalifah untuk memerangi mereka lalu memberikan hujahnya. Umar berkata dengan maksudnya, “Bagaimana kamu hendak memerangi manusia sedangkan Rasulullah SAW telah bersabda: Aku telah diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengatakan: Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Barangsiapa yang mengatakan Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, maka terpeliharalah darahnya dan harta bendanya dariku melainkan dengan haknya dan hisabnya dalam jaminan Allah”. Jawapan Khalifah Abu Bakar ialah beliau tidak akan benarkan manusia membezakan antara kewajipan solat dengan kewajipan zakat. Maka Khalifah tidak menerima hujah Umar r.a. lalu menghantar tentera untuk memerangi golongan tersebut. (Bukhari 3/206, Muslim 1/38, Silsilah Al-Ahadith Al-Sahihah, Muhammad Nasiruddin Al-Albani, 407).

 

Ini menunjukkan bahawa Umar berperanan seperti peguam yang memberikan hujahnya bahawa sepatutnya golongan yang enggan membayar zakat itu tidak dibunuh dan kemudian terpulang kepada khalifah untuk membuat keputusan. Kita tidak pernah mendengar orang Islam menuduh Umar r.a. sebagai pembela orang murtad atau bersubahat dengan golongan itu.

 

Sebagai contoh, pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khatttab, terdapat seorang perempuan yang menyintai seorang pemuda tetapi cintanya ditolak. Ekoran sakit hatinya itu perempuan tersebut telah membuat fitnah terancang terhadap lelaki berkenaan dengan cara mencurahkan cecair putih telur (kuning telur dibuang) ke atas kain dan kedua pahanya lalu meluru mendapatkan Khalifah Umar r.a. sambil menjerit bahawa pemuda tersebut cuba mencabul kehormatannya sambil menunjukkan kesan cecair tersebut. Khalifah Umar r.a. bertanya kepada wanita-wanita yang ada di situ, lalu mereka menjawab bahawa pada kain dan tubuh perempuan tersebut terdapat kesan air mani.

 

Ketika Khalifah Umar hampir-hampir menjatuhkan hukuman,  pemuda berkenaan terus menjerit dengan menafikan tuduhan tersebut. Pada peringkat inilah Khalifah Umar r.a. mendapatkan pandangan Saidina Ali r.a. yang kemudiannya membuat pemerhatian terhadap kesan cecair tersebut. Saidina Ali r.a. kemudiannya meminta air yang mendidih lalu mencurahkannya ke atas kesan cecair tersebut, lalu menghidu dan merasa kesan cecair tersebut. Saidina Ali kemudiannya membuat kesimpulan bahawa ia  bukanlah air mani tetapi hanyalah putih telur. Perempuan tersebut akhirnya mengaku perkara sebenar setelah diherdik oleh Saidina Ali. (Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah. Al-Turuq Al-Hukmiyyah, Tahqiq Muhammad Hamid Al-Faqiy, Beirut: Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, 48)

 

Walaupun Saidina Ali r.a. bukanlah seorang peguam sebagaimana pada zaman moden, tetapi bentuk bantuan yang dilakukannya itulah merupakan fungsi peguam pada zaman kini, iaitu membantu mahkamah untuk membuat sesuatu keputusan yang adil. Kenapa tiada golongan yang menuduh Saidina Ali bin Abi Talib r.a. sebagai bersekongkol dengan pencabul kehormatan?

 

Jika sekiranya masyarakat masih menganggap peguam adalah penipu atau jahat, suka saya nyatakan di sini bahawa tidak perlu menjadi peguam untuk menjadi penjahat, malah tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa ramai juga dari kalangan ahli perniagaan, golongan profesional, orang kota, orang kampung dan sebagainya adalah penipu dan jahat.  Jangan kita menzalimi golongan peguam dengan mengatakan bahawa semua peguam adalah jahat!

 

Sekian.

 

Ahmad Jailani Abdul Ghani

www.ustjai.wordpress.com

About these ads

One response

  1. dATOK kAY, tmn g.perahu

    TAPI …MEMANG LA ADA PEGUAM YANG JAHAT , BARU LA PEGUAM YG BAIK PI LAWAN DENGAN DIA,…BARU LA ADA PLOT CERITA, KALAU SEMUA BAIK TU NAMANYA DUDUK DALAM SYURGA DAH….HE HE

    15/04/2009 at 2:44 am

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 48 other followers